Pages

Solat Time

Friday, August 24, 2007

Siapa yang pergi?

Assalamualaikum..

Saja nak tanya... siapa lagi yang jadi pergi ke Majlis Bekas Pelajar Idrisiah pada 1 September nanti?

Panjang umur murah rezeki, kita jumpa di sana, insyaAllah.

Monday, August 20, 2007

Pangkor dalam kenangan, hidup suatu perjuangan..

Assalamualaikum..



Kenangan yang tercoret ketika di Pangkor dahulu...

Tanggal 31 Ogos ini merupakan tarikh yang ditunggu-tunggu warga Malaysia. Ulangtahun ke 50 kemerdekaan tanah air kita. Namun, di dalam kegembiraan rakyat Malaysia sedang membuat persiapan untuk merayakan Hari Kemerdekaan, kita saban hari dijamu dengan berita-berita yang tidak enak seperti pembunuhan, kecurian, kemalangan dan kemelut ekonomi yang sedang melanda negara.

Berkata Dr. Haron Din: "Penyebab pada semuanya ini, adalah berpunca dari kesilapan tidak meletakkan asas kemerdekaan itu di atas paksinya yang sebenarnya iaitu mensyukuri nikmat kemerdekaan itu dengan membalas semula dengan menunaikan segala kehendak dan perintah Allah SWT."

Sama-sama renungi dan mendalami apa yang dikatakan oleh para ulama'. Semoga dengan kejadian-kejadian yang berlaku di sekeliling kita, menjadi iktibar buat kita semua di dalam memelihara kesejahteraan hidup dan kemerdekaan.

Harapan aku, mudah-mudahan hari kemerdekaan kali ini kita sambut dengan penuh kesederhanaan dan memanjat kesyukuran kepada Allah SWT.

"Marilah merdeka daripada kejahilan, kebathilan, kezaliman dan hutang-piutang!".

Friday, August 10, 2007

Kambination revisited..

Perbankan Islam Zalim Kerana Mahal?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

Saya telah menjelaskan beberapa proses mengawal selia dan mematuhi Shariah di bank-bank Islam di dalam bab yang lepas. Bagaimanapun, saya tidak menafikan masih terdapat kemungkinan bank-bank Islam diseluruh dunia ataupun jendala perbankan Islam di bank konvensional yang tidak memberi perhatian sewajarnya terhadap proses itu. Justeru itu, menjadi tanggungjawab anggota majlis pengawasan Shariah setiap bank bagi bersikap lebih tegas, proaktif dan bersungguh-sungguh terhadap operasi bank yang diselia mereka.

Masih segar di ingatan saya, pemuda mendekati saya lalu bertanya dengan soalan yang popular didengari.

" Mengapa bank Islam lebih mahal daripada yang riba? "dan saya bertanya apakah yang menyebabkan ia membuat kesimpulan seperti itu.

Lalu dengan tegas si pemuda ini menjawab: "Sebagai contoh. "katanya dengan yakin, "Ibu saya mengatakan membiayai perumahan bank Islam jauh lebih tinggi daripada perbankan konvensional, apa pandangan ustaz? "katanya sambil membulatkan matanya ke arah saya.

Saya bertanya kembali. "Bagaimana cara ibu saudara mengira sehingga dapat jumlah itu? "kata saya, "Adakah saudara tahu berapa kadar keuntungan yang dikenakan oleh bank Islam dan berapa pula, yang dikenakan oleh Konvensional?" tanya saya lagi.

Pemuda itu menjawab: "Bank Islam ini mengenakan kadar 7.60% setahun bagi tahun ke- tiga sehingga tiga puluh, manakala bank konvensional hanya mengenakan 6.75%, tambahan pula, bank Islam kena bayar RM1050 sebulan, bank konvensional hanya RM850 sahaja" katanya memberi contoh dengan yakin.

Teknik yang Tidak Disedari

Ini antara bentuk kekeliruan yang menjalar kalangan orang ramai yang ingin menggunakan perkhidmatan perbankan Islam di ketika ini.

Mereka tidak dapat memahami cara kiraan yang betul menyebabkan mereka membuat keputusan dan kesimpulan yang salah. Bayangkan, perbankan Islam hanya mengenakan 7.60% (tahun ke-3 sehingga 30 sebagai contoh), ini bermakna kadar ini tidak akan bergerak hinggalah 30 tahun itu, bukankah bank Islam menanggung risiko yang besar?

