Assalamualaikum..
Selamat bercuti buat warga guru dan pelajar (tidak termasuk mereka yang belajar dan mengajar di IPTA & IPTS). Cuti sekolah sudah bermula dan sibuklah para ibu dan bapa menyusun jadual percutian untuk diisi sepanjang musim cuti ini.
Baru-baru ni, aku balik kampung isteri di Kuala Terengganu. Sempatlah menganyam pengalaman dan menatap taburan bintang di dada malam sambil mencandat sotong di perairan Laut China Selatan. Aduhai! Betapa syahdunya perasaan tatkala dilambung ombak yang kadang-kala mencuakkan hati ini.
Lewat 23 Mei yang lalu, aku bersama keluarga biniku turun ke laut mengutip pengalaman mencandat sotong. Seronok tidak terkata. Pukul 5.45 petang kami sudah berada di dalam perut bot yang meredah gagah muara sungai Marang. Perjalanan ke 'pot' sotong bertelur memakan masa hampir sejam yang jaraknya 6 batu dari jeti Marang. Perjalanan mengambil masa yang agak panjang kerana ombak kuat. Bot kecil yang sarat dengan penumpang tak boleh 'full throttle' sebab takut pecah atau terbalik. Nun jauh di tengah lautan. Nampak sayup dari kejauhan daratan dan Pulau Kapas dari 'pot' sotong bertelur.
Bot kami antara yang terawal melabuhkan sauh. Tak sampai 10 minit candat diturunkan ke dalam laut, sotong pertama sepanjang 1 kaki berjaya dinaikkan abg iparku. Selang 3 minit kemudian, Pok Mart (tekong bot) menunjukkan belang dan skilnya. Tak putus-putus sotong dinaikkan hinggalah pukul 8 malam. Sotong pertamaku naik ke atas bot pukul 7.45 malam. Kemudian, keadaan kembali reda dan masa berjalan terlalu lama dirasakan. Seronok bilamana menunaikan solat di atas bot sambil dilambung ombak.
gambar hiasan
Pukul 10 malam, aku dah mula diserang mabuk laut. Tak tahan dengan rasa mabuk laut, aku melelapkan mata sehingga pukul 11.30 malam. Bila terjaga, alhamdulillah, rasa mabuk laut berkurangan. itupun, mungkin ubat tahan mabuk aku mula berkesan sebab makan ubat tu lewat. Kalau diikutkan jadual perjalanan balik pada pukul 4 pagi, akan tetapi bila memandang 2-3 orang sepupu biniku dah mabuk dan muntah, kami mengambil keputusan untuk pulang lebih awal. Pukul 1.30 pagi, kami bertolak pulang dan sampai di jeti Marang pukul 2 pagi. Hasil tangkapan keseluruhan ialah seberat 15 kilogram. Sotong paling besar yang berjaya ditangkap ialah sepanjang 2 kaki setengah.
Keesokkan harinya, kami sekeluarga makan macam-macam jenis masakan sotong. Bakar, goreng salut tepung, masak pedas dan sebagai. Jadi, jangan ajak aku makan sotong untuk tempoh 2 bulan dari sekarang sebab aku dah naik muak meratah sotong.
Aku cukup galakkan kawan-kawan untuk timba pengalaman mencandat sotong walaupun sekali seumur hidup. buat mereka yang pernah mencandat, tak rasa nak pergi mencandat lagi ke? Kalau kita buat program mencandat sotong ni tahun depan, seronok jugak.
Jom candat!!!
1 comment:
pi mana yang lain? sibuk bercuti ka? muahahaha
Post a Comment