Pages

Friday, August 10, 2007

Perbankan Islam Zalim Kerana Mahal?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

Saya telah menjelaskan beberapa proses mengawal selia dan mematuhi Shariah di bank-bank Islam di dalam bab yang lepas. Bagaimanapun, saya tidak menafikan masih terdapat kemungkinan bank-bank Islam diseluruh dunia ataupun jendala perbankan Islam di bank konvensional yang tidak memberi perhatian sewajarnya terhadap proses itu. Justeru itu, menjadi tanggungjawab anggota majlis pengawasan Shariah setiap bank bagi bersikap lebih tegas, proaktif dan bersungguh-sungguh terhadap operasi bank yang diselia mereka.

Masih segar di ingatan saya, pemuda mendekati saya lalu bertanya dengan soalan yang popular didengari.

" Mengapa bank Islam lebih mahal daripada yang riba? "dan saya bertanya apakah yang menyebabkan ia membuat kesimpulan seperti itu.

Lalu dengan tegas si pemuda ini menjawab: "Sebagai contoh. "katanya dengan yakin, "Ibu saya mengatakan membiayai perumahan bank Islam jauh lebih tinggi daripada perbankan konvensional, apa pandangan ustaz? "katanya sambil membulatkan matanya ke arah saya.

Saya bertanya kembali. "Bagaimana cara ibu saudara mengira sehingga dapat jumlah itu? "kata saya, "Adakah saudara tahu berapa kadar keuntungan yang dikenakan oleh bank Islam dan berapa pula, yang dikenakan oleh Konvensional?" tanya saya lagi.

Pemuda itu menjawab: "Bank Islam ini mengenakan kadar 7.60% setahun bagi tahun ke- tiga sehingga tiga puluh, manakala bank konvensional hanya mengenakan 6.75%, tambahan pula, bank Islam kena bayar RM1050 sebulan, bank konvensional hanya RM850 sahaja" katanya memberi contoh dengan yakin.

Teknik yang Tidak Disedari

Ini antara bentuk kekeliruan yang menjalar kalangan orang ramai yang ingin menggunakan perkhidmatan perbankan Islam di ketika ini.

Mereka tidak dapat memahami cara kiraan yang betul menyebabkan mereka membuat keputusan dan kesimpulan yang salah. Bayangkan, perbankan Islam hanya mengenakan 7.60% (tahun ke-3 sehingga 30 sebagai contoh), ini bermakna kadar ini tidak akan bergerak hinggalah 30 tahun itu, bukankah bank Islam menanggung risiko yang besar?

Manakala apabila dilihat kepada pinjaman perumahan oleh produk konvensional, hampir kesemuanya memukau pelanggan dengan kadar rendah di tahun pertama, tetapi bagi tahun berikutnya kadarnya tidak dapat diketahui oleh pelanggan kerana ia bergantung kepada kadar peratusan BLR (Base Lending Rate ) atau Kadar Pinjaman Asas yang tidak tetap serta dicampur dengan 0.25% sebagai contoh.

Bagaimana apabila peratusan BLR melambung tinggi seperti 10% seperti yang berlaku ketika krisis ekonomi? Bukankah ketika itu, kadar interest yang perlu dibayar oleh pelanggan juga amat tinggi. Ini tidak akan berlaku dalam pengamalan bank Islam kerana di awal kontrak lagi menetapkan harga jualannya, tanpa terikat dengan BLR dan tidak akan naik malah mungkin boleh turun sekiranya bank Islam bermurah hati memberikan rebate (ibra') apabila pihak pelanggan ingin membuat penyelesaian hutang awal ‘early settlement'. Perlu dingat BLR naik beberapa kali sepanjang tahun lepas dan tahun ini dari 6% sehingga 6.75%. Ia juga boleh melonjak lagi mengikut keadaan ekonomi.

sila fahamkan

Ini bermakna, kenyataan yang menyebut perbankan Islam mengenakan kadar yang lebih tinggi bagi dibayar oleh pelanggan adalah kenyataan yang kurang tepat dan boleh dipertikai.

