Solat Time

Sunday, July 15, 2012

Ramadhan oh Ramadhan

Assalamualaikum..

Ramadhan datang lagi untuk kesekian kalinya. Alhamdulillah. Betapa ramai di kalangan kita yang telah pergi buat selamanya dan tidak sempat mengecapi nikmat berpuasa di bulan Ramadhan. Bersyukurlah. Bersyukurlah di atas nikmat yang telah dan sedang Allah SWT berikan buat kita tanpa kita sedari. Betapa beruntungnya kita di dalam hal ini.


Ramai di kalangan kita yang memandang bulan Ramadhan sebagai salah satu bulan-bulan yang datang dan pergi tanpa memahami kelebihan dan keuntungan yang ada di dalamnya. Di atara kelebihan yang terdapat di dalam bulan Ramadhan yang dirakamkan di dalam hadis-hadis ialah:

Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi.

Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: Setiap amalan anak Adam baginya melainkan puasa. Maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri (bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara. Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata: Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari Qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi.


Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Umatku telah diberikan dalam Ramadhan lima perkara yang belum bernah diberikan kepada mana-mana umat pun sebelum mereka.

  1. Bau busuk mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. 
  2. Ikan-ikan di laut akan beristigfar untuk mereka sehingga mereka berbuka. 
  3. Setiap hari Allah s.w.t. akan menghiaskan syurgaNya dan berkata, "Telah hampir masanya hamba-hambaKu yang soleh akan dilepaskan dari beban-beban dan mereka akan datang kepadamu." 
  4. Dirantaikan syaitan-syaitan yang jahat di dalam Ramadhan dan mereka tidak akan dapat berbuat sesuatu dalam Ramadhan ini apa yang biasa mereka lakukan pada bulan lain. 
  5. Mereka akan diampunkan pada malam terakhir Ramadhan. Ditanya kepada Rasulullah, "Adakah ia Lailatur Qadar?" Baginda menjawab, "Tidak! Tetapi seorang pekerja yang diberikan ganjarannya apabila telah selesai kerjanya." (Riwayat Imam Ahmad).

Dan banyak lagi hadis-hadis yang membicarakan tentang kelebihan Ramadhan yang merupakan penghulu kepada bulan-bulan yang lain. Rasulullah SAW sendiri ternanti-nanti akan kedatangan Ramadhan. Amatlah malang bagi kita yang memandang sepi akan nikmat yang semakin menghampiri.


Ayuh kawan-kawan. Sama-sama kita memperbanyakkan amalan dan memohon keampunan sepanjang kita berada di dalam Ramadhan kelak. Moga Allah menerima segala taubat dan ibadat kita, insyaAllah.

1 comment:

marn said...

aku pegi umrah 20hb ni. Jawabnya bersahur dalam flight la. walaupun dapat lesen boleh untuk tidak berpuasa, tapi malaih nak una sebab nanti time nak qadha' tu yang suffer.