Pages

Solat Time

Friday, February 27, 2009

Ahli baru dan tol

Assalamualaikum..

Buat sahabat semua, dalam kegawatan ekonomi dunia dan politik tanahair yang sedang melanda, khabar gembira aku titipkan bersama posting yang ringkas ini sementara nak pi solat Jumaat. Kawan kita si Ahmad Suzaini sudah naik pangkat jadi tok Sarjan calit tiga (bukan tiga line).

Cahayamata yang diberi nama Nellia Natasya Americana We Do Boycoot You (yang betuinya Nellia apantah.. aku lupa). Diputerikan pada pukul 9.00 pagi semalam di Hospital Ampang, Kuala Lumpur. Melalui kaedah Caesarian yakni pembedahan. Alhamdulillah, kedua ibu dan anak sihat walafiat. Doakan kebahagiaan mereka sekeluarga dan dirahmati Allah SWT. 

Dan nak sampuk sikit berkenaan berita hari ni perihal 5 tol yang telah dipersetujui oleh Kabinet akan dinaikkan harganya bermula 1 Mac depan. Kononnya nak selamatkan beberapa syarikat konsesi daripada menanggung kerugian. Kalau tidak dinaikkan, kerajaan terpaksa membayar gantirugi sebanyak RM277Juta yang mana RM177Juta kepada PLUS, RM38Juta kepada Sprint dan RM30juta kepada AKLEH. Punya banyak duit yang akan di'sedekah'kan kepada konglomerat yang kaya-raya hasil rompakan ke atas rakyat. Takpa, nanti pilihanraya, suruh la tokey-tokey syarikat konsesi tol tu pangkah depa dan biar kita tengok sapa yang menang, rakyat yang dok bayar tol tu ataupun tetokey syarikat-syarikat konsesi tu.

Carta aliran trafik AKLEH

Dalam keadaan ramai yang hilang mata pencarian dan tiada peluang pekerjaan, celah tu juga syarikat-syarikat ni tiada hati perut dengan menaikkan kadar tol sehingga 0.68 sen bagi setiap kilometer untuk PLUS, dan anggaran 10sen-50sen setiap kilometer bagi beberapa lebuhraya sekitar Kuala Lumpur. Menteri JKR berkata, kira oklah dinaikkan sedikit sebab PLUS dah bagi diskaun buat pengguna yang guna PLUS dari jam 12 tghmalam - 7 pagi (ni masa orang paling sikit guna lebuhraya). Cerdik sungguhla tok menteri kita. Cerdik tahap tak boleh nak tumpang. Patutnya bagilah diskaun masa hujung minggu sebab banyak pengguna lebuhraya. PLUS takkan rugi sebab kuantiti kenderaan akan bertambah. 

Apa-apa pun, selamat berboikot barangan USA dan kalau berkemampuan, boikotlah juga barangan dan perkhidmatan kroni dan proksi syarikat yang mengaut keuntungan di atas kesengsaraan dan kesusahan rakyat Malaysia.

Friday, February 20, 2009

Suku dan suku-sakatnya

Assalamualaikum..

Kisah Bukit Lanjan yang telah diskodeng dan disiarkan dalam beberapa akhbar nyamuk membawa kepada dimensi baru dunia politik yang lebih memualkan. Elizabeth Wong dah tekad letak jawatan. Maka, akan ada PRK la jawabnya.


Di Malaysia ni ramai yang mengaku Muslim tapi dalam hati beriman dengan fahaman Sekular. Politik suku, agama suku. Siapa yang jadi tok gurunya dan kitab manakah yang dijadikan sandaran menginstinbath serta merujuk hukum-hakam? Sedangkan menggauli bini sendiri sekalipun, Allah Taala sudah berpesan tentang adab-adabnya seperti haram 'bergaul' ketika isteri didatangi haid, masuk melalui 'pintu belakang' dan banyak lagi, inikan pula nak mentadbir negara. 