Manakala apabila dilihat kepada pinjaman perumahan oleh produk konvensional, hampir kesemuanya memukau pelanggan dengan kadar rendah di tahun pertama, tetapi bagi tahun berikutnya kadarnya tidak dapat diketahui oleh pelanggan kerana ia bergantung kepada kadar peratusan BLR (Base Lending Rate ) atau Kadar Pinjaman Asas yang tidak tetap serta dicampur dengan 0.25% sebagai contoh.

Bagaimana apabila peratusan BLR melambung tinggi seperti 10% seperti yang berlaku ketika krisis ekonomi? Bukankah ketika itu, kadar interest yang perlu dibayar oleh pelanggan juga amat tinggi. Ini tidak akan berlaku dalam pengamalan bank Islam kerana di awal kontrak lagi menetapkan harga jualannya, tanpa terikat dengan BLR dan tidak akan naik malah mungkin boleh turun sekiranya bank Islam bermurah hati memberikan rebate (ibra') apabila pihak pelanggan ingin membuat penyelesaian hutang awal ‘early settlement'. Perlu dingat BLR naik beberapa kali sepanjang tahun lepas dan tahun ini dari 6% sehingga 6.75%. Ia juga boleh melonjak lagi mengikut keadaan ekonomi.

sila fahamkan

Ini bermakna, kenyataan yang menyebut perbankan Islam mengenakan kadar yang lebih tinggi bagi dibayar oleh pelanggan adalah kenyataan yang kurang tepat dan boleh dipertikai.

Malah apabila dilihat kepada kadar membiayai yang dikenakan oleh perbankan Islam bagi produk-produk membiayai perniagaan juga membuktikan kadar adalah setara seperti ditawarkan oleh bank konvensional malah lebih murah dalam banyak keadaan. Hal ini sukar didedahkan kerana kadar membiayai syarikat berubah-ubah bergantung kepada tiga hal terpenting:

  • a) Kadar mengurus minima (cost of fund ) bank islam itu.
  • b) Prestasi dan kekuatan organisasi yang memohon pembiayaan.
  • c) Potensi and risiko perniagaan yang ingin diceburi.

Semua yang disebut di atas mempengaruhi kadar yang dikenakan kepada pemohon. Saya sedar, walaupun saya menerangkan fakta di atas terdapat orang ramai yang mula menyebut:

Zalim?

"Jadi mengapa hanya setanding dengan konvensional? Kami ingin kamu menjadi lebih murah."

"Bukankah bank Islam ini patutnya 'maqasid' (objektif Shariah) adalah membantu umat Islam, lalu kenapa mahal? " tanya pelajar sarjana IPTA kepada saya.

Ketika itu, saya memberikan ceramah khas berkenaan produk perbankan Islam di sana, turut hadir adalah ketua jabatan fakulti Shariahnya. Lalu saya melihat kepada professor itu dan bertanya.

"Professor, berapakah yuran yang dikenakan apabila saya ingin mengambil PhD dalam bidang Fiqh Islam dan Perbankan Islam."

"Lebih kurang RM13,000" katanya.

"Mengapa begitu tinggi Professor, kenapa tidak yurannya hanya RM 2000 sahaja?" tanya saya menguji.

"Mana boleh, macam mana nak bayar gaji pensyarah kalau begitu" tegas Professor tersebut.

Demikian dapat saya simpulkan hal di perbankan Islam juga, harga yang ditawarkan adalah menurut kemampuan dan keperluan pasaran. Perlu difahami Islam menjaga hak penjual dan pembeli secara adil. Bukan hanya hak pembeli sahaja yang perlu dijaga.

Adalah dikira kezaliman pada kita sebenarnya, apabila kita mengutuk kedai nasi lemak seorang islam kerana menjual nasi lemak dengan harga RM2.00, dalam keadaan kedai bukan Islam menjual pada harga yang sama ataupun lebih murah sedikit. Padahal, si Muslim menjual dengan kadar harga yang ia mampu tawarkan dan halal.

Jual 2 Kali Ganda Harga Modal Tidak Zalim?

Ada yang merungut dengan mengatakan bahawa bank-bank Islam zalim kerana harga aset yang dijualnya kepada pelanggan adalah dengan 100% keuntungan nescaya ia haram?.

