Assalamualaikum..
Aku rasa sampai masa untuk kita bicara soal masa depan anak2 kita. Berkenaan isu PPSMI. Aku nak tanya pendapat buat para ustaz, guru dan tenaga pengajar yang lain, apakah keburukan dan kebaikan yang wujud di dalam penerapan PPSMI bermula di peringkat persekolahan rendah sehinggalah ke peringkat tertinggi?
Aku ada bertanya dan menyoal selidik beberapa guru di sekitar Kuala Lumpur dan ada yang datangnya dari luar bandar seperti guru di Kodiang, Kedah, Sg Lalang di Sg. Petani, dan sebagainya. Apa yang aku dapati, kebanyakannya menentang secara diam memandangkan mereka para guru takut diambil tindakan sekiranya terbabit secara langsung dan terang-terangan oleh pihak atasan. Manakala, ada juga yang menyokong akan PPSMI.
Antara hujah mereka yang menentang PPSMI adalah kerana ketidakfahaman anak didik dalam kelas dan kegagalan guru sebagai medium terpenting mengajar di dalam bahasa Inggeris menjerumuskan masa depan anak didik ke arah yang gelap. Kedudukan bahasa Malaysia tidak lagi dianggap penting pada masa hadapan. Dan secara tidak langsung menafikan kemampuan bahasa Malaysia untuk berasimilasi dengan kehendak dunia global yang lebih mencabar. Sains dan Matematik yang sememangnya tidak menjadi subjek pilihan di dalam masyarakat melayu sedari dulu hingga sekarang. Gerakan penerapan PPSMI akan lebih memburukkan lagi keadaan di mana Malaysia masih kekurangan tenaga professional berbangsa Melayu. Cukuplah sekadar kesilapan kerajaan dalam mematikan tulisan jawi. Janganlah pula cuba menidakkan kemampuan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dan teknologi.
Dengan penerapan PPSMI ke dalam sistem pendidikan, ianya akan mematikan semangat dan kemahuan pelajar yang berminat dengan sains dan matematik di peringkat akar umbi. Ini kerana pelajar gagal memahami asas kedua-dua subjek tersebut kerana terpaksa belajar di dalam bahasa yang tidak difahami dan bukannya bahasa ibunda. Seterusnya menjadikan cabaran untuk menguasai ilmu tersebut bertambah dan membebankan.
Manakala bagi kebanyakan mereka yang menyokong, memberikan hujah dengan mengatakan bahawa kita tidak sehebat Perancis, Jepun, Russia waimma Jerman. Kita tidak memiliki teknologi. Kita menceduk teknologi dan menjadi pengguna teknologi, bukannya sebagai bangsa yang melahirkan teknologi mahupun menguasai apa jua teknologi. Tidak seperti Jepun yang menguasai beberapa bidang teknologi yang menyebabkan ramai pelajar luar negara datang ke negara matahari terbit tersebut. Sama juga keadaannya seperti di Russia yang menawarkan teknologi angkasa lepas yang lebih murah berbanding AS. Mereka itu merupakan negara bangsa yang hebat dan menguasai ketamadunan dan mempunyai kekuatan di dalam pengupayaan memajukan teknologi.
Ditambahkan lagi dengan betapa kurangnya gerakan dan kemahuan badan-badan kerajaan mahupun sektor swasta dalam menterjemahkan terminologi santifik ke dalam bahasa Malaysia. Terjemahan buku-buku rujukan yang sedia ada di pasaran tidak seiring dan terlalu lambat sekiranya dibandingkan dengan pengeluaran buku-buku di dalam bahasa Inggeris.
Ada juga yang beranggapan bahawa dalam jangkamasa panjang, PPSMI akan menampakkan kesan positif sekiranya diberikan peluang, masa, ruang serta sokongan untuk berjaya. Tidak akan mati jati-diri orang Melayu sekiranya belajar Sains dan Matematik di dalam bahasa Inggeris.
Cuba lihat keadaan pada hari ini, rata-rata mereka yang lulus universiti tempatan, kebanyakan gagal menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan dalam masa yang sama juga gagal menguasai bahasa Malaysia dengan sempurna. Dan mereka yang berpeluang mencari pekerjaan mahupun menyambung pelajaran di luar negara, perlu menguasai bahasa Inggeris.
Ya! Isunya ialah kenapa tidak diperkasakan sahaja pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris itu sendiri? Kenapa perlu dikorbankan Sains dan Matematik semata-mata untuk menguasai bahasa Inggeris? Apa jawapan dan pendirian kawan-kawan semua?