Walhasil, bila agama tu disukukan dan dilarang memasuki politik, maka jadilah politik itu kelihatan bangang dan berbau hanyir seperti yang sedang berlaku sekarang di Malaysia. Tiada beradab, jahat, kotor, hanyir dan memualkan. Menjadikan mereka yang cerdik-pandai, profesional, alim-ulama' seboleh-bolehnya cuba menjauhkan diri daripada terjebak dalam dunia politik.
Remote control idaman

Bila golongan ini berbuat demikian, maka akan menjadi-jadilah kebobrokan dan pincang serta tempang kuasa eksekutif kerana banyak mereka yang ada dalam dunia politik ni adalah bekas posmen, bekas jaga pintu pagar keretapi, peniaga-peniaga (yang suka buat untung atas angin) dan mereka-mereka yang tiada kualiti baik dari segi syakhsiah dan akhlak yang boleh dipersoalkan serta mereka yang hanya tahu mengambil kesempatan untuk kepentingan diri sendiri. 
Ni salah satu contoh bodohnya pemimpin, 
tengok penutup teropong tu kalau tak percaya!

Memang perkara sebegini amat dialu-alukan oleh sebilangan mereka yang tamak serta gilakan kuasa supaya para cendikia menjauhkan diri dan tidak ambil pusing tentang dunia politik kerana dikatakan politik itu sendiri kotor agar mereka yang bejat akhlak dapat menguasai tampuk kuasa. Bila ada di antara wakil rakyat yang dilantik itu miskin akhlaknya dan munafiq, tidak hairanlah sekiranya bermacam perkara yang mengjengkelkan timbul.

Dengan ini, demi mengelakkan berlakunya politik tiga suku yang cuba membodohkan rakyat bak kata Jalal (tukang masak masakan arab kawan aku): "They're insulting our intelligence!", aku mengajak kawan-kawan untuk ambil pusing dalam dunia politik kerana politiklah yang akan mencorakkan kehidupan kita dan generasi akan datang. Pohon Allah SWT beri kekuatan dan keberkatan kepada kita semua, insyaAllah.

Ka gumana?

Tuesday, February 17, 2009

Kisah tiga bukit

Assalamualaikum..

Dalam beberapa minggu lagi, kita akan menghadapi drama politik ke atas tiga buah bukit; Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Bukit Lanjan. Kesemuanya terletak di dalam negeri yang diperintah oleh PR. Dan kesemuanya mempunyai cerita yang berbeza. Apa jua yang bakal berlaku, akan menentu senario politik Malaysia ke arah sama ada yang lebih demokratik ataupun tidak. 

Dunia makin gawat ekonominya, namun gawat politiklah yang amat terasa dewasa ini. Sama ada demokrasi terus subur ataupun kembali ke zaman gelap seperti sebelumnya, sama-sama kita nantikan dengan penuh debaran.

Pohon Allah Azza wa Jalla membantu kita dalam meneruskan kehidupan yang semakin terhimpit dan tersepit. 

Suka atau tidak, kita terpaksa untuk berbicara soal politik semasa kerana parti politik dan ahli-ahlinya lah yang menentukan masa depan negara. Jangan kita menjadi sekular dengan mengatakan bahawa soal politik dan agama itu tidak boleh dicampur-adukkan. Sedangkan penghijrahan Rasulullah SAW ke kota suci Madinah merupakan suatu tindakan politik. 

Setuju atau tidak pernyataan aku di atas, terpulang. 

Thursday, February 12, 2009

Derhaka itu apa sebenarnya?

Assalamualaikum..

Takziah dan al-Fatihah buat Allahyarham YB Haji Roslan Shaharum, bekas Ahli Parlimen Bukit Gantang (kawasan aku tu) yang telah pulang ke pangkuan Rabbul Jalil baru-baru ini.

Semoga Allah memcucuri rahmat ke atas mu, al-Faatihah.
 Allahyarham Hj Roslan Shaharum

Dalam keadaan gawat politik di negeri kebanyakan kita yakni negeri Perak, timbul pelbagai fitnah dan tohmah yang berleluasa di dalam masyarakat Islam terutamanya kaum Melayu. antaranya derhaka kepada sultan dan kerajaan haram (macam negara Israel la pulak) yang baru dilantik.

