Pages

Solat Time

Showing posts with label hari raya puasa. Show all posts
Showing posts with label hari raya puasa. Show all posts

Sunday, August 7, 2011

Muktamad sudah!

Assalamualaikum..

Setelah menjalankan pengundian tempat dan masa untuk Iftor Jama'ei, maka telah bersepakat dan memuktamadkan keputusan seperti berikut:

  • Tarikh: 14hb Ogos 2011M bersamaan 14 Ramadhan 1432H.
  • Masa: Ikut waktu berbuka di Ipoh la.. Nama pun iftor.
  • Tempat: Rumah al-Fadhil Ustaz Ahmad Zaki aka Abu Atief, Jelapang, Ipoh.
  • Tema: Country side yang patuh shariah dan pot luck.
Pohon untuk sedara/sedari sekalian untuk waq-waq dan sebarkan melalui SMS, telegram, burung merpati atau dalam apa jua bentuk alat dan cara komunikasi kepada sahabat-sahabat yang tidak berkesempatan mengunjungi blog dan Facebook kita perihal majlis ini. 

Marilah kita sama-sama mencari peluang dan ruang untuk merapatkan lagi hubungan sesama kita yang telah sekian lama bertaut. Insyaallah, kami yang dari Kuala Lumpur dan seantero pelusuk tanahair akan cuba seboleh mungkin untuk hadir ke majlis tersebut.

Diharap dengan keputusan yang telah disepakati ini akan dapat membantu saudara sekalian untuk melapangkan diri dan menghadiri serta memeriahkan lagi malam tersebut. Semoga dengan kehadiran kita semua di dalam majlis tersebut, diberkati Allah Azza wa Jalla.

Monday, July 25, 2011

Tak menang tangan

Assalamualaikum..

Pe kabo semuenye? Harap2 sihat belake. Aku sejak kebelakangan ni tak menang tangan. Bukan keje di opis yang banyak, tapi kerja di rumah yang banyak. Menimbun-nimbun kain-baju nak kena lipat dan gosok. Mane kalut dengan anak yang sekolah rendahnye, sekolah tadikanye, yang tak bersekolah di rumah tu pun nak kene kelole. 

Mane idaknya, bini wanita berkarier le katekan. Udah tu, 2 bulan cuti bersalin, mengkeme tau2 aje le... menimbun keje di opis nak kene setel. Penyudahnye, aku le yang jadi tukang suri rumah part time aka half time. Anak yang paling kecik tu pulak, asei ade maknye di rumah, udah takndak berenggang le pulak. Nak berkelek kehulu kehelio. Teman nak ngenden dgn maknye pun takndak dikasinye. Tu yang tak lalu teman. Tapi, ape boleh buat? Udah nak sangat beranak kecik. Ha.. pakej le tuh... Nasib baik sihat walafiat, kene badan pulak meragam, tak ke penin dibuatnye?

Tu le kisah teman. Kisah mengkeme cemane pulak? Cer citer.. cer citer..

Dan dah berbetulan dengan nak masuk bulan puasa yang sangat2 dinantikan oleh kita semua, maka dengan ini aku membuka sebarang cadangan untuk tarikh, tempat dan tema untuk majlis Iftor Jame'i kita yang selalu diadakan saban tahun. Kira acara tahunan gitew. 

Apa kata survey? Ada cadangan? Cadangan aku dan abg Mart (kaki dia still busuk dan bernanah. Udah macam tiang jamban nak roboh je aku nengok): memandangkan rumah Abu Atief dekat tepi hiway, senang nak xs, apa kata buat lagi kat sana? Sekadar cadangan. Ka Abu Atief ada bantahan? 

p/s: Lagi cepat kita buat keputusan lagi bagus untuk kita buat perancangan. Dok gitew?

Tuesday, February 12, 2008

Tips semasa hendak membeli tayar

Assalamualaikum..

Selamat hari-hari (dipetik daripada kata-kata si Apek dalam radio ERA). Sempena cuti Raya Cina baru-baru ni dan juga cuti-cuti lain yang bakal menyusul, aku dapat anggarkan ramai di antara kita yang telah, sedang dan akan berjalan ke sana-sini menaiki kenderaan. Dan antara perkara yang paling penting pada kenderaan beroda ialah tayar. Kerana tayarlah satu-satunya anggota badan kenderaan yang menyentuh tanah. Setinggi-tinggi kapal terbang di langit, bila nak 'landing', mesti pakai tayar. Kalau naik kapal laut atau sampan, tu tak masuk la dalam golongan ni. Sengaja aku kongsikan bersama kalian tips yang berguna kerana ilmu yang berguna itu adalah ilmu yang bermanfaat dan dimanfaatkan. Selamat mencuba.

Tips mengenai tayar dan suku sakatnya.

Cuba periksa tayar kereta kita, perhatikan di antara satu bunga tayar dengan satu bunga tayar terdapat satu penyambung. Sekiranya penyambung itu mempunyai ketinggian yang sama dengan bunga, maka mulalah mengumpul duit kerana tayar kita perlu ditukar dalam masa 3-4 bulan lagi. Apabila kita hendak membeli tayar terdapat beberapa perkara yang perlu kita ambil berat!! Kerana ini melibatkan keselamatan.

1. Pilih saiz yang sesuai dengan keupayaan kereta kita. Kalau Wira 1.3, dan kita hendak menggunakan sport rim, cukup setakat saiz rim 14 inci; kerana jika kita menggunakan saiz 15 inci:

i. Kekuatan pecutan kereta akan menurun.

ii. Speedometer tidak merekodkan bacaan yang tepat.

iii. Kesemua peralatan penyerap hentak akan lebih pendek jangka hayatnya.

iv. Penggunaan minyak akan menjadi lebih (minyak makan kuat).

2. Selepas mendapat saiz yang sesuai, cuba perhatikan di bahagian tepi tayar. Terdapat satu rangkaian nombor yang seperti dicetak tenggelam ke permukaan tepi tayar. Sebenarnya rangkaian nombor ini memberikan kita maklumat mengenai tarikh tayar dikilangkan (minggu dan tahun) dan batch pengeluaran dikilang. Jadi apabila tayar tidak memenuhi spesifikasi, maka senang bagi pihak pengeluar menarik balik tayar di pasaran. Maklumat ini kita boleh gunakan untuk tujuan keselamatan. Mengikut piawaian tayar antarabangsa, tayar hanya boleh bertahan selama 2 tahun selepas di kilang (selepas tempoh itu getah tayar akan mati (keras) dan tidak selamat digunakan). Sebagai contoh; rangkaian nombor yang ada 4001 bermaksud tayar tersebut di kilang pada minggu ke 40 tahun 2001 dan tarikh ‘expired’ tayar tersebut sepatutnya minggu ke 40 tahun 2003. Jadi sekiranya kita dapati ada kedai yang menjual tayar dengan harga yang luarbiasa murahnya, cuba periksa tarikh tayar tersebut dikilangkan, mungkin tayar tersebut adalah tayar yang telah tamat tempoh penggunaannya. Dari pengalaman yang pernah diceritakan, tayar yang telah tamat tempoh ini akan lebih senang meletup semasa kelajuan tinggi.

3. Tentang saiz tayar, cuba perhatikan rangkaian nombor dan huruf yang tercetak timbul di permukaan tepi tayar. Biasanya seperti contoh ini 205/50 VR 16 maksudnya, tayar itu mempunyai kelebaran 205 mm, ketebalan tayar (dari rim ke permukaan jalan) adalah 50% dari kelebaran 205 mm, dan untuk kegunaan rim bersaiz diameter 16 inci. Huruf VR bermaksud, tayar tersebut sesuai untuk kelajuan sehingga 240 km/j tanpa menjejaskan kekuatan dan ketahanan tayar. Sekiranya dipandu lebih dari kelajuan tersebut, sifat fizikal akan berubah dan besar kemungkinan tayar tidak lagi berfungsi dengan baik.

