Pages

Solat Time

Monday, May 30, 2011

Jadi ke tidak?

Assalamualaikum..

Masa berjalan tanpa menunggu kita. Soalan aku, jadi ke tidak kita nak buat meeting untuk golongan bujang (bujang 3 juga termasuk dalam golongan ini)? Kalau jadi, bilanya nak buat? Sapa yang nak handle? Nak buat di mana? Sapa yang berminat nak join?

Aku kalau boleh, lagi cepat kita putuskan, lagi bagus. Tak la tergantung ja sama ada nak buat atau tidak. Kalau tak jadi, aku nak buat plan lain untuk keluarga aku. Jangan nanti last menet baru nak kata jadi. Bila x dapat join, mua kata macam-macam. Muahahahahaahah..!

So, apa kata survey?

Monday, May 16, 2011

Selamat Hari Guru

Assalamualaikum..

Berbahagialah duhai para pendidik! Jasamu tetap dikenang dan akan dibalas dengan ganjaran yang hebat oleh Allah Azza wa Jalla (kalau ajar ilmu baik dan bermanfaat). Di kesempatan ini, aku mewakili warga Kom87, mengucapkan Selamat Hari Guru buat para guru di seluruh tanahair amnya, dan buat sahabat2 yang berjawatan sebagai guru khasnya. Tiada istilah bekas guru. Once a teacher always a teacher. Pangkat cikgu pun dibawa sampai ke mati.


SEJARAH RINGKAS HARI GURU

Setiap 16 Mei tiap-tiap tahun adalah Hari Guru. Guru sering diibaratkan lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain. Ia mengingatkan kita pengorbanan guru dalam melaksanakan agenda membentuk insan bergelar pelajar agar seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelektual. Tarikh 16 Mei dipilih sebagai HARI GURU kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagai LAPORAN RAZAK (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak hari itu.


OBJEKTIF HARI GURU

  • Menitik beratkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.
  • Menarik perhatian ibu bapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.
  • Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibbah di antara guru.
  • Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.
  • Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-seminar, persidangan-persidangan, dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru.
  • Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu boleh berkesan.


ANUGERAH PERTAMA TOKOH GURU (1975)

Puan Hajah Zainun bte Munshi Sulaiman (Allahyarhamah)
Encik Mohd. Nor bin Ahmad
Encik Ting Pin Sung
Encik A.V. Perumal
Encik Tan Chong Bee


TEMA HARI GURU

2008 Guru Cemerlang Negara Terbilang
2007 Guru Penjana Modal Insan Gemilang
2006 Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
2005 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2004 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2003 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2002 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2001 Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama
2000 Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
1999 Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
1998 Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
1997 Guru Bestari Sekolah Bestari
1996 Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia
1995 Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
1994 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1993 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1992 Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
1991 Ke Arah Pendidikan Cemerlang
1990 Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
1988 Guru Pengasas Budaya Membaca
1987 Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan
1986 Pendidikan Teras Nasionalisme
1985 Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan
1984 Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
1983 Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
1982 Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu
1981 Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
1980 Pendidikan Teras Perpaduan Negara
1979 Murid Sejahtera Negara Jaya
1978 Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
1977 Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
1976 Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan
1975 Guru dan Pembangunan Negara
1974 Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi
1973 Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan
1972 Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara

Tu dia... siap ada objektif sambut Hari Guru. Hangpa ingat saja suka-suka ka sambut? Buat yang jadi guru, jagalah amanah yang ibubapa pelajar amanahkan pada hangpa semua. Nak rotan, biar dengan penuh kasih-sayang, bukan pelepaih geram. Jangan jadi macam yang berlaku di Maahad Furqan, Jejawi, Perlih nuh. Tibai anak murid sampai dua jam. Sampai lupa ke diri. Tu bukannya nak mendidik. Tu namanya masuk hantu. Kalau anak aku, mati dah cikgu tu.

