Solat Time

Monday, October 29, 2007

Perjumpaan Eidul Fitri Syawal1428H

Assalamualaikum..



Gembira! Itu yang hatiku dapat nukilkan di sini. Selaku moderator, aku pohon ampun dan maaf sebab tak poskan posting untuk jemputan Perjumpaan Eidul Fitri 1428H semalam (28 Oktober) yang berlangsung di rumah Izanee.

Terima kasih buat rakan-taulan yang sudi meluangkan masa bersama-sama keluarga tersayang untuk menghadiri majlis yang cukup sempoi dan penuh kesederhanaan. Terima kasih juga buat tuan rumah ( mak&ayah Izanee) serta anaknya yang sudi menjadi hos venue untuk kesekian kalinya. Terima kasih juga buat mereka yang tidak dapat hadir tetapi sekadar berdoa moga majlis berjalan dengan lancar.

Seperti biasa, muka-muka yang 'familiar' juga yang hadir, namun jauh di sudut hati, aku tetap bersyukur dengan kehadiran yang secara puratanya sederhana jika dibandingan dengan bekas 'batch 87' yang ada di sekitar Lembah Klang. Mungkin dek kerana tugasan dan halangan menyebabkan ada di antara kita yang kurang bernasib baik untuk turut serta ke majlis tersebut. Walau apapun jua, kami senantiasa kenang dan berdoa selalu semoga kesihatan tubuh badan dan kelapangan masa diberikan oleh Allah SWT kepada kalian.

Juadah laksa utara sama hidangan sempoi dan aiskrim menjadi pilihan hos kita. Semuanya sedap-sedap belaka. Tak kurang dengan keletah anak masing-masing yang membingitkan telinga dek hilai-tawa dan tangisan (anak aku la tu si Nadia). Buat pertama kalinya, para ibu berkumpul beramai2 serta beramah mesra. Moga Allah memberi rahmat dan InayahNya buat kita semua.

Moga Allah SWT menemukan kita di dalam sebaik-baik pertemuan. InsyaAllah, tahun depan kita buat lagi.


Wednesday, October 24, 2007

Syawal yang bahagia

Assalamualaikum..

Moga Allah melapangkan diri kita semua, insyaAllah. Semalam aku pergi melawat mak sdr Saiful Asri. Perkembangan terkini, mak dia sudah sedarkan diri daripada koma. Hasil usaha dan keberkatan doa daripada kawan-kawan semua. InsyaAllah, kita akan terus mendoakan yang terbaik buat emaknya.

Pulang aku dari berhari-raya dikhabari dengan berita-berita gembira yang dilalui oleh kawan-kawan. Antaranya, kenalan di opis aku ada dua orang yang sudah bergelar jutawan. Ditambah pula dengan kawan-kawan Idrisiah yang sudah mula menaikkan taraf kehidupan masing-masing. Ni hadiah dan kurniaan Allah. Jangan kita lupa dan lalai dalam mengingatiNya. Dengan senang Dia berikan segalanya dan dengan mudah diambil kembali.

Ada seorang kawan di opis ni yang dulunya memang susah sangat. Sampaikan dihalau keluar dari rumah sewa sebanyak empat kali. Anak kecilnya yang berumur baru tiga bulan pula meninggal dunia akibat jangkitan sejenis virus yang ditemui di dalam susu tepung yang dibelinya. Sampai nak datang ke opis masuk kerja terpaksa menumpang orang dan berhutang sana-sini nak beli susu anak. Bini dia tabah bersama-sama menghadapi ujian. Anak kedua pula mengidap penyakit asma yang kronik. Memang hamba Allah ni diuji dengan berat oleh Allah. Namun dia tidak pernah mengeluh akan kesusahannya.

Tapi hari ni, dia tengah bikin rumah harganya RM1 juta di Puchong. Dan ditawarkan menjadi CEO di dua buah syarikat dalam satu masa. Pendapatan bulanan tak kurang RM27K.

Kenapa aku membawa secebis kisah ini untuk dikongsi bersama? Sebab aku nak kawan-kawan yang sedang menghadapi dan ditimpa kesusahan supaya sentiasa bersabar dan jangan mengeluh di atas kesusahan yang menimpa. Yang penting ialah usaha, berdoa dan tawakkal. Itulah kunci yang kawan aku ni pegang dan pakai.

Aku petik potongan lagu nasyid daripada kumpulan Hijjaz:

Jangan difikir derita akan berpanjangan
Kelak akan membawa putus asa pada tuhan
Ingat biasanya kabus tak berpanjangan
Setelah hujan berlalu, pasti cerah kembali

Ujian adalah tarbiah dari Allah
Apakah kita kan sabar ataupun sebalik
Kesenangan yang datang selepas kesusahan
Adalah nikmat dariNya..

Kalau Allah Taala tidak berikan kesenangan buat kita di dunia, kita berdoa moga Allah berikan yang terbaik buat kita di dunia dan di akhirat kelak.

Allah knows best.

Wallahu Alam

Monday, October 8, 2007

Selamat Menyambut Aidil Fitri

Assalamualaikum..

