Pages

Solat Time

Wednesday, January 16, 2013

Muamalat: BERI MODAL DENGAN UNTUNG TETAP

Assalamualaikum..

Ni aku paste daripada blog orang. Saja kongsi info yang bermanfaat. Sama-sama kita praktikkan, insyaAllah.

Soalan; Assalamualaikum, kawan saya memerlukan modal dari saya untuk perniagaan, setiap bulan dia akan beri keuntungan kepada saya rm100/-, boleh ustaz jelaskan hukumnya. 



Jawapan; Pelaburan yang menjanjikan keuntungan tetap tanpa tertakluk dengan untung-rugi (yakni dalam apa-apa keadaan sekalipun pihak pemodal dijamin keuntungannya walaupun syarikat atau orang yang menguruskan modal mengalami kerugian), pelaburan sebegitu ditegah oleh Syarak kerana ia berkonsepkan riba. Dalam konsep riba, pemberi wang (yakni pemberi pinjaman) dalam apa keadaan sekalipun akan memperolehi wangnya berserta faedah/keuntungan yang ditetapkan tanpa tertakluk dengan untung-rugi pihak yang meminjam. Adapun konsep pelaburan dalam Islam adalah berdasarkan kaedah "al-Ghunmu bil-Ghurmi" (Keuntungan adalah bersama risiko). Maksudnya kedua-dua pihak (yakni pemodal dan pengurus) hendaklah sanggup untuk berkongsi risiko sebagaimana mereka sanggup berkongsi untung/faedah. Dalam bahasa lain; untung sama-sama untung dan rugi sama-sama rugi (pemodal mendapat untung kerana sumbangan modalnya, pengurus pula mendapat untung kerana kerja atau pengurusannya. Jika rugi, pemodal menanggung kerugian dari modalnya, pengurus pula menanggung kerugian dari masa dan kerjanya). 


Selain itu, andaikan perniagaan hanya mendapat untung dengan jumlah yang ditetapkan itu sahaja, maka keseluruhannya akan dapat kepada pemodal. Akan berlakulah kezaliman kepada pengurus kerana ia tidak dapat apa-apa sedangkan ia telah berpenat dengan kerja dan pengurusannya. Dalam kes saudara, andaikan kawan saudara hanya mendapat untung dari perniagaannya RM100 sahaja (pada suatu bulan), sudah tentu keseluruhan untung untuk akan dapat kepada saudara, maka saudara telah menzaliminya. Penetapan keuntungan yang menepati kaedah pelaburan Islam ialah secara peratusan atau nisbah. Tidak semestinya peratusan yang sama antara pemodal dan pengurus (yakni 50%-50%), akan tetapi bergantung kepada kesepakatan bersama seperti 70%-30% (iaitu 70 untuk pengurus, 30 untuk pemodal atau sebaliknya). 


Satu lagi kaedah pemodalan dalam Islam yang digalakkan oleh al-Quran ialah al-Qardul-Hasan ialah memberi pinjaman tanpa faedah. Mengikut kaedah ini, saudara memberi modal kepada kawan saudara itu untuk perniagaannya tanpa mengharapkan keuntungan di dunia, tetapi mengharapkan keuntungan di akhirat iaitu pahala yang dijanjikan Allah kepada orang yang membantu saudaranya seagama. Namun hendaklah pemberian pinjaman itu diikat dengan perjanjian secara bertulis sebagaimana yang diperintahkan Allah dalam surah al-Baqarah (ayat 282). 

Wallahu a'lam.

No comments: