Pages

Monday, October 11, 2010

Khutbah terakhir Rasulullah SAW

Assalamualaikum..

Ceria hari ni? Kalau ada yang mendung jiwa dan perasaan, ingatlah: Ujian itu adalah tarbiah dari Allah SWT.

Jom kita telusuri akan terjemahan serta mengambil istifadah daripada khutbah Wada' yakni khutbah terakhir yang disampaikan oleh nabi tercinta kita, Muhammad anak kepada Abdullah.


Khutbah Hujjatul Wada' adalah khutbah terakhir Rasulullah SAW. Baginda menyampaikan khutbah itu pada upacara kemuncak ibadat haji iaitu ketika melakukan wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah, 10 Hijrah. Seumur hidup, Rasulullah SAW melakukan ibadat haji hanya sekali.

"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi.

Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar. Maka berjaga- jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.

Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersunggah-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal soleh. Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku. Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain.

Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hambaMu."

Rasa-rasanya apa yang kita boleh belajar daripada teks khutbah ni?

4 comments:

  1. Cuba baca dan teliti perenggan yang terakhir dalam khutbah tu. Aku berpendapat bahawa khutbah nabi SAW ni ditujukan pada ummat baginda yang hidup pada zaman kita nih.

    Kalau nak dikirakan, memang kena ataih batang idung kita. Soal riba (kad kredit beb!!!), memahami isteri masing2 yang la ni kebanyakan pompuan dah lari daripada fungsi asal kejadian semasa Hawa diciptakan.

    Dan paling yang aku khuatirkan pasai benda-benda kecik yang syetan blom berputus asa. Rasa-rasa apa dia?

    ReplyDelete
  2. Teka; berapa ramaikah di kalangan kita yang memiliki kad kredit mutakhir ini? Berapa ramaikah yang membeli/membina rumah, harta-benda, kenderaan dan pelbagai yang mengguna sistem perbankan Islam?

    Kita dicorakkan untuk menjadi hamba sistem Dajjal yang mutakhir.

    Tidakkan Rasulullah SAW yang tercinta telah mewasiatkan kepada ummatnya supaya menjauhkan diri dari usury/riba'? Malangnya, ummat islam tidak mahu belajar daripada sirah Rasul.

    Oleh yang demikian itu, kita jangan mengeluh andaikata gaji kita sentiasa tidak mencukupi, yahudi hebat, ummat islam mundur, gejala sosial berleluasa.

    Ini kerana sistem pendidikan kita telah direkacipta untuk menghambakan diri kepada duniawi.

    Cuba lihat, berapa ramaikah di antara kita yang mengaku menjadi ustaz, doktor, pensyarah, peniaga dsbgnya?

    Bila ditanya kepada anak2 kita, besar nanti nak jadi apa? Jawapan yang klise: ustaz, huffaz, doktor, guru ahli bomba, askar dan berbagai. Kalau di zaman ini; pereka fesyen, pakar IT, pemandu F1 dan angkasawan. Maka tersenyum bangga lah akan para ibubapa mendengar jawapan yang sememangnya kita mahu dengar.

    Tidakkah itu sekadar profesion/ pekerjaan yang sementara? Sedarkah kita bahawa jawapan anak2 kita itu telah dicorakkan supaya menjahanamkan kita?

    Soalan seterusnya yang seharusnya kita tanya kepada diri kita: apakah sekadar ini sahaja kehebatan manusia yang diciptakan Allah Azza wa Jalla? Jadi doktor? Ustaz? Pakar IT?

    Percayalah, suka atau tidak, kita telah terlalu bergantung kepada duniawi. Rumah mesti ada, kenderaan mesti ada, pakaian mesti molek2. Apakah itu tujuan kita diciptakan? Ataupun sekadar itu?

    Telah bersabda nabi SAW memberi peringatan sejak 1400 tahun yang silam kepada ummatnya yang terkemudian hari supaya menjauhkan diri daripada riba'. Malangnya, kita ummat yang sombong dan angkuh kepada ajaran dan peringatan baginda yang tercinta.

    Aku menyeru kepada semua terutamanya diriku sendiri minta dijauhkan diri daripada seksaan api neraka.

    ReplyDelete
  3. Setuju beno dgn Marn Alhamdulillah aku sejak tahun 2008 dh tak pakai kredit kad. Kena pejam mata setel mana2 kad yg dh belen sikit2. Nk pakai kredit kad memerlukan disiplin yg tinggi yg susah utk most of kita ada.. Bila dh ada kad krdt rasa mcm ader power jer sbb boleh bli dgn hutang... tu yg ader yg tak mampu pon masih lagi ikut trend hp la & pelbagai trend aksesori masa kini...

    ReplyDelete
  4. Kalau nak pakai kad, dek kerana kekhuatiran keselamatan yang meruncing saban hari, aku rasa elok pakai kad debit. Nah, tiada caj tersembunyi, tiada 'interest' dikenakan, dan sememangnya tu duit kita, bukannya duit 'pak tiri' aka bank sistem yahudi.

    Kad debit juga menawarkan 'keselesaan' dan gaya hidup yang 'mewah' di abad ini. Cumanya, kenala 'top up' masuk dalam akaun kad debit, barulah boleh digunakan.

    Banyak bank menawarkan kad debit, antaranya Maybank, Public Bank, al-Rajhi dll. Cumanya, buat mereka yang menggunakan 'paypal' sebagai medium, hanya Public Bank sahaja yang boleh digunapakai.

    Walaupun Public Bank tu bank kapiaq (memang sedih sebab bank-bank islam xdak), demi mengelakkan kita daripada terperangkap dalam sistem riba, kita' terpaksa' menggunakan sistem ni.

    ReplyDelete