Apabila kita membaca dan mentafsirkan suasana serta polemik politik yang mengharukan ini mengikut kacamata dan perspektif berbeda sama ada penyokong kerajaan PR mahupun BN, sebaiknya kita jangan terlalu emosi dalam memperjuangkan apa jua fahaman dan tuntutan kita. Kerana Syaitan akan menyelit semasa kita marah dan leka, maka segala niat luhur dan ikhlas akan pupus jua setelah berjaya ditunggangi para Iblis dan Syaitan. 

Marilah kita sama-sama mentelusuri sejarah yang telah berlaku untuk panduan bersama. Semoga dengan bahan yang aku kongsikan bersama kalian dapat membantu kalian untuk lebih memahami apakah maksud derhaka mengikut persepsi dan tafsiran sahabat semua.

Selamat membaca...

Kisah 1:
Pada tahun 1974, Menteri Besar Perak ketika itu, Tan Sri Mohamad Ghazali Jawi iaitu bapa kepada Mohd Tajol Rosli (bekas MB Perak) telah menderhaka pada Sultan Idris Shah yang tidak berkenan dengan perlantikan Ghazali Jawi untuk menjadi MB buat kali kedua. Ghazali enggan melepaskan jawatan berkenaan dan kedegilan Ghazali itu menimbulkan kemurkaan Sultan Idris Shah. Tiada apa dapat dilakukan.
Allahyarham Ghazali Jawi

Pemuda Umno ketika itu memberi pandangan; “Sultan Perak mempunyai hak melantik dan berkenan seseorang memegang jawatan Menteri Besar, tetapi setelah dilantik dan diperkenankan, Sultan tidak ada hak mengikut Perlembagaan Negeri untuk memecat atau memerintahkan supaya meletakkan jawatan. Hak untuk memecat atau memerintahkan seseorang berhenti dari Menteri Besar, ialah Presiden UMNO.”

Gara-gara keengganan Ghazali itu menyebabkan Sultan Idris murka dan bernazar tidak akan mencukur janggut dan jambangnya selagi Ghazali tidak berhenti menjadi MB. Untuk beberapa ketika Sultan Idris tampil di khalayak dengan keadaan berjangut dan berjambang sebagai menzahirkan kemurkaan baginda sehinggalah Ghazali Jawi berundur menjadi Menteri Besar. Ghazali meletakan jawatan menjadi MB Perak hanya setelah dinasihati oleh Presiden Umno ketika itu (Tun) Hussein Onn pada 1977.

Kisah ini dipetik (tanpa izin) daripada buku biografi Tan Sri Ishak Tadin, hasil tulisan penulis veteran Perak yang juga merupakan kawan rapat kepada Sultan Idris Shah.

Kisah 2:

Perang terbuka Dato' Anuar Musa (gambar di atas) terhadap Sultan Kelantan pada tahun 1993 yang menabalkan Tengku Ibrahim (taukey Petra Resources yang dapat banyak projek dengan Petronas) sebagai Sultan Kelantan untuk menggantikan Sultan Ismail Petra yang tidak se'bulu' dengan beliau. 

Juga pernah berlaku kepada Tan Sri Mohd Yaakob (bekas Menteri Besar Kelantan) yang membuat perarakan menyerahkan memorandum kepada Sultan Kelantan dan meminta baginda turun daripada takhta. 

Justeru, apa kata sahabat-sahabat semua dalam hal ni?


Friday, February 6, 2009

Nifaq

Assalamualaikum..

Bersempena dengan hari Jumaat yang mulia ini, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri dan berazam untuk menambahkan amalan serta menjauhkan diri daripada sifat-sifat mazmumah. Ramai di antara kita yang emosi disebabkan penangan Najib yang dikatakan 'membeli' beberapa ADUN PR di Perak sehingga menyebabkan tumbangnya kerajaan negeri.

Apa-apa pun, buat mereka yang menyokong kerajaan PR di Perak, mohon jangan emosi sangat. Kalau tak puas hati, tunggu je la PRU yang ke13 lagi tiga empat tahun nanti. Masa tu, pangkah la mengikut pilihan anda. Terpekik terlolong macam mana pun, BN tetap akan ambil-alih. Apa yang perlu dibuat? Kemaskinikan usaha dakwah dan saluran maklumat biar sampai ke kumpulan sasaran. 