Malah apabila dilihat kepada kadar membiayai yang dikenakan oleh perbankan Islam bagi produk-produk membiayai perniagaan juga membuktikan kadar adalah setara seperti ditawarkan oleh bank konvensional malah lebih murah dalam banyak keadaan. Hal ini sukar didedahkan kerana kadar membiayai syarikat berubah-ubah bergantung kepada tiga hal terpenting:

  • a) Kadar mengurus minima (cost of fund ) bank islam itu.
  • b) Prestasi dan kekuatan organisasi yang memohon pembiayaan.
  • c) Potensi and risiko perniagaan yang ingin diceburi.

Semua yang disebut di atas mempengaruhi kadar yang dikenakan kepada pemohon. Saya sedar, walaupun saya menerangkan fakta di atas terdapat orang ramai yang mula menyebut:

Zalim?

"Jadi mengapa hanya setanding dengan konvensional? Kami ingin kamu menjadi lebih murah."

"Bukankah bank Islam ini patutnya 'maqasid' (objektif Shariah) adalah membantu umat Islam, lalu kenapa mahal? " tanya pelajar sarjana IPTA kepada saya.

Ketika itu, saya memberikan ceramah khas berkenaan produk perbankan Islam di sana, turut hadir adalah ketua jabatan fakulti Shariahnya. Lalu saya melihat kepada professor itu dan bertanya.

"Professor, berapakah yuran yang dikenakan apabila saya ingin mengambil PhD dalam bidang Fiqh Islam dan Perbankan Islam."

"Lebih kurang RM13,000" katanya.

"Mengapa begitu tinggi Professor, kenapa tidak yurannya hanya RM 2000 sahaja?" tanya saya menguji.

"Mana boleh, macam mana nak bayar gaji pensyarah kalau begitu" tegas Professor tersebut.

Demikian dapat saya simpulkan hal di perbankan Islam juga, harga yang ditawarkan adalah menurut kemampuan dan keperluan pasaran. Perlu difahami Islam menjaga hak penjual dan pembeli secara adil. Bukan hanya hak pembeli sahaja yang perlu dijaga.

Adalah dikira kezaliman pada kita sebenarnya, apabila kita mengutuk kedai nasi lemak seorang islam kerana menjual nasi lemak dengan harga RM2.00, dalam keadaan kedai bukan Islam menjual pada harga yang sama ataupun lebih murah sedikit. Padahal, si Muslim menjual dengan kadar harga yang ia mampu tawarkan dan halal.

Jual 2 Kali Ganda Harga Modal Tidak Zalim?

Ada yang merungut dengan mengatakan bahawa bank-bank Islam zalim kerana harga aset yang dijualnya kepada pelanggan adalah dengan 100% keuntungan nescaya ia haram?.

Jawapan saya, tidak sama sekali, selagi ia diterima oleh harga pasaran. Buktinya adalah dari hadith Nabi SAW :-


أن النبي -صلي الله عليه وسلم- أعطاه دينارًا يشتري له به شاة، فاشتري له به شاتين، فباع إحداهما بدينار، فجاء بدينار وشاة فدعا له بالبركة في بيعه، وكان لو اشتري التراب لربح فيه


Ertinya : Sesungguhnya Nabi SAW memberi 'Urwah satu dinar untuk membeli seekor kambing, maka (atas kebijaksanaannya) dapat dibelinya dua ekor kambing, lalu dijualnya seekor dengan harga satu dinar, lalu ia dating bertemu Nabi membawa satu dinar dan seekor kambing, maka Nabi terus mendoakannya dalam jualannya, yang jika ia membeli tanah sekalipun pasti ia akan mendapat untung" ( Riwayat Al-Bukhari, no 3642 )

Hadith ini menunjukkan bagaimana sahabat membeli dua ekor kambing dengan harga satu dinar, bermakna 1/2 dinar seekor, dan kemudian menjualnya degan harga 100% keuntungan iaitu 1 dinar seekor. Transaksi ini diiktiraf oleh nabi malah dipuji dan didoakannya.