Betuila tanggungjawab, kerja dan bebanan yang guru-guru la ni kena pikul tu banyak. Tapi tu bukan alasan nak buat tak ketahwan kat anak orang. Kalau tak lalu jadi cikgu, berenti, pi buat kerja lain. Jangan dok bunyi, gaji dok mintak naik tiap2 tahun, kerja macam taik. Taik pun berguna sebab boleh buat baja. Ni teruk lagi daripada taik. Merosak anak orang kalau bukan melalui fizikal, deraan lebih teruk melalui mental.

Tapi aku tau, kawan-kawan kita yang jadi cikgu, baguih-baguih belaka. Hangpa yang baguih-baguih, toksah la nak jawab on behalf cikgu yang tak baguih. Buang karan ja. Kita pakat-pakat doa supaya warga pendidik ni bekerja kerana Allah dan amanah yang diterima dan dipikul. Kan ka itu lebih baguih dok ada?

Dan kepada para guru yang prihatin, sila lengkapkan tema Hari Guru di atas. Apa tema Hari Guru tahun ni?

Selamat Menyambut Hari Guru!!!

Monday, May 9, 2011

Letih

Assalamualaikum..

Dah lama sangat aku tak kemaskinikan bog kita yang makin lama makin suam-suam kuku buaya. Makin malap je ku tengok. Tapi takpa, selagi ada upaya, aku kemaskini mana yang sempat.

Baru-baru ni sahabat kita, sdr. Lokman Razi kehilngan ayahnda tersayang. Harapan kita semoga Lokman sekeluarga tabah dengan ujianNya. Sebelum tu, sdr kita yang sorang lagi, Ahmad Suzaini aka Bob kehilangan kedua-dua ibubapanya dalam masa yang singkat. Sama-sama kita berdoa semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas mereka yang telah pergi. Al-Faatihah..!

Masa berlalu dengan pantas wahai kawan-kawan. Dok tak dok, dah masuk bulan ke5. Bini aku yang sarat, tak jugak beranak. Dah letih teman nunggu. Allah Taala jua Maha Mengetahui kenapa susah sangat bayi dalam perut bini aku tu takmau keluo. Semoga sihat dan cukup sifat serta menjadi anak yang yang soleh/solehah hendaknya nanti, amin. 

Aku ni dah letih sebab nak ke sana kemari tak berapa nak boleh. Almaklumlah, standby mode. Anytime je bini aku tekan panic button. Kalau dia tak panik, aku yang panik. Muahahahaha..

Buat masa sekarang ni, tiada topik penting untuk kita bincangkan. Cumanya, sebelum kita dilanda peristiwa dan khabar berita tentang kematian ayah/ibu sahabat kita, ada cadangan yang mengajak kita untuk bermesyuarat di Pulau Pangkor. Kalau tak silap aku la.. Bolehla kalau nak sambung diskusi....

Apa-apa pun, aku tunggu respond kawan-kawan...

Wednesday, April 27, 2011

Takziah..

Assalamualaikum..

Takziah diucapkan buat keluarga Mudir MIBCKK; arwah al-Fadhil Ustaz Kamaruddin, ayahnda kepada sahabat kita sdr. Lokman Razi yang telah pergi menyahut seruan Ilahi petang semalam. 

Berita melalui SMS yang ku terima pada pukul 5.30pm semalam daripada Lokman yang mengesahkan bapanya meninggal dunia tepat jam 4.20 petang di Hospital Taiping, khabarnya akibat terkena jangkitan kuman kencing tikus. 

Upacara pengkebumian jenazah dijadualkan pada pukul 11 pagi hari ini di Maqam al-Ghufran, Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Kullu Nafsin Zaaiqatul Maut - Setiap yang bernyawa pastikan mati. Innalillahi Wa Inna Ilaihi Raaji'un. 

Aku tumpang sedih dan simpati buat keluarga Lokman Razi dan seluruh warga MIBCKK. Sama-sama kita doakan semoga roh arwah ditempatkan di dalam golongan yang diberkati dan diredhaiNya.

Sepuluh jariku susun tanda mohon kemaafan kerana tidak dapat menghadiri upacara pengkebumian dek kerana isteri sarat mengandung. Semoga Lokman sekeluarga tabah menghadapi suratan kehidupan.

