Assalamualaikum..
Selamat hari-hari (dipetik daripada kata-kata si Apek dalam radio ERA). Sempena cuti Raya Cina baru-baru ni dan juga cuti-cuti lain yang bakal menyusul, aku dapat anggarkan ramai di antara kita yang telah, sedang dan akan berjalan ke sana-sini menaiki kenderaan. Dan antara perkara yang paling penting pada kenderaan beroda ialah tayar. Kerana tayarlah satu-satunya anggota badan kenderaan yang menyentuh tanah. Setinggi-tinggi kapal terbang di langit, bila nak 'landing', mesti pakai tayar. Kalau naik kapal laut atau sampan, tu tak masuk la dalam golongan ni. Sengaja aku kongsikan bersama kalian tips yang berguna kerana ilmu yang berguna itu adalah ilmu yang bermanfaat dan dimanfaatkan. Selamat mencuba.
Tips mengenai tayar dan suku sakatnya. Cuba periksa tayar kereta kita, perhatikan di antara satu bunga tayar dengan satu bunga tayar terdapat satu penyambung. Sekiranya penyambung itu mempunyai ketinggian yang sama dengan bunga, maka mulalah mengumpul duit kerana tayar kita perlu ditukar dalam masa 3-4 bulan lagi. Apabila kita hendak membeli tayar terdapat beberapa perkara yang perlu kita ambil berat!! Kerana ini melibatkan keselamatan.
1. Pilih saiz yang sesuai dengan keupayaan kereta kita. Kalau Wira 1.3, dan kita hendak menggunakan sport rim, cukup setakat saiz rim 14 inci; kerana jika kita menggunakan saiz 15 inci:
i. Kekuatan pecutan kereta akan menurun.
ii. Speedometer tidak merekodkan bacaan yang tepat.
iii. Kesemua peralatan penyerap hentak akan lebih pendek jangka hayatnya.
iv. Penggunaan minyak akan menjadi lebih (minyak makan kuat).
2. Selepas mendapat saiz yang sesuai, cuba perhatikan di bahagian tepi tayar. Terdapat satu rangkaian nombor yang seperti dicetak tenggelam ke permukaan tepi tayar. Sebenarnya rangkaian nombor ini memberikan kita maklumat mengenai tarikh tayar dikilangkan (minggu dan tahun) dan batch pengeluaran dikilang. Jadi apabila tayar tidak memenuhi spesifikasi, maka senang bagi pihak pengeluar menarik balik tayar di pasaran. Maklumat ini kita boleh gunakan untuk tujuan keselamatan. Mengikut piawaian tayar antarabangsa, tayar hanya boleh bertahan selama 2 tahun selepas di kilang (selepas tempoh itu getah tayar akan mati (keras) dan tidak selamat digunakan). Sebagai contoh; rangkaian nombor yang ada 4001 bermaksud tayar tersebut di kilang pada minggu ke 40 tahun 2001 dan tarikh ‘expired’ tayar tersebut sepatutnya minggu ke 40 tahun 2003. Jadi sekiranya kita dapati ada kedai yang menjual tayar dengan harga yang luarbiasa murahnya, cuba periksa tarikh tayar tersebut dikilangkan, mungkin tayar tersebut adalah tayar yang telah tamat tempoh penggunaannya. Dari pengalaman yang pernah diceritakan, tayar yang telah tamat tempoh ini akan lebih senang meletup semasa kelajuan tinggi.
3. Tentang saiz tayar, cuba perhatikan rangkaian nombor dan huruf yang tercetak timbul di permukaan tepi tayar. Biasanya seperti contoh ini 205/50 VR 16 maksudnya, tayar itu mempunyai kelebaran 205 mm, ketebalan tayar (dari rim ke permukaan jalan) adalah 50% dari kelebaran 205 mm, dan untuk kegunaan rim bersaiz diameter 16 inci. Huruf VR bermaksud, tayar tersebut sesuai untuk kelajuan sehingga 240 km/j tanpa menjejaskan kekuatan dan ketahanan tayar. Sekiranya dipandu lebih dari kelajuan tersebut, sifat fizikal akan berubah dan besar kemungkinan tayar tidak lagi berfungsi dengan baik.
4. Tentang jenis tayar pula, kebanyakkan kita lebih suka memilih tayar import terutama dari Jepun. Harganya lebih mahal dan dikatakan lebih lembut. Memang benar, tayar seperti Michelin, Yokohama, Falken dll. lebih lembut kerana tayar tersebut dibuat berdasarkan iklim sederhana yang kurang panas dan apabila digunakan di Malaysia yang sememangnya panas terik, tayar tersebut akan mempunyai jangkahayat yang pendek (cepat habis bunganya). Kebisingan tayar adalah bergantung kepada bunga tayar. Lebih senyap sesuatu tayar, maka lebih rapat bunga tayarnya dan tidak sesuai untuk permukaan jalan yang basah. Lebih bising tayar, lebih mencengkam dan sesuai pada permukaan yang basah. Jadi kalau kita hendakkan tayar yang senyap, kita terpaksa lebih berhati-hati semasa hujan.
5. Tayar sepatutnya ditukar kedudukannya setiap 3 bulan. Caranya, tayar depan kiri, ditukarkan ke kanan belakang dan tayar depan kanan, ditukarkan ke kiri belakang (untuk 4 tayar sama saiz). Lebih baik sekiranya tayar simpanan/ganti juga di masukkan ke dalam pusingan tukaran tayar. Caranya, masukan tayar ganti ke kanan belakang, belakang kanan ke depan kanan, depan kanan ke belakang kiri, depan kiri ke dalam boot ganti, belakang kiri ke depan kiri. Semua pusingan ini bergantung kepad jenis kereta, sistem pacuan dan sistem suspensi kereta.
6. Jika kita perhatikan bunga tayar selepas beberapa lama, bunga tayar mula menghaus. Sekiranya kadar kehabisan bunga di bahagian tepi kiri-kanan tayar lebih cepat berbanding di bahagian tengah, ini bermaksud; tekanan tayar adalah kurang dari yang sepatutnya. Sekiranya bahagian tengah lebih cepat haus, maksudnya tekanan terlalu tinggi. Sekiranya haus di bahagian luar sahaja, tayar kita terlalu mencapah ke dalam dan jika haus bahagian dalam sahaja, tayar kita terlalu mencapah ke luar (alligment tayar perlu dibetulkan). Sekiranya bunga tayar yang haus tidak sekata (turun naik), maka absorber kita perlu diganti.
Sekiranya masih tidak elok juga bunga tayar selepas semua langkah-langkah di atas telah diambil, sila tukar kereta anda.