4. Tentang jenis tayar pula, kebanyakkan kita lebih suka memilih tayar import terutama dari Jepun. Harganya lebih mahal dan dikatakan lebih lembut. Memang benar, tayar seperti Michelin, Yokohama, Falken dll. lebih lembut kerana tayar tersebut dibuat berdasarkan iklim sederhana yang kurang panas dan apabila digunakan di Malaysia yang sememangnya panas terik, tayar tersebut akan mempunyai jangkahayat yang pendek (cepat habis bunganya). Kebisingan tayar adalah bergantung kepada bunga tayar. Lebih senyap sesuatu tayar, maka lebih rapat bunga tayarnya dan tidak sesuai untuk permukaan jalan yang basah. Lebih bising tayar, lebih mencengkam dan sesuai pada permukaan yang basah. Jadi kalau kita hendakkan tayar yang senyap, kita terpaksa lebih berhati-hati semasa hujan.

5. Tayar sepatutnya ditukar kedudukannya setiap 3 bulan. Caranya, tayar depan kiri, ditukarkan ke kanan belakang dan tayar depan kanan, ditukarkan ke kiri belakang (untuk 4 tayar sama saiz). Lebih baik sekiranya tayar simpanan/ganti juga di masukkan ke dalam pusingan tukaran tayar. Caranya, masukan tayar ganti ke kanan belakang, belakang kanan ke depan kanan, depan kanan ke belakang kiri, depan kiri ke dalam boot ganti, belakang kiri ke depan kiri. Semua pusingan ini bergantung kepad jenis kereta, sistem pacuan dan sistem suspensi kereta.

6. Jika kita perhatikan bunga tayar selepas beberapa lama, bunga tayar mula menghaus. Sekiranya kadar kehabisan bunga di bahagian tepi kiri-kanan tayar lebih cepat berbanding di bahagian tengah, ini bermaksud; tekanan tayar adalah kurang dari yang sepatutnya. Sekiranya bahagian tengah lebih cepat haus, maksudnya tekanan terlalu tinggi. Sekiranya haus di bahagian luar sahaja, tayar kita terlalu mencapah ke dalam dan jika haus bahagian dalam sahaja, tayar kita terlalu mencapah ke luar (alligment tayar perlu dibetulkan). Sekiranya bunga tayar yang haus tidak sekata (turun naik), maka absorber kita perlu diganti.

Sekiranya masih tidak elok juga bunga tayar selepas semua langkah-langkah di atas telah diambil, sila tukar kereta anda.


Monday, October 8, 2007

Selamat Menyambut Aidil Fitri

Assalamualaikum..

Selamat Menyambut Eidul Fitr (Aidil Fitri) 1428H. Moga Syawal yang menjelang membawa kerahmatan dan kegembiraan buat semua.

Walaupun kita dihujani dengan pelbagai masalah seperti; pembunuhan, korupsi dalam kerajaan, gejala sosial, petrol, tol dan harga barangan naik, kita percaya bahawa kedatangan Aidil Fitri kali ini dapat melegakan sedikit fikiran dan poket yang senak. Walaupun banyaknya duit raya yang akan berterbangan dek kerana di'pau' oleh anak-anak saudara / anak jiran / anak sendiri / anak tiri/ anak tok ketua dan ketua kompang, jauh di sudut hati kita tetap gembira dengan kedatangan Syawal.

Ada yang gembira kerana tak perlu berpuasa, ada yang gembira kerana dapat balik bercuti lama dan juga yang gembira kerana dapat berjumpa sanak-saudara. Namun, janganlah kita lalai dan alpa dalam mengingati Allah SWT tatkala bergembira di samping keluarga tercinta. Perlulah diingatkan bahawa 1 Syawal adalah hadiah kemenangan daripada Allah SWT untuk disambut oleh umat Islam dengan penuh kesyukuran, ketaqwaan dan dengan penuh kegembiraan.

Dikesempatan ini, aku selaku moderator blog ini, memohon ampun dan maaf daripada semua pengunjung setia dan tidak, andai kata ada terkasar bahasa dan tercalar bicara di dalam berkongsi pendapat dan cerita.

Eidul Sae'id..
Kullu A'm wi Antum Bikhair...

p/s: semalam aku lalu lebuhraya PLUS dari Taiping-KL. Banyak lagi bahagian yang belum siap dan aku jangkakan akan berlaku kesesakan teruk di atas lebuhraya sempena cuti Hari Raya kali ini. Nasihat aku, lalu jalan lama lagi baik sebab tak kena tol. Lambat memang lambat, tapi kita kena save duit. Jangan membazir kerana membazir itu amalan syaitan dan jangan lupa bayar ZAKAT Fitrah.