Al-Faatihah.

Monday, April 18, 2011

Mudir MIBCKK

Assalamualaikum..

Buat semua warga yang masih sudi jenguk2 blog ni, terima kasih tidak terhingga diucapkan. JazakumulLahu Khairal Jazaa'. Tahniah aku ucapkan sebab masih ada ruang dan peluang buat mereka yang nak tau apa maklumat terkini. 

Alhamdulillah, sahabat kita sdr Ahmad Suzaini yang aku temui Sabtu malam sudah tenang dan damai jiwanya walaupun ada sedikit terpancar riak kesedihan kerana kehilangan orang tersayang. Apa2 pun, syabas dan tahniah buat sdr Ahmad aka Abe Mart kerana gagah menghadapi dugaan yang maha berat. Tabahkan dirimu. Nescaya Allah SWT membalas dengan ganjaran yang tidak ternilai. Moga hatimu cekal selalu.

Terkini:

Mudir MIBCKK alFadhil Ustzz Kamaruddin yang juga ayahnda kepada Lokman Razi sedang kritikal dan ditempat di wad ICU. Mengikut SMS yang aku dapat daripada Lokman pagi ni, ayahnya suspek kena jangkitan kuman kencing tikus. Sama-sama kita doakan semoga Allah SWT memberi yang terbaik buat Lokman sekeluarga juga buat warga MIBCKK.

Sejak akhir-akhir ni, ramai yang kita kenali telah pergi menyambut seruan Ilahi. Antaranya yang kita ketahui dan ada juga yang tidak kita ketahui. Banyak2kan lah bertanya khabar buat mereka yang masih hidup. Dan banyak2kanlah bersedekah amal pahala buat mereka yang telah tiada.

Peristiwa ataupun kejadian yang berlaku, sama ada kita suka atau tidak, sebenarnya itulah yang terbaik buat kita (kalau kita bersyukur dan memahami maksud mengapa ianya terjadi ke atas kita: mengambil iktibar).

Selamat beribadat!

Monday, April 4, 2011

Belasungkawa

Assalamualaikum..

Kemaskini

Takziah lagi sekali buat sdr Ahmad Suzaini yang sekali lagi kehilangan orang tersayang. Selang seminggu. Besar sungguh ujianMu ya Allah buat sahabatku ini. Pohon berikanlah kekuatan buat mereka. Ayahndanya telah pergi menyahut seruan Ilahi tanggal 11 April baru-baru ni. Aku mintak maaf sebab tak dapat nak hadirkan diri semasa pengkebumian ayah cik Mart. Masa untuk kemaskinikan blog ni pun curi-curi memandangkan tak menang tangan kerja yang menimbun.

Jam 10.15 Isnin malam tu, aku terima mesej daripada seorang lagi sahabat kita; sdr Jamil Fahmi yang memberitahu ayahnda Mart Suzaini telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pukul 9.30 malam tersebut.

Tiada kata dapat aku nukilkan buat meredakan hati yang sedang gundah-gulana. Cuma doa dan harapan semoga emosi dan iman buat teman yang sedang dirudung kesedihan ini akan senantiasa tabah dan gagah menempuh mehnah dan ujian kehidupan.

Tua pun gugur, muda pun gugur. Cuma masa dan pengetahuannya sahaja milik serta dalam genggaman Allah Azza wa Jalla. Sama-sama kita berdoa agar kedua-dua ibubapa sahabat kita ditempatkan di dalam golongan yang diredhai.

Apa yang tidak kita suka berlaku ke atas diri kita, boleh jadi itu yang terbaik buat kita.

Terima kasih tidak terhingga buat kawan-kawan yang sudi meluangkan masa berSMS, menalifon malah ada yang sanggup untuk pergi menziarahi Mart sekeluarga. Ini waktu yang amat penting untuk kita meluangkan masa dan bertanyakan khabar sahabat yang sedang diuji Allah supaya dia tahu bahawa ramai kawan-kawan yang ambil berat tentang nasib dan takdir yang menimpa.

