Assalamualaikum..
Bersua kembali. Pohon ampun dan maaf di atas kejumudan blog ini lewat seminggu dua. Solah-olah tiada apa yang perlu dikongsikan bersama. Aku berasa terpanggil untuk menulis posting baru memandangkan ramai yang sudah bersuara.
Berbalik kepada tajuk yang tertera di atas. Rumahku yang sedang dalam proses renovasi (aku tak tau apa perkataan yang paling sesuai aku gunakan dalam bahasa Malaysia. Ya! Aku rakyat Malaysia yang lemah penguasaan bahasanya) sudah hampir ke penghujung proses. Dianggarkan tanggal 26hb ni dapat aku masuki rumah baru. Alhamdulillah, setelah banyak keringat, wang ringgit dan masa yang telah diperuntukkan, akhirnya dapat jua aku melihat hasil-mahsulnya.
Daripada rumah yang sekangkang kera menjadi tiga kangkang kera. Daripada 3 bilik ditambah kepada 4 bilik. Selesa? Harap-harap selesalah hendaknya, amin..! Dan semoga proses perpindahan yang bakal berlaku insyaAllah 26hb ni berjalan lancarlah hendaknya. Terima kasih yang tidak terhingga buat abg Mart dan abg Iz yang sudi nak mai tolong makan dan pecah peluh angkat barang-barang aku. Tak banyak pun. Almari 3 pintu ada satu, tv 21" ada 2 buah, peti ais 5' ada sebuah, mesin basuh 8kg ada sebuah dan lain-lain perkakasan yang menyemakkan rumah.
Dalam masa aku tengah dok sibuk berkemas, aku terfikir tentang tujuan hidup. Lahir, membesar, belajar, bekerja, pindah-randah dan akhirnya dijemput ajal. Tetapi di dalam proses kehidupan manusia, kita selalu lupa bahawa Allah Taala jua yang berkuasa dalam mengatur kehidupan seharian kita. Kita diberikan pilihan sama ada untuk beramal dan beribadah ataupun memilih untuk hidup dalam kesombongan dan engkar serta degil untuk mengikut perintahNya.
Rumah, yang dulunya kecil dibesarkan. Diberi nafas baru dan sentuhan peribadi untuk memenuhi citarasa dan tatarias penghuninya. Tetapi, tidak semua citarasa manusia sama. Manakan sama dengan bumi Allah SWT yang sesuai dan dapat memenuhi semua kehendak makhlukNya yang hidup di atasnya. Betapa hebatnya Allah SWT.
Pindah, dengan harapan dapat memberikan kesegaran dan episod hidup baru yang dibayangi harapan tinggi menggunung. Adakah setiap perpindahan itu membawa kebaikan? Allah Taala jua yang Maha Mengetahui. Kita hanya mampu merancang, berusaha dan menggantungkan tawakkal kita pada Allah Rabbul Jalil semoga perpindahan yang berlaku di dalam kehidupan kita membawa seribu rahmat dan redhaNya bersama kita.
Kuasa Allah Azza wa Jalla juga yang membenarkan semua di atas berlaku. Nasihat aku buat sahabat semua, bila hendak mulakan sesuatu, berusahalah dengan gigih supaya dapat kita akhiri setiap perbuatan kita dengan pengakhiran yang baik. Daripada tiada kepada ada. Bila sudah ada, kita wajib menjaga dan memperbaiki kelemahan yang timbul.
Ingatlah bahawa rumah diberkati kerana penghuni. Diturunkan bala juga kerana penghuninya. Sama ada kita menyewa mahupun tinggal di rumah milikan sendiri, kita sebagai penghuninya wajib menyedari dan berdoa supaya kediaman yang kita diami diberkati dan dilindungi Allah SWT selalu.