Pages

Wednesday, January 28, 2009

Selamat sudah..

Assalamualaikum..


Selamat sudah bernikah akan saudara kita si Izanee. Alhamdulillah.. maka bertempiaran dan menangis-nangislah para syaitan yang memang seboleh-bolehnya menidakkan perkahwinan di atas nama Allah Azza wa Jalla. 

Bila sebut kahwin, selalunya ada kenduri. Ha... terima kasihlah buat semua yang hadir. Tahniah kami ucapkan buat sdr Izanee. Selamat dan moga panjang umur, jodoh dan dimurahkan rezeki.
Kami semua tumpang gembira. Dan selamat menanggung dan menjalankan tanggungjawab anda sebagai seorang lelaki dan suami. Doa banyak-banyak. Sabar pun kena banyak.

Perjalanan ke utara tempoh hari memang penuh dugaan. Mula-mula waktu berlepas tergendala dek terputus telekomunikasi. Ikut jadual asal pukul 4.30 pagi, lajak sampai puul 5.45 pagi. Perjalanan diteruskan. Kami yang bujang yakni aku, Mart, Karim, Asri, Zaki Siam dan adik aku solat subuh di Rawang. Lepas sarapan, teruskan perjalanan dan menyinggah di Kg Lembah, Kuale Kangso. Hallamak beb.. lalu depan sekolah, sambil pusing istana.. syahdunya ku rasa... memang 'down memory lane' la brader! Aku nampak aku masa form 1-3 dulu tengah dok berjoging. Muka dalam kereta masa tu maintain, tapi hati punya dalam ada syahdu. Kami singgah di rumah ayahnya Karim di Kg Lembah sebab Karim ada barang yang nak diambilnya. Selepas mission accomplished, kami menyinggah pulak lagi di lembah dekat menara jam tengah pekan Kuale tu ha. Pekena cendol 'O'. Nak marah pun ade sebab cendol, ais dengan santan je yang ade. Memang di luar jangkaan sungguh. 

Lepas setel pekena cendol 'O' yang Mart memang tak puas hati tu, kami teruskan perjalanan sehingga berjumpa dengan sahabat2 yang lain di meeting point yang telah ditetapkan iaitu RnR Bukit Merah. Berjumpalah kami dengan Meo Matot sekeluarga, Abu Atief sekeluarga, Lokman sekeluarga dan Mail&Asri Scottie not Hottie yang berduet. Kami teruskan perjalanan yang banyak tergendala dek gara-gara  ada saja yang nak terkucil di tengah jalan. Almaklumlah, pundi yang dimakan usia, memang koman. Tak boleh tampung lama-lama. Kang bocor tanpa sedar. Ditambahkan lagi kereta Abu Atief yang naik temperaturenya. Ada lah 3-4 kali berhenti tengah jalan sebelum sampai ke destinasi.

Tiba di destinasi kurang lebih jam 1.30 petang. Disambut oleh Fariz aka Abu Husni yang baru sudah selesai makan. Abu Husni datang dengan anakbini. Meriah tak terkata beb. Masa kami sampai tu, Mapley tengah baik punya pekena hidangan agung yang tak sempat dirakamkan sebab pantas sungguh pengantin tibai kasi habis. Yang sempat aku tengok, ada la udang panjat. Yang lain tak dan beb!

Lauk-pauk sedap bangat. Ada yang tambah 2-3 kali. Bila pikir-pikir, memang patut tambah. Sebab mai jauh. Tambang mahai wo. Lepas makan, pekena pulak kopi tumbuk bancuhan pengantin lelaki. Pergh...!

Elok2 pukul 3.20 petang, kami nak beransur pulang. Sekali, abg Mael pulak kata tunggu jap sebab dia nak kasi tunjuk tunang 'da Bomb'nya pada kami semua. Hallamak! Ini sudah cantek! Memang Mael bukan bunyi kosong lah kata nak kahwin tahun ni. Dalam diam-diam sudah ada 'sparring partner'. Tunggu la punya tunggu, pukul 4 petang baru sampai. Nasib baik tunang hang cun dan sedap mata memandang. Kalau tak, mau aku demah bijik mata hang Mael sebab menunggu lama. Muahahaahahahahaah!!!

Bayangkan tengok, 3 kali salam tak gerak-gerak lagi dari rumah pengantin. Kalau aku pak Izanee, mau aku 'badet kuda' sorang-sorang yang tak reti bahasa nak balik. Nasib baik la pak Izanee bukan aku. Pukul 4 lebih, kami gerak cantek punya dari rumah pengantin. Zaki Siam berpisah dengan kami di rumah Izanee sebab dia nak balik kampung di Siam nuh. 

Yang pasti, pukul 6 lebih, kami sampai di rumah mak aku solat. Sementara adik aku betulkan pemegang pintu Nazaria Asri yang tercabut, sempatlah dok bincang nak plan apa lepas tu. Habis selesai siap pintu dibaiki, kami gerak ke rumah Asri Scottie di Kg Power (Pauh). Pergh! Memang supap la keluarga Asri ni. Abgnya bela lembu dan kambing. Adiknya buat industri aromaterapi. Asri ja yang tak berapa nak menjadi. Muahahahhahahaaha!!!

Pukul 8.30 malam, kami gerak pulang ke KL. Sampai di KL kurang lebih jam 12 tgh malam. Singgah di Rawsha pekena nasi Madghut. Ala kulli hal, semuanya berjalan dengan lancar dan tercapai semua objektif yang telah kami rancangkan sejak mula lagi. Dan, kami amat terharu dengan komitmen yang kawan-kawan semua dah berikan. 

InsyaAllah, panjang umur dan dimurahkan rezeki, kita ketemu lagi.

Kalau ada sumur di ladang
Boleh hamba menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi



Wednesday, January 21, 2009

Jom melawat Kedah!

Assalamualaikum..

Oo.. mai la oo.. cek mai,
Kita ke negeri Kedah,
Mai la bagi ramai,
Kita makan nasi kawah.

Cuti perayaan yang kedua terbesar di Malaysia hampir tiba. Selaku rakyat Malaysia, kita tentunya sudah biasa dengan ucapan 'Gong Xi Fa Chai' dan 'angpow'. Buat warga Malaysia berketurunan cina; "Selamat Menyambut Tahun Baru!". 2009 mengikut kalendar tahunan cina ialah tahun lembu. Sekadar berkongsi maklumat ringkas.
Dan kebetulan dengan cuti perayaan Tahun Baru Cina kali ini, kita ada sahabat yang insyaAllah akan mendirikan rumahtangga yakni bernikah. Dah sampai seru! Alhamdulillah dan tahniah buat saudara Izanee bin Zainon yang bakal menjadi suami orang.

Di kesempatan ini, aku selaku wakil sdr Izanee, ingin dengan berbesar hati menjemput seluruh warga Komuniti87 baik yang aktif mahupun tidak di dalam blog ini untuk turut sama menghadirkan diri dan ke Walimatul Urus beliau seperti yang diperincikan di bawah:

Rumah Ponu (Pengantin Perempuan) pada hari Ahad 25 Januari 2009:
No. 25, Lorong 4, 
Kg. Kuala Sayong Hilir,
Kuala Kangsar,
Perak.

Masa: 12.30 - 3.30 petang ( ni aku yang pandai-pandai letak).
Bersanding: rasa macam ada. Yang ni kena tanya mapley la.

Manakala sebelah Mapley (pengantin lelaki) pada hari Isnin 26 Januari 2009.
N0. 21, Jalan 2/4,
Taman Mutiara,
Sugai Petani,
Kedah.

Masa: 12.30 - 5.00 petang (ni ikut kebiasaan orang Utara punya jadual).
Bersanding: pun kena tanya mapley.

*Petua ke rumah mapley: Dekat dengan bandar Sg. Petani. Jumpa penjara, masuk kiri, kiri tarus dan kiri! (mengikut ayat dan baik syair yang diberikan melalui SMS oleh mapley sendiri kepada penulis). 
Disclaimer: Moderator blog ini tidak akan menangggung sebarang kerugian, sesat jalan, hilang nyawa, hilang manfaat kekal atau sementara atau apa-apa jua yang mendatangkan kecelakaan sekiranya petua yang diberikan tidak benar dan tidak tepat sama sekali. Ambo copy paste ja esemes yang diberike kepado ambo. Sila rujuk kepada mapley untuk maklumat yang lebih cepat, tepat, adil, terkini dan telus.