Jawapan saya, tidak sama sekali, selagi ia diterima oleh harga pasaran. Buktinya adalah dari hadith Nabi SAW :-


أن النبي -صلي الله عليه وسلم- أعطاه دينارًا يشتري له به شاة، فاشتري له به شاتين، فباع إحداهما بدينار، فجاء بدينار وشاة فدعا له بالبركة في بيعه، وكان لو اشتري التراب لربح فيه


Ertinya : Sesungguhnya Nabi SAW memberi 'Urwah satu dinar untuk membeli seekor kambing, maka (atas kebijaksanaannya) dapat dibelinya dua ekor kambing, lalu dijualnya seekor dengan harga satu dinar, lalu ia dating bertemu Nabi membawa satu dinar dan seekor kambing, maka Nabi terus mendoakannya dalam jualannya, yang jika ia membeli tanah sekalipun pasti ia akan mendapat untung" ( Riwayat Al-Bukhari, no 3642 )

Hadith ini menunjukkan bagaimana sahabat membeli dua ekor kambing dengan harga satu dinar, bermakna 1/2 dinar seekor, dan kemudian menjualnya degan harga 100% keuntungan iaitu 1 dinar seekor. Transaksi ini diiktiraf oleh nabi malah dipuji dan didoakannya.

Justeru, tindakan bank-bank Islam yang menjual rumah atau asset kepada pelanggan yang dibelinya dengan harga 100 % lebih dari harga asal adalah halal selagi mana pasaran dapat menerimanya.

Kunci Memahami

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan hal ini pembaca perlu memahami fakta berikut :-

a) Bank-bank Islam adalah merupakan syarikat-syarikat berlesen dan berdaftar yang juga mensasarkan keuntungan supaya organisasi maju ke hadapan. Bagi mencapai sasaran itu, perbankan Islam menawarkan khidmat kewangan menurut Islam melalui produk-produknya yang diiktiraf Shariah. Ia bukannya badan kebajikan yang menawarkan khidmat secara percuma.

b) Bank-bank Islam juga mempunyai pelabur-pelabur yang mengharapkan pulangan yang baik hasil pelaburannya, dan ia bukannya wang subsidi yang diberi secara percuma. Saya yakin, apabila anda menjadi salah seorang daripada pemegang saham utama di bank Islam, adakah anda dengan mudah merelakan keuntungan yang diraih berkurangan semata-mata kerana ingin membantu umat Islam?. Jawabnya, ia tertakluk kepada iman pemegang saham itu. Hasilnya, apabila anda merungut ianya mahal, berusahalah supaya anda menjadi salah seorang pemegang saham dan mampu rendahkan harga bank yang anda miliki. Ini amat terpuji dan yang amat saya galakkan secara peribadi.

c) Bank-bank Islam juga mempunyai para kakitangan yang perlu di bayar gaji selaras dengan nilai pasaran. Keuntungan adalah amat penting bagi menjamin kakitangan yang berkualiti dapat dikekalkan bagi mengurus bank secara efektif dan kompetetif.

d) Bank-bank Islam juga perlu membayar kos operasi bangunannya dan peralatan-peralatannya. Justeru itu, apabila khidmat yang ditawarkan adalah percuma dan amat murah, bagaimana mungkin sebuah bank Islam mampu terus berkembang.

Selepas memahami empat fakta di atas, cuba fahami fakta berikut pula:

a) Apabila anda mengatakan, perbankan Islam sepatutnya sentiasa lebih murah berbanding konvensional kerana ia membantu orang ramai terutamanya orang Islam. Anda perlu menyedari kebajikan dan kepentingan bank juga perlu dijaga supaya mampu terus menerus membantu segenap lapisan masyarakat. Nabi tidak membenarkan kawalan harga dibuat oleh kerajaan pada masa yang tidak terdesak. Nabi juga menolak permintaan sahabat baginda untuk melakukan 'ceilin' harga di ketika pasaran tidak diserapi unsur zalim oleh peniaga. Sebagaimana respon dan jawapan nabi SAW kepada sahabat baginda :

بل الله يخفض ويرفع , وإني لأرجو أن ألقى الله وليس أحد منكم يطالبني بمظلمة في دم أو مال

Ertinya : Bahkan Allah SWT adalah yang menaik dan menurunkan harga, dan sesungguhnya akhu berharap untuk bertemu Allah dan tiada seorang pun dari kalangan kamu menuntut dariku akibat sebarang kezaliman ( yang aku lakukan) samada berkaitan darah atau harta" ( Riwayat Abu Daud ; hlm 385 ; Al-Bayhaqi, 6/29 ; Sohih menurut Albani)