Posting asal

Buat sahabat kita, sdr Ahmad Suzaini bin Hashim, Azakallah diucapkan buat mike sekeluarga. Al-Faatihah.

Tanggal 3 April merupakan tarikh yang suram dan hiba buat seisi keluarganya. Pemergian bondanya Pn Zainon binti Mohd Zain yang tersayang yang telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir ke rumahnya lewat jam 1.45 pagi. Doa kami semua semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan yang diredhaiNya.

sementara menunggu jenazah selesai dimandikan

samsul & asri

tatapan terakhir

keranda dibawa masuk

bersiap

al-Faatihah

Aku terkejut bila terima mesej seawal pukul 2.18 pagi (baru sampai rumah balik daripada mesyuarat) daripada Mat Suzaini akan perkhabaran yang menyedihkan. Aku sempat kirimkan mesej kepada kawan-kawan yang terlintas di kepala. Tekad aku kalau tiada siapa yang ada kelapangan masa untuk pergi ke Ipoh, akanku ke sana berseorangan. Alhamdulillah, Saiful Asri bertanyakan aku sama ada nak ke Ipoh atau tidak. aku jawab: "Ya!". Dia setuju pick-up aku di rumah pukul 5 pagi. Pukul 5.56 pagi, aku dan Saiful Asri bergerak keluar meninggalkan ibukota untuk bergegas ke Ipoh menghadiri upacara pengkebumian.

Perjalanan lancar sepanjang lebuhraya. Almaklumkah pagi Ahad. Masih ramai warga Malaysia yang tidur, agaknya. Singgah solat subuh di R&R Rawang. Kami teruskan perjalanan tanpa henti. Sampai di Kg Dato Ahmad Said Tambahan 1, tepat jam 8.16 pagi. Orang ramai sudah memenuhi perkarangan rumah. Bacaan tahlil dimulakan pukul 8.30 pagi semenSolat jenazah selesai jam 11.30pagi dan jenazah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Gurab, yang teletak bersebelahan dengan sekolah cina, Jalan Kuala Kangsar, Ipoh.

perjalanan baru bermula

siap memasuki kenderaan

ke tempat rehat yang terakhir 

sesi talqin bermula

talqin dibaca buat peringatan yang hidup

cikgu Kamaruddin

anak murid & guru

Antara yang hadir di kalangan mantan warga dan warga Idrisiah ialah; Samsul bin Shuib, Kamaruddin Adam, cikgu Abd Rahman Najib, Cikgu Kamaruddin Wok ( ni mesti ada sebab mak mertuanya), aku dan Saiful Asri.

Aku harap Ahmad sekeluarga tabah dalam menghadapi ujian terbesar di dalam hidupnya. Mana tidaknya, ayahnya masih koma terlantar di Hospital Ipoh. Ditakdirkan dia tersedar dari koma dan bertanyakan perihal isterinya, agak2 lah kalau kita sebagai anak, macam mana nak sampaikan? Che tetuan/puan bagitau.

Thursday, March 31, 2011

Santapan rohani

Assalamualaikum..

Seperti mana  maraknya api membakar ranting dan dedaunan kering. Begitulah rakusnya nafsu sekira dibiarkan tanpa diubati. Dunia hari ini lebih mementingkan jasmani daripada rohani. Kita bersantap santapan seperti madghut, briyani, Milo ais dan lain-lain setiap hari. Demi kelangsungan hidup dan tenaga diri, kita makan. Tetapi kita kurang memberikan diri kita santapan rohani. 

Apa itu santapan rohani?

Semua sedia maklum bahawa rohani kita memerlukan santapan yang secukupnya. Yakni amal ibadah, sedekah, berakhlak mulia dan menentang kezaliman. Definisinya cukup luas. Cuma yang aku nak sentuh di sini ialah bersedekah. Berapakah daripada gaji bulanan yang kita dapat yang diperuntukkan untuk bersedekah? Baru-baru ni aku berbicara dengan seorang kontraktor berbangsa cina. Namanya Alex. Dia seorang penganut Buddha. Dia selalu bertanyakan tentang Islam dari pelbagai perspektif. Katanya minta pencerahan dan pemahaman.