Peta dan pelan lokasi akan dimuatnaikkan sekiranya ada sesiapa yang boleh emel kepada aku gambar peta dan pelan ke rumah pengantin di loolapalooza@gmail.com

Friday, January 16, 2009

17hb di Kuala Terengganu

Assalamualaikum..

Siapa dan parti mana bakal memenangi pilihanraya kecil yang akan berlangsung esok hari? Sudah banyak janji dan wang dari kesemua yang bertanding telah dikeluar dan ditaburkan. Faktor luaran juga bakal memberikan kesan kalau tidak banyak pun tetap ada.

Yang pasti, rakyat Kuala Terengganu dapat projek segera macam jalan berturap baru, gerai yang senget dibaiki, longkang tersumbat pun lancar kembali, makcik-pakcik dapat bantuan sana-sini. 

Bila difikirkan, adalah baik sekiranya ramai YB yang mati sebab rakyat jua yang mendapat manfaat segera. Tak percaya? Cuba tengok selama ini bila ada saja pilihanraya kecil, pasti ada projek dan bantuan segera.

Punya sibuk bantuan disalurkan kepada rakyat Kuala Terengganu, sampaikan rakyat di Sarawak yang ditimpa bencana banjir, tiada siapa yang peduli.

Tuesday, January 13, 2009

Realiti pembunuhan di Gaza

Assalamualaikum..

Korban nyawa makin meningkat saban hari. Ratusan terbunuh syahid. Manakala ribuan hilang anggota keluarga, tubuh badan, tempat berteduh, belajar, beribadat dan beriadah. Namun, dunia umat Islam masih lagi meraba-raba mencari jawapan yang sedia ada tapi diabaikan.

Kecaman, persidangan, kaukus, rundingan damai dan pelbagai terma sudah habis dikeluarkan. Yang nyata, nyawa ribuan penduduk Palestin diancam dan terancam dek kejamnya spesis bernama Yahudi laknatullah. 

Semasa kecil, kita mendengar crita kisah penyembelihan beramai-ramai di kem pelarian Sabra & Shatila مذبحة صبرا وشاتيلا pada tahun 1982. Ingatkah lagi kita akan peristiwa yang menyayatkan hati ini? Walaupun pelaku zalim ialah 'Christian Phalangist', tetapi arkitek pembunuhan yang berlaku di Selatan Beirut itu ialah Zionist Israel yang bernama Ariel Sharon selaku perdana menteri Israel ketika itu. Anggaran korban nyawa sekitar 3000-3500 orang.
gambar selepas pembunuhan beramai-ramai di kem Shatila

Sejarah menggelar mereka yang menduduki negara Syria, Jordan, Lebanon dan Palestin sebagai as-Syaami yang bermaksud: orang-orang Syam. Tiada beza di antara mereka. Yang terbunuh di Gaza pada hari ini adalah saudara rapat dengan mereka yang terbunuh di Syatilla.

Kemudian pada tahun 2000, semasa aku masih lagi di bumi anbiya' Urdun, berlaku pula Intifada ke-2. Arkitek yang sama iaitu Ariel Sharon bersama dua sekutu kuatnya: Ehud Barak dan Ehud Olmert. Hasilnya; seramai lebih 6 ribu penduduk di Gaza menjadi korban bencana.
Pernah lihat gambar yang menyayat hati ini? Kenal siapa mereka?
Mereka berdua ialah as-Syahid Jamal dan Muhammad Al-Durrah

Realitinya, kita umat Islam masih belum mahu belajar dan mengambil iktibar daripada kekejaman yang berlaku ke atas saudara-saudara kita di seluruh dunia. Usah sebut kisah penyembelihan umat Islam di Bosnia dan Albania. Makin celaru jadinya. Bila reda sesuatu perang mahupun pembunuhan, reda jualah kemarahan kita. Kembalilah kita berpusu-pusu memenuhi pasaraya besar seperti Tesco. Makanlah kita hidangan yang enak-enak di restoran franchise seperti KFC, McDonald, A&W dan sebagainya. Ubat gigi pun mahu berjenama Colgate buatan Amerika. Tu belum dikira soal pakaian Nike dan sebagainya.

