Pages

Solat Time

Tuesday, September 22, 2009

Raya

Assalamualaikum..

Selamat menyambut Hari Lebaran Eidul fitri buat semua warga dan pelawat blog ini. Tidak kira di mana jua anda berada. Semoga Syawal ini bermakana buat anda semua.

Hari kiranya hari ke-3 beraya. Ada peluang aku menulis pagi-pagi ni sebelum bawa bini pergi beraya rumah kawan-kawan dia.

Kawan-kawan, kalau boleh pergi la ziarah rumah sedara-mara sebab masa ni lah nak merapatkan yang jauh. Jangan dok segan tak kena tempat. Nanti kita juga yang rugi sebab tak kenal sedara- Macam tu juga dengan rumah kawan-kawan. Saja-saja nak datang mungkin berat, tapi kalau dah raya ni, ambillah kesempatan yang ada. Tak perlu tunggu jemputan kalau nak menghidupkan sunnah Nabi SAW yakni mengeratkan tali silaturrahim. Kunjung-mengunjung tu satu wasilah dan uslub ja.

Semalam aku pergi bekwoh* di Gua Musang. Orang Pantai Timur ni rata-ratanya bab-bab bekwoh ni memang pada aku praktikal sebabnya tak merepek2 macam sebelah Pantai Barat. Tiada kompang berbagai. Sesetengah tempat tu makan bertatang. Meja pun takdak. Lagi satu, depa suka buat time raya. Mengambil kesempatan sedara-mara berkumpul. Mungkin pada kita orang Pantai Barat, rasa leceh sebab time tu la nak raya, time tu la nak gi bekwoh. Tapi pada pendapat peribadi aku, masa ni memang sesuai sebabnya sedara-mara dah berkumpul. Kawan2 nak mai tak mai tu terpulanglah. Memenuhi jemputan tu wajib beb kecuali ada sebab2 atau keuzuran yang tak dapat dielakkan. Lagipun, tak la menyusahkan nak ambil cuti dua tiga kali. Sekali harung ja. Tapi terpulang pada pendapat masing-masing.

Aku beraya di Kuala Terengganu tahun ni. Turn misses aku. Perjalanan Kuala Terengganu-Gua Musang ambil masa kurang lebih dalam 3 jam. Aku ambil jalan Kuala Terengganu-Tasik Kenyir-Felda Sg Aring-Gua Musang. Pemandangan memang cun. Jalan pun cantik. Tapi sampai Felda Sg Aring, jalan hancus. Bahaya. Berlopak level ada meteorite jatuh. silap haribulan, mau tercabut suspension kereta atau tayar kereta bengkak. Nasib la dulu aku pernah masuk rali Tepen-Kg Matang Batu. Tepaksa guna skil lama.

Yang aku nak cerita ni masa perjalanan pulang aku ke Terengganu. Guna jalan yang sama. Tapi menyinggah di Santuari Gajah yang terletak kurang lebih 140km dari Kuala Terengganu. Tepi jalan je letaknya. Boleh pegang anak gajah nama Seri dan kawannya yang dewasa; Suria. Jinak beb. anak-anak aku punyalah seronok. Aku lagi la seronok. Mana pernah aku pegang usap-usap gajah macam anak kucing! Cuma timing tu tak kena sikit sebab raya kedua pekerja tak ramai. Kalau tak, boleh tunggang gajah. FOC beb. Kalau sesapa teringin, pergi la bawak keluarga lalu jalan tu dan rasailah pengalaman pegang dan tunggang gajah FOC. Masa melawat santuari gajah tu adalah dari pukul 11 pagi - 1petang. Rehat. 3-5petang. Ada mini park untuk kanak-kanak. Budak2 memang suka sangat.