Ia adalah kerana Nabi tidak mahu menghadkan hak peniaga bagi mendapat keuntungan. Justeru itu, selagi mana ruang keuntungan masih berada di paras pasaran adalah dibenarkan. [1]

b) Apabila anda mengatakan, perbankan Islam sepatutnya membantu orang-orang yang susah dan bukan semakin menyukarkan mereka. Maka anda perlu memahami apabila bank Islam itu memperolehi keuntungan, ia akan mengeluarkan zakat bagi asnaf (kumpulan) yang layak menurut Shariah. Malah selain itu, bank-bank Islam juga mempunyai peruntukan sumbangan kebajikan yang diberikan menurut keadaan. Bukankah itu juga membantu individu yang susah dan memerlukan.

Ini jelas, kerana orang yang benar-benar susah tidak akan mampu mendekati bank dan mengajukan permohonan. Maka sesiapa yang diluluskan permohonannya oleh bank-bank Islam sebenarnya adalah orang yang agak senang. Justeru itu, bukankah amat baik apabila zakat yang dikeluarkan oleh bank disalurkan kepada orang yang benar-benar susah berbanding yang sederhana susah. Kita perlu mengetahui jumlah peruntukan zakat yang sediakan oleh bank-bank Islam dan jendela "windows" perbankan Islam bagi tahun kewangan 2005 sebagai contoh adalah seperti berikut: RHB ISLAMIC Bank: RM920 ribu, HSBC Amanah: RM49 ribu, Maybank "Islamic windows": RM1.172 juta ; Public Bank "Islamic windows": RM55 ribu, Hong Leong Islamic: RM45 ribu. Merujuk kepada laporan setiap bank berkenaan bagi tahun kewangan 2005. Bukankah ini benar-benar membantu orang yang susah sebagaimana yang diinginkan?

c) Keuntungan baik yang diperolehi bank-bank Islam juga membolehkan bank ini meluaskan lagi jangkauan operasinya, selain memantapkan lagi keuntungan akan datangnya. Ia adalah amat baik kerana bakal menghasilkan lebih banyak peluang kerjaya baru bagi individu Muslim di perbankan konvensional yang ingin berhijrah ke perbankan Islam, ia juga mewujudkan banyak peluang pekerjaan buat rakyat sekaligus membantu mereka. Malangnya, ramai yang suka menyempitkan fikiran mereka dengan hanya melihat kepada kadar-kadar membiayai sahaja.

d) Adakah anda menyedari? Apabila bank mendapat keuntungan yang baik, maka ia juga menghasilkan kadar pulangan yang tinggi bagi penyimpan-penyimpan di akaun Islam sebagai contoh Akaun Mudharabah. Individu yang menyimpan akan mendapat pulangan yang lebih besar. Demikian juga penyimpan yang menyimpan dalam Akaun Simpanan Wadiah. Mereka juga berpeluang mendapat pulangan ‘hibah' yang menarik. Ia juga satu lagi bentuk bantuan tetapi tidak disedari oleh orang yang merungut ini.

Adakah fakta ini mencukupi? Saya akan memberi jawapan memahamkan rakyat Malaysia.

1) Nilai yang halal adalah tidak ternilai.

Seorang usahawan Malaysia memberitahu saya pengalamannya di London, harga ayam yang disembelih jauh lebih mahal daripada ayam yang tidak disembelih. Bagaimanapun, umat Islam tetap terpaksa membeli ayam yang mahal tadi demi memastikan makanannya halal walaupun ia lebih mahal.

Bagaimana apabila individu mengatakan produk bank Islam lebih mahal. Majlis Penasihat Shariah masing-masing mengesahkan produk yang halal berbanding produk-produk yang tidak disahkan Shariah.

Fenomena yang agak ganjil berlaku hari ini adalah orang Islam mengambil berat makanan yang dicampur dengan ayam tidak sembelih dan sebagainya, tetapi sering melupakan riba diharamkan. Ia adalah jauh lebih berat daripada memakan ayam bangkai ataupun khinzir.