Adakah kita terlalu bodoh dan kemaruk? Sama-sama kita renungkan kembali apa sumbangan kita kepada dunia barat dan Islam. Yang nyata, marilah kita sama-sama menanam kesedaran dan sifat peduli sesama kita dalam menguatkan saf perjuangan. Kerana Islam tiada erti kekalahan. Yang gugur di medan juang itu Syahid. Biar mati melawan, jangan hidup ibarat haiwan.

Thursday, January 8, 2009

Palestin: Bukti negara umat Islam pengecut

Assalamualaikum..

Buat kalian, marilah kita sama-sama berdoa agar saudara-saudara kita di Semenanjung Gaza khususnya dan seluruh umat Islam di dunia amnya mendapat perlindungan dari Allah Rabbul Jalil. 

peta Semenanjung Gaza

Saban hari rakyat Palestin ditindas dan yang terbaru serangan regim syaitan Yahudi ke atas Gaza yang mengorbankan ratusan nyawa. Syahid dan syurgalah buat mereka yang terkorban. Moga Allah SWT membantu umat Islam. Celakalah kamu wahai yahudi! Tetapi lebih celaka kita umat Islam yang tidak berbuat apa-apa.

gambar ehsan
Bayangkan sekiranya ini anak-anak kita. Apa perasaan kita?

Apa tugasan kita untuk membantu mereka di Palestin? Mensabotaj ekonomi kapitalis barat melalui boikot. Ya! boikot adalah salah satunya. Walaupun ada di antara kita yang tidak bersetuju dengan cara ini, aku masih berpegang pada prinsip: 'Tak boleh banyak, sikit pun jadilah'. Cuba lihat kesan ekonomi negara Denmark, hasil menunjukkan bahawa kesan pemboikotan barangan keluaran negara tersebut, mereka telah kerugian hampir 4 billion dolar untuk tahun ini sahaja. Untuk info barangan yang perlu diboikot (kalau boleh, jangan beli langsung barangan ni sampai bila-bila), sila masuk website PPIM (Persatuan Pengguna Islam Malaysia). 

Realitinya, negera-negara Arab dan umat Islam seantero dunia hanya kaku lesu melihat nyawa-nyawa yang tercabut di bumi Palestin. Sudah jadi pengecut! Baik Wahhabi, Sunni, Syiah mahupun Hadhari, semuanya LAMBAT dan LEMBAB mengutuk dan mengambil sebarang tindakan ke atas penjajahan era moden. Mungkin kerana takutkan Amerika melebihi takutkan Allah yang menyebabkan kita berkeadaan seperti sekarang.

Apa-apa pun, doa daripada sahabat semua biarlah berterusan dan fikirkanlah apa jua cara untuk membantu saudara-audara kita yang ditimpa musibah perang di luar sana.


Monday, January 5, 2009

Tanggungjawab seorang bapa

Aassalamualaikum..

Update:

Tadi pagi anak aku memulakan sesi pengajiannya yang pertama. Sebak beb! Aku pulak yang lelebih. Sebabnya, pejam celik, pejam celik, dah masuk alam persekolahan dah anak aku yang sulung tu. Tak lama lagi, tau-tau dah nak kawin, pastu mula la sorang-sorang sahabat yang tiada. Rasa macam semalam aku dapat anak yang sulung, tau-tau hari ni dah masuk sekolah. Memang cepat masa berjalan. Umur makin pendek, amalan kurang banyak. 

Posting asal..

Semoga sihat sejahtera.

Buat mereka yang bergelar bapa, awal tahun macam ni memang pening kepala dan poket pun bocor sebab banyak perkara yang kena diselesaikan. Macam aku, baru tadi tanya yuran pendaftaran anak sulung aku si Najwa untuk masuk ke pra-sekolah. Kalau ikutkan hati, malas lagi nak hantar, tapi kalau dah tiap-tiap hari anak aku tu asyik dok galas beg mundar-mandir sambil berlakon jadi cikgu mengajar adiknya dan tanya bila nak hantar dia pi sekolah, rasa macam tak kena la pulak.