Lepas tu layan pemandangan Tasik Kenyir. Cun. Tapi ada dua tiga spot ja yang cun untuk berhenti dan tangkap gambar. Tengah2 hutan. Aku berhenti la dekat satu spot yang cun nak pukui gambar dengan anakbini aku. Tengah aku dok perembang nak pukul gambaq, aku perasan ada sebijik Camry parking belakang kereta aku. Mula cuak jugak la. Tengah hutan, parking punya luaih, awat kereta ni mai parking rapat. Bila dreba jengoi kepala, teruih aku kenai mamat tu. Faras. Menyengih ja dia. Nak dijadikan cerita, Allah Taala punya kuasa, dalam hutan tu aku boleh terserempak dengan Farasafuan. Yes! Farasafuan himself. Dia solo driving ke Terengganu nak ambil sepupu katanya.

Tu dia la kuasa Allah Taala. Subhanallah! Siapa sangka nak berjumpa kawan lama tengah2 hutan? Tak percaya? Nanti aku upload gambar. Ni aku pinjam PC adik ipaq aku.

OKlah. Selamat berhari-raya. Makan jangan jatuh sakit. Ingat, kita di'training' sebulan untuk jaga makan. Jangan lupa pulak training tu.

Dikesempatan ini, aku mengucapkan Selamat Menyambut Eidul Fitri dengan penuh kesyukuran. Maaf Zahir dan Batin daripada warga kerja Komuniti 87. Moga Syawal ini membawa kerahmatan buat kita semua, insyaAllah, amin..


Monday, September 14, 2009

Dan hasilnya..

Assalamualaikum..

Selamat meneruskan puasa dan ibadat buat semua warga Kom87. Semoga ketemu Lailatul Qadar kalian. Aku batuk dan selsema sejak pulang dari Ipoh. Harapnya tidaklah dijangkiti selsema babi. Nauzubillahi min zaalik.


Alhamdulillah, satu acara iftor yang sangat-sangat berjaya baik dari segi kehadiran yang amat memberangsangkan dan juga tentatif berjalan dengan penuh kelancaran. Moga Allah SWT terima ibadat kita. Tahniah dan Jazakumullahu Khairal Jaza' buat tuan rumah serta handai-taulan yang sudi bersama-sama meluangkan masa bersempena bulan Ramadhan yang mulia ini.

Buat mereka yang tidak dapat bersama malam tu, untuk makluman kalian, mereka yang hadir ialah: Mart Suzaini, Saiful Asri, Sofi, Arshad, Lokman, Meor Speki, Abu Atief (tuan rumah), Izanee, Mail, Safuan, Asri Khalid, Fariz, Azmir, Kamaruddin, Fakhrul Zaman sekeluarga dan aku. Memang meriah malam tu.

Majlis berbuka puasa yang diadakan di venue yang baru iaitu rumah sdr. Abu Atief kita yang terletak di Anastoria Home, Bandar Meru Jaya, Jelapang, Ipoh. Sememang satu lokasi yang menarik dan insyaAllah diharap dapat menawarkan lagi venue ini untuk sebarang program yang akan datang.

Solat Maghrib diimami oleh al-Fadhil ust. Fakhrul Zaman, manakala Isya' dan Tarawikh oleh Sohibul Samahah al-Fadhil ust. Kamaruddin Adam bakal mufti Perak, insyaAllah. Bilalnya al-fadhil ust. Azmir. Aduhai, tak sangka ramai kawan kita yang jadi ustaz yang hebat-hebat.

Apa-apa pun, perjumpaan dan iftor kali ni memang diakui ramai, antara yang terbaik pernah dianjurkan. Tahniah buat semua. Moga Allah Taala terima ibadat kita, insyaAllah.


Tuesday, September 8, 2009

Jom Iftor di Ipoh dan sumbangan derma

Assalamualaikum..

Selamat berpuasa dengan riangnya. Alhamdulillah, tanpa kita sedari dok tak dok dah separuh Ramadhan kita lalu. Apa macam report card tahun ni? Harap2 semuanya lulus ujian puasa.

