Solat Time

Wednesday, April 23, 2008

Rumah, pindah dan kuasa Allah Azza wa Jalla

Assalamualaikum..

Bersua kembali. Pohon ampun dan maaf di atas kejumudan blog ini lewat seminggu dua. Solah-olah tiada apa yang perlu dikongsikan bersama. Aku berasa terpanggil untuk menulis posting baru memandangkan ramai yang sudah bersuara. 

Berbalik kepada tajuk yang tertera di atas. Rumahku yang sedang dalam proses renovasi (aku tak tau apa perkataan yang paling sesuai aku gunakan dalam bahasa Malaysia. Ya! Aku rakyat Malaysia yang lemah penguasaan bahasanya) sudah hampir ke penghujung proses. Dianggarkan tanggal 26hb ni dapat aku masuki rumah baru. Alhamdulillah, setelah banyak keringat, wang ringgit dan masa yang telah diperuntukkan, akhirnya dapat jua aku melihat hasil-mahsulnya.

Daripada rumah yang sekangkang kera menjadi tiga kangkang kera. Daripada 3 bilik ditambah kepada 4 bilik. Selesa? Harap-harap selesalah hendaknya, amin..! Dan semoga proses perpindahan yang bakal berlaku insyaAllah 26hb ni berjalan lancarlah hendaknya. Terima kasih yang tidak terhingga buat abg Mart dan abg Iz yang sudi nak mai tolong makan dan pecah peluh angkat barang-barang aku. Tak banyak pun. Almari 3 pintu ada satu, tv 21" ada 2 buah, peti ais 5' ada sebuah, mesin basuh 8kg ada sebuah dan lain-lain perkakasan yang menyemakkan rumah.

Dalam masa aku tengah dok sibuk berkemas, aku terfikir tentang tujuan hidup. Lahir, membesar, belajar, bekerja, pindah-randah dan akhirnya dijemput ajal. Tetapi di dalam proses kehidupan manusia, kita selalu lupa bahawa Allah Taala jua yang berkuasa dalam mengatur kehidupan seharian kita. Kita diberikan pilihan sama ada untuk beramal dan beribadah ataupun memilih untuk hidup dalam kesombongan dan engkar serta degil untuk mengikut perintahNya.  

Rumah, yang dulunya kecil dibesarkan. Diberi nafas baru dan sentuhan peribadi untuk memenuhi citarasa dan tatarias penghuninya. Tetapi, tidak semua citarasa manusia sama. Manakan sama dengan bumi Allah SWT yang sesuai dan dapat memenuhi semua kehendak makhlukNya yang hidup di atasnya. Betapa hebatnya Allah SWT.

Pindah, dengan harapan dapat memberikan kesegaran dan episod hidup baru yang dibayangi harapan tinggi menggunung. Adakah setiap perpindahan itu membawa kebaikan? Allah Taala jua yang Maha Mengetahui. Kita hanya mampu merancang, berusaha dan menggantungkan tawakkal kita pada Allah Rabbul Jalil semoga perpindahan yang berlaku di dalam kehidupan kita membawa seribu rahmat dan redhaNya bersama kita.

Kuasa Allah Azza wa Jalla juga yang membenarkan semua di atas berlaku. Nasihat aku buat sahabat semua, bila hendak mulakan sesuatu, berusahalah dengan gigih supaya dapat kita akhiri setiap perbuatan kita dengan pengakhiran yang baik. Daripada tiada kepada ada. Bila sudah ada, kita wajib menjaga dan memperbaiki kelemahan yang timbul. 

Ingatlah bahawa rumah diberkati kerana penghuni. Diturunkan bala juga kerana penghuninya. Sama ada kita menyewa mahupun tinggal di rumah milikan sendiri, kita sebagai penghuninya wajib menyedari dan berdoa supaya kediaman yang kita diami diberkati dan dilindungi Allah SWT selalu. 

Monday, April 14, 2008

Aduhai kambing.. aduhai..

Assalamualaikum..

Bertemu kembali di dalam posting baru. Aku ingin menyentuh perihal kambing yang menjadi isu hangat global masakini.

Mengikut pendapat sdr. Akie yang menyentuh tentang kecewa laranya persatuan kambing kerana permintaan yang tinggi. Pada pendapat aku yang serba jahil ini, kesatuan kambing sedunia tentunya berfikiran sebaliknya. Ini kerana 'reproduction' kambing-kambing sedunia akan meningkat sejajar dengan permintaan sedunia secara global.

Kambing-kambing akan lebih aktif ber'projek' untuk mengeluarkan benih-benih baru. Manakala pusat penyelidikan R&D juga akan menjadi lebih proaktif dalam mencari baka-baka yang lebih baik, sedap, tahan lasak, serta bermutu tinggi untuk pasaran dunia.

Justeru, aku menyeru kepada kita semua supaya dapat berkongsi idea dan dana untuk menceburi bidang ternakan kambing khususnya, R&D dan pembiakan  baka yang mampu serta dapat menyaingi spesis yang sedia ada seperti Jamnapari, Boa dan Kacang.