Tadi bila aku tanya tadika depan rumah aku di Pandan Indah, yuran pendaftaran saja RM535.00. Mak aih! Punya la mahai! Bulanan RM125.00. Rasa macam RM dah tiada nilai. Bila pikirkan balik, tu semua adalah pelaburan yang terbaik untuk anak aku dan aku. Takpa la. Esok kena la pi bayar yuran tu. 

Sedang aku menulis blog ni, aku terkenangkan masa arwah ayah aku yang hantar anak2nya seramai 12 orang ke sekolah. Aku ni baru tahap beginner yang hijau sangat-sangat. Belum lagi masuk peringkat sekolah rendah, menengah dan tinggi. Aduhai! Memang besar tanggungjawab seorang ayah. Antaranya, memastikan rumah selamat didiami, dapur berasap (bukan sebab terbakar, tapi sebab ada barang untuk memasak) dan pendidikan anak-anak. Patutlah arwah pak aku tak tukar kereta sampai ke mati. Habis duit gaji buat belanja dapur dan pendidikan anak-anak. Dalam pada tu pun, sempat jugak dia ada dua-tiga buah rumah dan beberapa bidang tanah. 

Kalau nak ikutkan semasa umur arwah ayah aku ketika sebaya aku la ni (aku berumur 34 tahun), dia dah ada 4 orang anak dan beberapa bidang tanah hasil duit gajinya. Kira aku ni 'under achiever' kalau aku jadikan ayah aku tu sebagai tanda aras. Muahahaahhahaha! 

Dilema bapa zaman sekarang ni, nakkan anak-anak mendapat pendidikan yang terbaik daripada institusi yang terbaik. Siapa yang taknak? Tapi, disebabkan kekangan kewangan dan juga masa, terpaksalah hantar ke sekolah yang biasa-biasa sahaja. Tambahan pula, kalau kita hantar anak-anak ke sekolah yang berprestij, lagilah mahal yurannya. Tu belum gedebuk-gedebak yuran yang lain-lain seperti baju, alatulis dan pelbagai. 

Memang seronok dan sedap buat anak. Tapi, anak-anak tu datang berpakej dengan tanggungjawab. Bab tanggungjawab ni lah yang menyebabkan umat Islam ramai tapi macam buih. Banyaknya yang tiada kualiti. Tambahan pulak, bila dikaji balik, umat Islam yang berbangsa Melayulah yang paling ramai buat tak kisah sangat dengan pendidikan anak-anak. Sebab tu ramai yang jadi minah ronggeng, mat rempit, bohsia dan bohjan serta pelbagai kebejatan sosial yang lain. 

Apa yang aku nampak di sini, selama aku buat pengamatan sebagai seorang manusia dan bekas guru sandaran, memang kurang sangat keluarga melayu yang memantau pendidikan anak-anak. Semua tanggungjawab pendidikan, diserahkan bulat-bulat kepada guru yang mengajar. Sedangkan guru-guru ni adalah pembantu. Tanggungjawab mendidik itu sebenarnya terletak dibahu ibubapa. 

Bila kita lihat sejarah tentang imam-imam dan para cendikiawan Islam, rata-rata ibubapa merekalah yang memainkan peranan besar dalam membentuk jati diri, peribadi dan shaksiah diri anak-anak mereka sehingga anak-anak itu menjadi hebat. Baik dari segi akhlaknya, ilmunya dan peribadinya. 

Oleh yang demikian, aku mengajak dan menyeru kepada semua kawan-kawan terutamanya diri aku untuk bermuhasabah diri untuk menilai sejauh mana yang telah, sedang dan akan kita laksanakan tanggungjawab besar yang terletak di atas batu jemala kita dalam mendidik anak-anak secara khususnya serta mencorak masa depan umat Islam secara amnya.

Semoga Allah SWT memberikan nikmat petunjuk dan hidayahNya buat kita. Segala yang baik, datangnya daripada Allah SWT dan segala yang tidak baik datangnya daripada kejahilan dan kedangkalan kita dalam membuat perhitungan.