Allah SWT berfirman :-

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا

Ertinya : Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi saleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan" ( Al-Kahfi : 46 )

Ayat surah Kahfi menurut Syeikh Ibn Asyur mengingattkan kita betapa perlunya kita menyedari amal soleh dan keberkatan adalah lebih perlu diutamakan dari harta banyak tanpa halal. Jadi dalam konteks ini, walaupun anda mendapat harga rendah di bank konvensional. ia bukanlah amal soleh kerana ia adalah Riba yang haram.

Malangnya umat Islam, bila bercerita berkenaan perbankan Islam yang halal, yang paling disibukkan adalah kadarnya yang lebih mahal dari konvensional kononnya. Tidak terlihat langsung elemen HALAL dan HARAM dalam mindanya. Padahal, menggagahkan diri menggunakan perbankan Islam walaupun sedikit lebih mahal merupakan satu amal soleh yang amat terpuji dan itulah yang dilihat oleh Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat di atas.

Ini lah bukti, umat Islam sudah semakin hilang sensitiviti kepada alam barzakh dan akhiratnya. Padahal, tiada yang lebih zalim dari bank yang menyediakan perkhidmatan haram Riba, semurah manapun mereka. Kerana ia tetapi haram dan amat zalim menurut hak Allah SWT.

2) Kos tambahan bagi khidmat profesional pengesahan Shariah.

Apabila dilihat daripada perspektif perniagaan dan logik pula. Pengesahan Shariah amat diperlukan dalam semua produk, aktiviti pelaburan dan pembiayaan bank Islam. Justeru itu, keadaan ini dianggap sebagai satu proses menambah piawaian profesional yang pastinya memerlukan kos masa, tenaga dan kepakaran tambahan. Keadaan ini sekali lagi menyebabkan semua produk yang ditawarkan bank Islam adalah unik, istimewa dan melalui proses ‘Shariah Screening', yang lebih unik dan berkualti mempunyai nilai pasaran yang sedikit berbeza.

3) Bank-bank Islam adalah pemain-pemain kecil yang sedang meningkat naik.

Ini ternyata daripada statistik yang dikeluarkan oleh Laporan bank Negara Malaysia Tahun 2005 melaporkan aset semua bank-bank Islam dan jendela perbankan Islam di Malaysia sebanyak RM111.8 billion dan ia hanya merupakan 11.6% daripada keseluruhan aset bank di Malaysia. Ini bermakna, bank konvensional masih menguasai industri perbankan dengan cukup jauh sekali. Bagaimanapun, kita bersyukur kerana prestasi perbankan Islam mencatatkan pertumbuhan sebanyak 17.7% berbanding tahun 2004.

Jumlah Keseluruhan Asset Bank di Malaysia Menurut Ranking Pada 30 Jun 06

Maybank : RM 224 Billion

CIMB Group : RM 154 Billion

Public Bank : RM 135 Billion

RHB Capital : RM 96 Billion

AMMB Holdings : RM 72 Billion

Hong Leong : RM 61 Billion

EON Capital : RM 38 Billion

Affin Holdings : RM 35 Billion

Bank Islam Malaysia Berhad : RM 18 Billion

Sumber : NST, 26 Nov 06

Maka, sebagai pemain-pemain kecil yang sedang naik, kadangkala harga yang ditawarkan mungkin lebih tinggi sedikit berbanding pemain-pemain besar. Ia dianggap seperti harga barangan yang ditawarkan di kedai runcit dibandingkan dengan harga di hypermarket.

Individu memahami bank konvensional yang mempunyai aset besar sekitar RM150 billion (sebagai contoh), apabila ia menghadapi hutang tidak berbayar (non performing loan) daripada peminjamnya berjumlah RM150 juta, kedudukan bank itu masih tidak tergugat. Bagaimanapun, sekiranya bank Islam dengan asetnya berjumlah RM8 billion (seperti RHB Islamic Bank pada tahun 2006), apabila ia mempunyai jumlah nilai hutang tidak berbayar dalam jumlah yang sama (RM150 juta), sudah tentu ia akan memberikan kesan yang besar kepada jangka hayat bank Islam itu.

Kesimpulannya, bank-bank Islam serta kaunter / jendela "windows" Islam hari ini perlu diberi lebih sokongan oleh semua rakyat demi memampukan ia mencapai tahap yang di gariskan kerajaan (iaitu 20% aset perbankan Islam berbanding konvensional), malah mengatasinya. Apabila hari ini kita sanggup berkorban sedikit demi memajukan bank-bank Islam, nescaya sudah pasti generasi akan datang mampu melihat dan menikmati kadar yang sangat hebat serta halal daripada institusi kewangan Islam dan produk-produk Islam.