Justeru, tindakan bank-bank Islam yang menjual rumah atau asset kepada pelanggan yang dibelinya dengan harga 100 % lebih dari harga asal adalah halal selagi mana pasaran dapat menerimanya.

Kunci Memahami

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan hal ini pembaca perlu memahami fakta berikut :-

a) Bank-bank Islam adalah merupakan syarikat-syarikat berlesen dan berdaftar yang juga mensasarkan keuntungan supaya organisasi maju ke hadapan. Bagi mencapai sasaran itu, perbankan Islam menawarkan khidmat kewangan menurut Islam melalui produk-produknya yang diiktiraf Shariah. Ia bukannya badan kebajikan yang menawarkan khidmat secara percuma.

b) Bank-bank Islam juga mempunyai pelabur-pelabur yang mengharapkan pulangan yang baik hasil pelaburannya, dan ia bukannya wang subsidi yang diberi secara percuma. Saya yakin, apabila anda menjadi salah seorang daripada pemegang saham utama di bank Islam, adakah anda dengan mudah merelakan keuntungan yang diraih berkurangan semata-mata kerana ingin membantu umat Islam?. Jawabnya, ia tertakluk kepada iman pemegang saham itu. Hasilnya, apabila anda merungut ianya mahal, berusahalah supaya anda menjadi salah seorang pemegang saham dan mampu rendahkan harga bank yang anda miliki. Ini amat terpuji dan yang amat saya galakkan secara peribadi.

c) Bank-bank Islam juga mempunyai para kakitangan yang perlu di bayar gaji selaras dengan nilai pasaran. Keuntungan adalah amat penting bagi menjamin kakitangan yang berkualiti dapat dikekalkan bagi mengurus bank secara efektif dan kompetetif.

d) Bank-bank Islam juga perlu membayar kos operasi bangunannya dan peralatan-peralatannya. Justeru itu, apabila khidmat yang ditawarkan adalah percuma dan amat murah, bagaimana mungkin sebuah bank Islam mampu terus berkembang.

Selepas memahami empat fakta di atas, cuba fahami fakta berikut pula:

a) Apabila anda mengatakan, perbankan Islam sepatutnya sentiasa lebih murah berbanding konvensional kerana ia membantu orang ramai terutamanya orang Islam. Anda perlu menyedari kebajikan dan kepentingan bank juga perlu dijaga supaya mampu terus menerus membantu segenap lapisan masyarakat. Nabi tidak membenarkan kawalan harga dibuat oleh kerajaan pada masa yang tidak terdesak. Nabi juga menolak permintaan sahabat baginda untuk melakukan 'ceilin' harga di ketika pasaran tidak diserapi unsur zalim oleh peniaga. Sebagaimana respon dan jawapan nabi SAW kepada sahabat baginda :

بل الله يخفض ويرفع , وإني لأرجو أن ألقى الله وليس أحد منكم يطالبني بمظلمة في دم أو مال

Ertinya : Bahkan Allah SWT adalah yang menaik dan menurunkan harga, dan sesungguhnya akhu berharap untuk bertemu Allah dan tiada seorang pun dari kalangan kamu menuntut dariku akibat sebarang kezaliman ( yang aku lakukan) samada berkaitan darah atau harta" ( Riwayat Abu Daud ; hlm 385 ; Al-Bayhaqi, 6/29 ; Sohih menurut Albani)