Pada aku, lebih baik jadi pembangkang yang kuat daripada menjadi pemerintah yang lemah.
Selamat membaca...

Nifaq merupakan suatu penyakit yang boleh dikira sebagai virus yang amat berbahaya untuk sebuah ummah. Penyakit ini merupakan satu dosa besar. Secara lahiriahnya seseorang itu nampak muslim tetapi batiniahnya adalah kafir. Malahan lebih berbahaya daripada kufur. 

Golongan yang mempunyai penyakit nifaq ini disebut munafik. Mereka ini merupakan golongan yang paling kuat menentang pelaksanaan syari'at Allah SWT walaupun mereka mengaku sebagai seorang muslim. Sebagaimana firmanNya: “Apabila dikatakan kepada mereka; marilah kamu (tunduk) kepada hukum yang Allah telah turunkan kepada Rasul, nescaya kamu lihat orang orang munafik menghalangi manusia dengan sekuat kuatnya dari mendekati kamu.” - anNisaa’: 61

Manakala hadis Nabi Muhammad SAW mengenai golongan munafiq: “Tanda orang-orang munafik itu ada tiga keadaan. Pertama, apabila berkata-kata ia berdusta. Kedua, apabila berjanji ia mengingkari. Ketiga, apabila diberikan amanah (kepercayaan) ia mengkhianatinya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Di antara sifat dan ciri orang munafik:
1. Kufur kepada Allah SWT.
2. Mempunyai sifat hasad dan dengki kepada orang yang beriman. 
3. Mempersendakan Allah dan RasulNya serta agama Islam 
4. Membuat kerosakan di muka bumi dengan melakukan pelbagai jenis kezaliman. 
5. Memiliki sifat pendusta dan manipulasi terhadap orang lain; memerintahkan kemungkaran dan mencegah kebaikan seperti kikir, rakus, tamak dan membuat kerosakan lain dengan cara dan gaya bahasa yang indah sehingga orang lain terpedaya.

Bahawa Allah SWT telah berfirman: “Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan mereka (orang-orang kafir dan orang-orang munafik) di neraka Jahannam.” - anNisaa’: 140.

Lebih buruk lagi, Allah SWT menghina para munafiq dengan berfirman: “Sesungguhnya orang-orang munafiq itu (ditempatkan) pada tingkatan neraka yang paling bawah.” - anNisaa’: 145.

Sehinggakan bahayanya orang-orang kafir dan orang-orang munafik amat besar bagi umat Islam, Allah memerintahkan RasulNya untuk berjihad melawan mereka, hal ini seperti diterangkan dalam al-Quran: “Hai Nabi, perangilah orang-orang kafir dan orang-orang munafik dan bersikap keraslah kepada mereka! Tempat mereka adalah neraka Jahanam dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.” - atTahrim: 9

Agak-agak apa yang boleh kita pelajari daripada kekecohan yang berlaku di negeri Perak?

Tuesday, February 3, 2009

Drama yang berterusan

Assalamualaikum..

Terkini 5 Februari 08 16.50

Pihak Istana telah membuat keputusan untuk tidak membubarkan DUN Perak. Berita ini dikhabarkan oleh S/U Akhbar MB, sdr. Anuar Hashim. Dan menurut sumber daripada tranungkite.net pukul 4.00 petang tadi, S/U kerajaan negeri Perak, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim, telah mengarahkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan semua anggota exconya supaya mengosongkan pejabat masing-masing dengan segera. 

Mereka juga diarahkan supaya memulangkan semua aset kerajaaan negeri, termasuk kunci pejabat dan menyerahkan kenderaan rasmi dengan segera. Mereka juga tidak boleh memindahkan sebarang dokumen dari bilik masing-masing. Sekiranya mereka enggan berbuat demikian, jawatan Exco dan Menteri Besar akan dikira kosong serta-merta.

Manakala bagi pihak MB Perak setelah diarahkan oleh pihak istana untuk melepaskan jawatannya, beliau enggan berbuat demikian dan memohon supaya mandat memilih siapa bakal memerintah kerajaan negeri diserahkan kepada rakyat negeri Perak melalui proses pilihanraya. 