Saya secara peribadi juga amat mengharapkan agar kadar pembiayaan yang dikenakan oleh Bank-bank islam boleh lebih murah dari sekarang, bagaimanapun saya tidak dapat menyembunyikan syukur saya, kewujudan mereka ini pun adalah satu nilai yang besar buat umat Islam kerana dengannya dapat kita mengelakkan pembelian rumah dan lain-lain dari terjebak dengan Riba.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

Tulisan asal disiarkan pada 2006

Diedit pada 25 Julai 2007

Wednesday, August 8, 2007

Behold to all old boys and girls

Assalamualaikum..

Update
----------------------------------------------------------------------------------------------
Semua urusan maklumbalas dan keterangan lanjut, sila hubungi:
  • Alamat: Madrasah Idrisiah. Bukit Chandan, 33000 K.Kangsar, Perak.
  • Untuk perhatian (kalau surat-menyurat): Pengetua.
  • Tel: 05-7761961
  • Faks: 05-7768268
  • H/P: 013-5283143 / 012-5599181
  • Untuk bayaran wang pos /cek, sila buat atas nama: PERSATUAN BEKAS PELAJAR MADRASAH IDRISIAH
  • No akaun: Maybank - 008092309636
p/s: bayaran untuk ahli komuniti87 boleh dijelaskan sebelum atau pada 24 Ogos 2007.


Posting Asal
................................................................................................
Salam sejahtera buat semua. Beberapa hari yang lalu aku terima surat daripada Madrasah Idrisiah. Tujuan surat tu dikirimkan adalah kerana menjemput bekas pelajar-pelajar Idrisiah untuk menghadiri 'Majlis Makan Malam Bekas Pelajar Idrisiah'.

Butirannya seperti berikut:
  1. Tarikh: 1 September 2007
  2. Tempat: Dataran Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan, K.Kangsar, Perak
  3. Waktu: 8.00-11.00 malam
Tentatif programnya pula:
  • 3.00 petang: Pendaftaran kehadiran
  • 3.30 petang: Mesyuarat Agung Tahunan
  • 4.30 petang: Mesyuarat tamat - minum petang, solat Asar
  • 5.30 petang: Acara ramah mesra bersama bekas pelajar - pendaftaran kehadiran, makan malam
  • 7.00 petang: Tahlil - solat Maghrib - kuliah Maghrib dan solat Isyak
  • 9.00 malam: Program makan malam bermula - ucapan alu2an pengerusi, ucapan perasmian Sahibul Samahah al-Fadhil Dato' Seri Dr. Haji Harussani bin Haji Zakaria (Mufti Perak), Jamuan bermula, persembahan pelajar, penyampaian hadiah & cenderamata
  • 11.00 malam: bersurai
Bayaran pula sepertinya di bawah:
  1. 1 tempat duduk RM50.00 / 1 tempat duduk isteri RM50.00 (anak percuma)
  2. Tajaan meja guru / kakitangan: 1 meja RM250.00 / 1 meja RM500.00
yang bermaksud: kalau pi sorang, bayaran hanya RM50.00 tapi kalau bawak anak bini tambah lagi RM50.00 (ni kalau ada sorang bini sahaja). Anak dikecualikan daripada bayaran. Yang mana ada anak ramai, memang untung. Bini ramai, kena bayaq lebih la sikit. Kalau nak tolong taja meja makan untuk guru / kakitangan madrasah, ada dua jenis meja: 1. meja kecik RM250.00 sahaja. 2. meja besaq RM500.00. Juadah aku tak tau depa nak jamu apa. Tu kena tanya el-Syazali sendiri la apa menu dia.

Pakaian: baju kebangsaan / batiks (untuk lelaki). Kemas dan bergaya. Seluaq kena pakai la jugak walaupun dalam program tu depa sebut baju sahaja. Pompuan jangan la pi majlis tu pakai kain batiks puloks. Malu kat Tok Peti (dato' mufti).

Jadinya, aku rasa inilah peluang terbaik kita untuk bertemu muka dengan kawan-kawan dan bekas pelajar-pelajar Idrisiah yang lain. Di samping kita dapat share our 2 cents idea or whatever comment regarding our madrasah.

Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama memenuhi jemputan tak kira sama ada kita dapat surat jemputan ataupun tidak. Inilah masanya untuk kita menunjukkan kesungguhan kita dalam membantu madrasah kita untuk maju ke hadapan.