Ia adalah kerana Nabi tidak mahu menghadkan hak peniaga bagi mendapat keuntungan. Justeru itu, selagi mana ruang keuntungan masih berada di paras pasaran adalah dibenarkan. [1]

b) Apabila anda mengatakan, perbankan Islam sepatutnya membantu orang-orang yang susah dan bukan semakin menyukarkan mereka. Maka anda perlu memahami apabila bank Islam itu memperolehi keuntungan, ia akan mengeluarkan zakat bagi asnaf (kumpulan) yang layak menurut Shariah. Malah selain itu, bank-bank Islam juga mempunyai peruntukan sumbangan kebajikan yang diberikan menurut keadaan. Bukankah itu juga membantu individu yang susah dan memerlukan.

Ini jelas, kerana orang yang benar-benar susah tidak akan mampu mendekati bank dan mengajukan permohonan. Maka sesiapa yang diluluskan permohonannya oleh bank-bank Islam sebenarnya adalah orang yang agak senang. Justeru itu, bukankah amat baik apabila zakat yang dikeluarkan oleh bank disalurkan kepada orang yang benar-benar susah berbanding yang sederhana susah. Kita perlu mengetahui jumlah peruntukan zakat yang sediakan oleh bank-bank Islam dan jendela "windows" perbankan Islam bagi tahun kewangan 2005 sebagai contoh adalah seperti berikut: RHB ISLAMIC Bank: RM920 ribu, HSBC Amanah: RM49 ribu, Maybank "Islamic windows": RM1.172 juta ; Public Bank "Islamic windows": RM55 ribu, Hong Leong Islamic: RM45 ribu. Merujuk kepada laporan setiap bank berkenaan bagi tahun kewangan 2005. Bukankah ini benar-benar membantu orang yang susah sebagaimana yang diinginkan?

c) Keuntungan baik yang diperolehi bank-bank Islam juga membolehkan bank ini meluaskan lagi jangkauan operasinya, selain memantapkan lagi keuntungan akan datangnya. Ia adalah amat baik kerana bakal menghasilkan lebih banyak peluang kerjaya baru bagi individu Muslim di perbankan konvensional yang ingin berhijrah ke perbankan Islam, ia juga mewujudkan banyak peluang pekerjaan buat rakyat sekaligus membantu mereka. Malangnya, ramai yang suka menyempitkan fikiran mereka dengan hanya melihat kepada kadar-kadar membiayai sahaja.

d) Adakah anda menyedari? Apabila bank mendapat keuntungan yang baik, maka ia juga menghasilkan kadar pulangan yang tinggi bagi penyimpan-penyimpan di akaun Islam sebagai contoh Akaun Mudharabah. Individu yang menyimpan akan mendapat pulangan yang lebih besar. Demikian juga penyimpan yang menyimpan dalam Akaun Simpanan Wadiah. Mereka juga berpeluang mendapat pulangan ‘hibah' yang menarik. Ia juga satu lagi bentuk bantuan tetapi tidak disedari oleh orang yang merungut ini.

Adakah fakta ini mencukupi? Saya akan memberi jawapan memahamkan rakyat Malaysia.

1) Nilai yang halal adalah tidak ternilai.

Seorang usahawan Malaysia memberitahu saya pengalamannya di London, harga ayam yang disembelih jauh lebih mahal daripada ayam yang tidak disembelih. Bagaimanapun, umat Islam tetap terpaksa membeli ayam yang mahal tadi demi memastikan makanannya halal walaupun ia lebih mahal.

Bagaimana apabila individu mengatakan produk bank Islam lebih mahal. Majlis Penasihat Shariah masing-masing mengesahkan produk yang halal berbanding produk-produk yang tidak disahkan Shariah.

Fenomena yang agak ganjil berlaku hari ini adalah orang Islam mengambil berat makanan yang dicampur dengan ayam tidak sembelih dan sebagainya, tetapi sering melupakan riba diharamkan. Ia adalah jauh lebih berat daripada memakan ayam bangkai ataupun khinzir.