Terima kasih tidak terhingga buat Abu Atief aka al-Fadhil Ustaz Zaki bin Yusof yang sudi menjadi tuan rumah untuk majlis Iftor Jamaei peringkat kebangsaan yang akan diadakan di rumah baru beliau yang terletak di Meru Jaya, Jelapang. Untuk makluman semua, majlis adalah seperti berikut:
  • Majlis : Iftor Jamaei Komuniti87 Peringkat Kebangsaan
  • Tarikh : 12 September 2009 (Sabtu malam Ahad).
  • Masa : Time berbuka la (kalau bulih, mai la awai skit, sejam sebelum berbuka).
  • Tempat: 176, Jalan Meru Impian 4, Halaman Meru Impian (Anastoria Home), Bandar Meru Raya, Jelapang.
  • Konsep : Kasual menutup aurat dan Potluck (potluck ni buat mereka yang taktau ialah lauk@hidangan bawak mai sorang sikit, kita faraidh sama-sama time iftor, ada paham?)
  • Juadah : Yang halalan thoyyiban serta sedap.

Sebarang pindaan akan diberitahu kelak. Tahniah dan syabas buat Abu Atief kerana sudi jadi tuan tanah kedaung untuk iftor tahun ni. Moga Allah SWT merahmati kita semua dan memurahkan rezqi. Tahun depan kita pikiaq lain. Mungkin ada sapa-sapa yang nak masuk rumah baru, boleh la buat tawaran.

Dan ada satu pengumuman yang aku nak buat di sini:

Sumbangan Derma/Dana/Bantuan untuk: Program Tahlil, Tazkirah, Iftor dan Penyampaian Sumbangan Kepada Anak-anak Yatim dan Faqir Miskin

  • Tarikh : 11 September 2009
  • Masa : 6.00 petang
  • Tempat: Sek. Ren. Bistari Darul Mulkan
  • Agenda : Majlis Tahlil dan Tazkirah, Iftor, Solat Maghrib/Isya' serta solat Tarawih dan Penyampaian Sumbangan untuk anak-anak yatim dan faqir miskin.

Semua sumbangan yang ingin dihulur, boleh disalurkan melalui akaun bank Maybank: 558051003659 atau hubungi al-Fadhil ust. Jamnul Azizul Rahim (mudir) di talian 05-8471167 @ 019-5672088. Segala pertimbangan, bantuan, sumbangan dan kerjasama anda didahului dengan ucapan Jazakumullahu Khairal Jaza'.

Marilah kita sama-sama memperbanyakkan ibadah sedekah di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Fadhilat Bersedekah:
1. Hadith daripada Abu Hurairah r.a, katanya: Aku dengar Rasulullah SAW bersabda: “Jangan kamu tolak orang yang meminta walaupun dia kafir.” Kata seorang sahabat: Ya Rasulullah! Bahawa kami bersedekah dengan sesuatu dari harta kami kepada orang kafir. Jawab Nabi: “Bahawa mereka adalah makhluk Allah, sebenarnya sedekah itu jatuh pada tangan kudrat Tuhan yang Rahman.”

2. Sesungguhnya orang-orang yang soleh itu sifat mereka sangatlah pemurah seperti firman Allah SWT: “Dan mereka memberikan makanan yang baik kepada orang miskin dan anak yatim dan orang tawanan” (Ad- Dahr: 8).

3. “Sedekah itu memadamkan dosa seperti air yang memadamkan api” (hadith Sahih riwayat at-Tirmidzi no. 609 dan Nasaie, Ibn Majah).

Thursday, September 3, 2009

Kelebihan Ramadhan

Assalamualaikum..

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

  1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi.
  2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi.
  3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi.
  4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi.
  5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi.

PENERANGAN HADIS

Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.

  1. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.
  2. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.
  3. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.
  4. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.
  5. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.
  6. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.
  7. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.
  8. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.
  9. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.
  10. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.

Rujukan:

  1. Kitab Fadhailul Awqat oleh imam Al-Baihaqi,ditahqiq oleh Adnan Abdul Rahman MajidAl-Qaisi,Maktabah Al-Mnarah,Makkah.
  2. Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibn Hajar Al-'Asqalani.
  3. Syarah Sahih Muslim oleh Imam An-Nawawi.