Dia kagum dengan muslim yang rata-ratanya berbangsa Melayu. Katanya: "Saya tengok orang Islam bila ditimpa bencana dan kesusahan, masih mampu tersenyum. Kenapa ya?" Dengan ilmu yang sekelumit cuma, aku menjawab: "Kerana seorang muslim itu dididik untuk bersabar dan berlapang dada dengan segala mehnah dan tribulasi kehidupan. Islam mengajar umatnya supaya sabar dan redha. Tiada jalan singkat untuk kecapi kesenangan. Sedangkan Rasulullah SAW pun diberikan ujian yang berat-berat walaupun baginda kekasih Allah SWT. Apatah lagi kita sebagai manusia biasa yang penuh dengan cacat-cela."


"Kenapa Allah uji orang Islam dengan ujian? Bukankah lebih baik jika diberikan kesenangan semasa hidup demi membuktikan bahawa muslim itu adalah yang terpilih di sisi Allah? soalnya lagi. Aku jawab: "Kehidupan kita di dunia ini hanya sementara. Awak nak senang sementara atau selama-lamanya? Sudah tentulah nak yang selama-lamanya kan? Kehidupan itu tidak terhenti dengan kematian. Bahkan kematian itu tanda permulaan yang baru.

Kehidupan baru di alam roh itu tidak seperti mana yang kamu paham seperti kelahiran semula. Di alam itulah segala-galanya. Bak kata Maximus Decimus Meridus di dalam kisah Gladiator: "What you do in life echoes in eternity". Susah di dunia tidak bermakna kita susah di akhirat. Dengan kita berlapang dada dan sabar dengan ujian yang datang, Allah akan beri ganjaran di akhirat kelak kerana redha dengan ujianNya. Allah juga tidak perlukan bukti yang menunjukkan Dia Maha Hebat. Kita manusia lah yang perlukan bukti untuk percaya kepada sesuatu perkara. Bukti bukan sekadar dengan melihat. Seperti aroma kentut. Wujud tanda adanya kentut melalui deria bau. Boleh kita tunjukkan rupa bentuk kentut tu? Of course lah tak boleh. Tapi kita tau ada seseorang yang melepaskan gas berbau durjana yang berdekatan dengan kita." Alex tersenyum mendengar jawapan aku. Aku harap dia paham maksud jawapan aku tu. Mohon Allah SWT memberikan hidayah kepadanya. 

Alex bercerita perihal abangnya yang kuat berpegang kepada agama Kristian. Setiap bulan akan diperuntukkan sebanyak 10% daripada hasil pendapatannya kepada gereja. Dan ramai di kalangan rakan-rakan abangnya berbuat demikian. Membuatkan gereja mereka punyai dana yang cukup besar untuk kerja-kerja dakyah. Gereja mampu memberi makanan, tempat berteduh dan bantuan percuma kepada orang susah dan miskin. Terpukul aku dengan cerita tersebut. Terpukul kerana Islam itu hebat, tetapi sebagai seorang muslim yang percaya bahawa Islam adalah satu-satunya agama di sisi Allah SWT tidak mampu berbuat seperti abangnya Alex.


Justeru, aku berjanji dengan diriku sendiri untuk memperuntukkan sebahagian daripada perolehan yang aku dapat setiap bulan, didermakan kepada mereka yang berhajat. Aku mengajak semua sahabat untuk sama-sama berfikir dan merenung sejenak, apakah sumbangan kita kepada agama? Mampu dan mahukah kita berkongsi rezeki yang diberikan kepada kita bersama orang lain?


Jom kita banyak-banyakkan bersedekah selain daripada senyuman (ni dikira juga sebagai sedekah). Sila lawati http://darulmulkan.blogspot.com sekiranya tuan/puan punyai lebihan untuk bersedekah.