Terkini 4 Februari 08

Akhbar utama mengatakan SPR tidak akan mengadakan PRK di dua kawasan DUN yang terlibat. Manakala pihak kerajaan negeri Perak memberi kata dua kepada SPR untuk menilai semula keputusan yang telah dibuat dalam masa 48 jam. Sekira tiada apa-apa perubahan dari pihak SPR, kerajaan negeri akan mengambil langkah drastik. 

Apakah langkah drastik yang akan diambil oleh kerajaan negeri Perak? Sama-sama kita tunggu dan lihat. Ada ura-ura mengatakan bahawa kerajaan negeri akan membubarkan Dewan Undangan Negeri. Sekiranya itu yang terjadi, suka atau tidak pilihanraya negeri akan dibuat untuk melantik semula para wakil rakyat untuk meneraju dan memerintah negeri Perak.

Wah... dalam ekonomi dunia yang semakin parah sehingga ramai saudara kita yang telah dan akan dibuang kerja, politikus masih sibuk berpolitik. Adakah semua ini semata-mata untuk mengalih pemikiran rakyat yang semakin resah dek bahang gawat ekonomi dunia? Jawapannya hanya ada pada mereka yang tahu.

Posting asal..

Cuti sudah, balik kampung pun sudah. Mandi sungai pun sudah. Tapi drama politik tetap tak sudah-sudah. Bila nak sudah? Aku pun tak tahu. Yang pastinya dalam hati aku, sudah-sudahlah berpolitik. Sudah sampai masanya bekerja untuk rakyat. Drama lompat-melompat parti tak kunjung sudah. Eh Moderator! Berapa banyak 'sudah' yang hang ulang da...! 

Perak, satu ketika dulu lesu dengan isu-isu politik. Macam negeri Johor la. Kata dan terangkan lah apa-apa pun, Perak tetap jadi kubu kuat BN. Mungkin sampai hari ni Perak sebenarnya kubu kuat BN. Cumanya, ahli-ahli UMNO yang marahkan pucuk pimpinan yang mengundi parti lawan dan banyak yang sabotaj semasa pilihanraya yang lepas.

Drama lompat-melompat, siapa pengarahnya? Dan siapa pula penulis skripnya? Sekiranya Speaker Negeri sudah tetap dengan pendiriannya untuk menerima surat perletakan jawatan, maka akan bermulalah episod baru siri drama ini. Fasa berikutnya ialah Pilihanraya Kecil (PRK) di dua DUN yang terlibat; Behrang dan Changkat Jering (my hometown). 

Sekiranya itu yang bakal berlaku, ramailah kontraktor kelas 'F' akan dapat projek segera dan ramai orang kampung akan gembira sebab akan ada saja orang yang berjanji dan menghulurkan bantuan. Siapa-siapa yang nak berjumpa dan meminta bantuan dengan para Menteri, bolehlah datang ke dua DUN ini nanti.

Teori konspirasi ada mengatakan bahawa kedua-dua ADUN tu ada kes rasuah, dan BN 'offer' untuk padamkan kes rasuah mereka dengan syarat meletakkan jawatan DUN dan keluar part PKR, jadi bebas dan kemudia masuk UMNO. Aku tak berani nak pastikan teori ni betul ataupun tidak. Apa yang pasti, PR Perak dan UMNO Malaysia (sebab Najib yang pegang jawatan Pengerusi Perhubungan Negeri) akan terus 'berperang'. Sebenarnya tidak pelik aku katakan sekiranya ramai ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) masuk UMNO sebab mereka ini dulunya orang UMNO dan begitu juga sebaliknya. Yang pelik bilamana ahli UMNO mohon daftar jadi ahli PAS dan lagi pelik kalau ahli PAS masuk UMNO. 

Yang pasti, di GAZA sana ramai yang sedang menderita. Boikot barangan kena diteruskan. Jangan hangat-hangat tahi cicak.

Apa-apa pun, kita tunggu dan lihat apa yang bakal berlaku seminggu dua ni.