Malahan, kita dapat membantu komuniti kambing-kambing sedunia mempertingkatkan lagi mutu kehidupan mereka. Ini kerana, mengikut kajian santifik yang teah terbukti berkesan, mereka yang aktif melakukan seks secara halal, akan menjadi lebih bahagia, kurang stress dan berdaya saing.

Sewajibnya kita semua memikirkan secara mendalam akan keterlibatan secara total dalam industri kambing ini. Bukan sekadar menjadi 'end user', tetapi menjadi 'player' untuk mendapat 'a cut of pie' ataupun 'a piece of it' daripada industri yang dijangkakan akan meledak permintaannya secara global.

Sama-sama kita renung dan fikirkan.

Wednesday, April 2, 2008

Cadangan nama dan logo Komuniti 87

Assalamualaikum..

Update 8 April 08

Sehingga kini, aku masih belum menerima logo daripada sesiapa yang teringin nak dapatkan hadiah RM100.00 tu. Aku rasa macam kawan-kawan ni banyak duit sangat ka sampai RM100.00 tu dipandang sepi? Taktau la kot-kot semua nak buat submission last minit. Kita buatlah anjakan paradigma sikit. Bagi hasil kerja awal. Asyik dari sekolah rendah sampai la abih mengaji, semua nak buat last minit.

Buat mereka yang belum menjelaskan yuran tahunan dan dana, sila lah berbuat demikian seberapa segera sebab nak mula kempen projek dah ni.

Posting asal..

Buat semua, aku agak sibuk kebelakangan ni. Memandangkan rumah aku yang tengah di'renovate'kan tu tengah dalam proses 75%. Jadi, aku kena banyak luangkan masa kat rumah sebab nanti masa final touch-up ada pulak yang tak kena. Herot sana-sini. Dan jugak perniagaan aku pun yang agak ok, menjadi antara penyumbang kesibukan harian yang aku tempuhi.

Walau macam mana sekalipun, aku cuba mengeposkan topik-topik baru untuk kawan-kawan semua. Aku sendiri bosan dengan blog yang tiada perkembangan. Jadi, aku menyeru sekali lagi, barang sesiapa di antara sahabat-sahabat yang punya masa terluang, sila bagi apa2 topik selain daripada perjumpaan. Tak kisah la sama ada kisah tauladan, pengalaman pahit-manis, romantis, teguran, idea, saranan, cerpen, kisah tahyul, tazkirah dan sebagainya. Malah, kisah anbiya', para wali dan da'ei pun boleh kita kita kongsikan bersama.

Aku menyeru kepada semua yang sentiasa melayari blog ini, untuk sama-sama menyumbangkan apa-apa jua yang boleh dimanfaat dan dikongsi bersama. Tiadalah aku upaya untuk sentiasa mempunyai idea untuk dinukilkan di dalam blog ini.

Sebelum aku terlupa, masa mesyuarat tempoh hari, kita tak bincang pun tentang nama rasmi komuniti ini. Adakah kita akan terus menggunakan Komuniti 87 sebagai jenama kita bersama? Kalau setuju, siapa yang bersetuju? Kalau ada cadangan untuk penukaran nama, sila berikan di ruangan komen.

Dan satu lagi, ingin aku umumkan satu pertandingan mencipta logo Komuniti 87. Secara perincian pertandingan adalah seperti berikut:

Pertandingan Mencipta Logo KOMUNITI 87.

Syarat-syarat penyertaan:
  1. Terbuka kepada semua warga Komuniti 87.
  2. Tiada yuran dikenakan.
  3. Sila nyatakan maksud dan warna-warna yang terdapat di dalam logo.
  4. Keputusan akan dinilai oleh pihak juri yang terdiri daripada AJK Komuniti 87.
  5. Semua keputusan adalah muktamad.
  6. Sebarang surat-menyurat tidak akan dilayan.
  7. Logo yang terpilih akan menjadi hak-milik Komuniti 87.
  8. Pihak Komuniti berhak untuk mengubah-suai logo yang terpilih.
  9. Logo perlulah yang tulen dan asli. Sebarang plagiat akan ditolak mentah-mentah.
  10. Tarikh tutup penyertaan ialah sebelum atau pada 30 April 2008.
  11. Pemenang akan diumumkan hanya melalui laman blog ini sahaja.
  12. Semua peserta boleh menghantar tidak lebih daripada 3 buah logo sahaja untuk dinilai.
  13. Semua saiz logo tidak boleh melebihi 10cm x 10cm.
Hadiah berupa wang tunai sebanyak RM100.00 sumbangan Bina Harta Enterprise akan disampaikan kepada pemenang yang terpilih di dalam sebuah majlis yang dirasakan sesuai. Tertakluk kepada keperluan dan keadaan semasa. Pemenang akan diumumkan dalam masa dua minggu selepas tarikh tutup penyertaan.

Semua logo boleh dihantar kepada email: loolapalooza@gmail.com
Sila nyatakan nama dan no. kad pengenalan baru bersama-sama logo ciptaan anda.

Sebarang pertanyaan perihal pertandingan logo, sila hubungi aku, di email: marn05@yahoo.com