Buat mereka yang tengah sempit poket, bayaran boleh dijelaskan sebelum atau pada 24 Ogos 2007. Cumanya, tolong maklum awai yakni pada 10 Ogos ni kepada pihak Madrasah Idrisiah sama ada hadir atau tidak. Nanti senang depa nak bajet kerusi meja dan perkara-perkara lain.

Kita jangan dok pelekeh sekolah kita atau cakap-cakap kot belakang bila jemputan ni kita tak hadir tanpa alasan yang munasabah ataupun ada keuzuran. Sama-sama kita bantu dan sokong SAR tak kira sekolah tu tempat kita mengaji dulu atau tidak. Ni tanggungjawab kita semua.

Action is stronger and louder than words. CU!

Wednesday, August 1, 2007

Durian, Optimus Prime dan kawan-kawan continues

Ok.. sambungan daripada posting sebelum ni. Petuanya adalah seperti berikut:
  1. Menggeliat dulu sebelum bangun tidur. Pastikan anda dalam keadaan masih berbaring. Lunjurkan kaki dan tegakkan tangan. Mengeliatlah sepuas-puas hati anda secukup rasa. Kemudian bangun duduk dan tundukkan badan sehingga jari tangan anda kena pada telapak kaki. Kemudian, lipatkan kaki dan temukan kedua tapak kaki anda sehingga bersentuhan antara satu sama lain (kalau mampu, buat tanpa sisi lutut terangkat). Nota: buat mereka yang mempunyai perut yang besar, tidak perlu tunduk sampai 'krem' perut tuh. Cukuplah sekadar anda rasai urat belikat di belakang anda berasa tegang.
  2. Basuh muka sebanyak tiga kali sebelum berkumur apabila bangun daripada tidur. Amalkan setiap kali anda bangun daripada tidur. InsyaAllah, segala sakit kepala dan fikiran yang berserabut akan hilang.
  3. Khusus untuk orang lelaki (tak dapat dikongsi bersama-sama atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan). Kalau mau, boleh hubungi rakan-rakan yang hadir sesi 'berkongsi petua' bersama Alems tempoh hari.
Sekian dahulu untuk petua buat masa ini. Sekiranya anda mempunyai petua turun-temurun yang boleh dikongsi bersama, sila kongsi petua anda di ruangan komen. Terima kasih.

Usai solat Maghrib-Isya' di rumah Mail, kami (Jamil, Yusrin, Mat dan aku) bersama Mail bergerak menuju ke Ipoh. Di sana, kami makan malam di medan Gopeng bersama-sama Zaki, Din Adam dan kawannya. Abis selesai makan, Din dan kawannya pulang sebab ada peperiksaan MBA pada keesokan paginya. Tak lama selepas Din cargas, datang le pulok si Fakhrul Zaman. Melepaklah kami sehingga pukul 11 lebih malam. Bercerita dan bertanya khabar perihal masing-masing. Dan dikesempatan ini, aku jugak nak maklumkan tentang perjumpaan seluruh warga Komuniti87 kali ke-2, insyaAllah akan diadakan pada bulan Mac 2008, bertempat di Pulau Pangkor. Tarikh sebenar belum diberi kata putus oleh AJK.

Pukul 12 malam, kami sudah berada di atas PLUS menuju pulang ke Kuala Lumpur. Dalam perjalanan ketika melewati Gua Tempurung, Yusrin membuat percubaan untuk bercerita tentang perkara ganjil yang dikisahkan berlaku sekitar Gua Tempurung. Malangnya, dia gagal untuk menghabiskan cerita tersebut sebab aku gelak sakan. Sebab apa aku gelak? Hanya Yusrin, aku, Mat dan Jamil saja yang tau. Lepas pada tu, aku berasa duduk dalam dunia yang kelam. Sedar-sedar dah sampai kat MRR2 interchange Ampang sebab Jamil bawak kereta macam orang kena sawan. Zup, zap, zup.... cilok baeekk punya. Macam pelesit. Sampai di Pandan Indah pukul 2.00 pagi.

Terima kasih buat semua yang sudi meluangkan masa bersama. Tidak kira sama ada yang pergi ke rumah Mail, lepak makan malam di Ipoh juga yang membaca blog ni. Tanpa hangpa semua, hidup aku mungkin tidak semeriah ini.

Sekian.