Selamat Menyambut Eidul Fitr (Aidil Fitri) 1428H. Moga Syawal yang menjelang membawa kerahmatan dan kegembiraan buat semua.

Walaupun kita dihujani dengan pelbagai masalah seperti; pembunuhan, korupsi dalam kerajaan, gejala sosial, petrol, tol dan harga barangan naik, kita percaya bahawa kedatangan Aidil Fitri kali ini dapat melegakan sedikit fikiran dan poket yang senak. Walaupun banyaknya duit raya yang akan berterbangan dek kerana di'pau' oleh anak-anak saudara / anak jiran / anak sendiri / anak tiri/ anak tok ketua dan ketua kompang, jauh di sudut hati kita tetap gembira dengan kedatangan Syawal.

Ada yang gembira kerana tak perlu berpuasa, ada yang gembira kerana dapat balik bercuti lama dan juga yang gembira kerana dapat berjumpa sanak-saudara. Namun, janganlah kita lalai dan alpa dalam mengingati Allah SWT tatkala bergembira di samping keluarga tercinta. Perlulah diingatkan bahawa 1 Syawal adalah hadiah kemenangan daripada Allah SWT untuk disambut oleh umat Islam dengan penuh kesyukuran, ketaqwaan dan dengan penuh kegembiraan.

Dikesempatan ini, aku selaku moderator blog ini, memohon ampun dan maaf daripada semua pengunjung setia dan tidak, andai kata ada terkasar bahasa dan tercalar bicara di dalam berkongsi pendapat dan cerita.

Eidul Sae'id..
Kullu A'm wi Antum Bikhair...

p/s: semalam aku lalu lebuhraya PLUS dari Taiping-KL. Banyak lagi bahagian yang belum siap dan aku jangkakan akan berlaku kesesakan teruk di atas lebuhraya sempena cuti Hari Raya kali ini. Nasihat aku, lalu jalan lama lagi baik sebab tak kena tol. Lambat memang lambat, tapi kita kena save duit. Jangan membazir kerana membazir itu amalan syaitan dan jangan lupa bayar ZAKAT Fitrah.

Tuesday, October 2, 2007

Al-kisah...

Assalamualaikum..



Buat tuan rumah, teman, rakan, handai dan taulan yang menghadiri sesi Iftor Jama'i untuk kesekian kalinya, ucapan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kerana sudi meluangkan masa bersama-sama. Buat mereka yang tidak dapat hadir, terima kasih di atas sokongan anda. Dan Buat mereka yang buat 'derk' dan 'elegent silent', moga Allah Ta'ala bukak pintu hati join kami semua. Tak rugi kalau mai join, malahan rugi kalau tak join sebab kurang nikmat kasih-sayang sesama muslim. Rasa aku la.. sejak dari tahun 2003, kita tak pernah failed so far, Alhamdulillah dan insyaAllah akan kita teruskan usaha baik seperti ni untuk tahun-tahun yang mendatang.

Seperti biasa, Malaysia menggunakan waktu MRT (Malaysian Rubber Time). Maka yang demikian itu, majlis berbuka yang sepatutnya secara jama'i, tidak dapat disempurnakan sebab ramai yang tak dapat datang berbuka mengikut masa 'standard' berbuka kerana hal-hal yang tak dapat dielakkan. Walau macamana sekalipun, buat hadirin/hadirat, majlis dijayakan dengan penuh jayanya dalam suasana penuh kesederhanaan.

Wo ho.. sebelum lupa.. iftor bukan sekadar juadah biasa, tapi dengan jemputan khas yakni abg Kamben kita yang sudi membuat 'special appearance' menjadi mangsa untuk ke sekian kalinya. Sedap beb... tak cukup untaian kata-kata indah untuk kami gambarkan syahdu dan lazatnya kamben di malam bulan Ramadan.

Terima kasih tidak terhingga buat sdr. Ahmad Husaini Dakir dan isteri, keran sudi mencemar duli menghadiri dan memeriahkan suasana malam Ramadan yang diberkati. Kalau ada peluang, join la lagi. Amcam kambing brader? Sedap? Kalau tanya aku, for sure aku jawab : "YANG TERBAAEEEEEEK!!!!!".

Di sini juga aku ingin merakamkan terima kasih yang tidak terhingga buat tuan rumah sebab walaupun rumah dilanda banjir, tapi tetap sudi jugak izinkan guna premis untuk buat majlis. Memang tak leh balas la. Allah jua yang Maha Mengetahui bahawa betapa hati ini terlalu dan amat terharu dengan kemudahan 'facility' yang disediakan.

Dan untuk makluman semua, kami makan sambil ingat kat kengkawan, tapi taktau la kot kawan2 ingat kat kami ke dak.. harap2nya ingat sama kat kami.

Kita ada satu sesi baru yang dikenali sebagai sesi terapi mata. Justeru, sesiapa yang nak berurut mata, mai la join. Insyaallah kita akan teruskan sesi ni selagi ada permintaan. Sesi dijalankan secara percuma.

Insyaallah, panjang umur.. moga kita bersua kembali.

Au Revoir..