Allah SWT berfirman :-

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا

Ertinya : Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi saleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan" ( Al-Kahfi : 46 )

Ayat surah Kahfi menurut Syeikh Ibn Asyur mengingattkan kita betapa perlunya kita menyedari amal soleh dan keberkatan adalah lebih perlu diutamakan dari harta banyak tanpa halal. Jadi dalam konteks ini, walaupun anda mendapat harga rendah di bank konvensional. ia bukanlah amal soleh kerana ia adalah Riba yang haram.

Malangnya umat Islam, bila bercerita berkenaan perbankan Islam yang halal, yang paling disibukkan adalah kadarnya yang lebih mahal dari konvensional kononnya. Tidak terlihat langsung elemen HALAL dan HARAM dalam mindanya. Padahal, menggagahkan diri menggunakan perbankan Islam walaupun sedikit lebih mahal merupakan satu amal soleh yang amat terpuji dan itulah yang dilihat oleh Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat di atas.

Ini lah bukti, umat Islam sudah semakin hilang sensitiviti kepada alam barzakh dan akhiratnya. Padahal, tiada yang lebih zalim dari bank yang menyediakan perkhidmatan haram Riba, semurah manapun mereka. Kerana ia tetapi haram dan amat zalim menurut hak Allah SWT.

2) Kos tambahan bagi khidmat profesional pengesahan Shariah.

Apabila dilihat daripada perspektif perniagaan dan logik pula. Pengesahan Shariah amat diperlukan dalam semua produk, aktiviti pelaburan dan pembiayaan bank Islam. Justeru itu, keadaan ini dianggap sebagai satu proses menambah piawaian profesional yang pastinya memerlukan kos masa, tenaga dan kepakaran tambahan. Keadaan ini sekali lagi menyebabkan semua produk yang ditawarkan bank Islam adalah unik, istimewa dan melalui proses ‘Shariah Screening', yang lebih unik dan berkualti mempunyai nilai pasaran yang sedikit berbeza.

3) Bank-bank Islam adalah pemain-pemain kecil yang sedang meningkat naik.

Ini ternyata daripada statistik yang dikeluarkan oleh Laporan bank Negara Malaysia Tahun 2005 melaporkan aset semua bank-bank Islam dan jendela perbankan Islam di Malaysia sebanyak RM111.8 billion dan ia hanya merupakan 11.6% daripada keseluruhan aset bank di Malaysia. Ini bermakna, bank konvensional masih menguasai industri perbankan dengan cukup jauh sekali. Bagaimanapun, kita bersyukur kerana prestasi perbankan Islam mencatatkan pertumbuhan sebanyak 17.7% berbanding tahun 2004.

Jumlah Keseluruhan Asset Bank di Malaysia Menurut Ranking Pada 30 Jun 06

Maybank : RM 224 Billion

CIMB Group : RM 154 Billion

Public Bank : RM 135 Billion

RHB Capital : RM 96 Billion

AMMB Holdings : RM 72 Billion

Hong Leong : RM 61 Billion

EON Capital : RM 38 Billion

Affin Holdings : RM 35 Billion

Bank Islam Malaysia Berhad : RM 18 Billion

Sumber : NST, 26 Nov 06

Maka, sebagai pemain-pemain kecil yang sedang naik, kadangkala harga yang ditawarkan mungkin lebih tinggi sedikit berbanding pemain-pemain besar. Ia dianggap seperti harga barangan yang ditawarkan di kedai runcit dibandingkan dengan harga di hypermarket.

Individu memahami bank konvensional yang mempunyai aset besar sekitar RM150 billion (sebagai contoh), apabila ia menghadapi hutang tidak berbayar (non performing loan) daripada peminjamnya berjumlah RM150 juta, kedudukan bank itu masih tidak tergugat. Bagaimanapun, sekiranya bank Islam dengan asetnya berjumlah RM8 billion (seperti RHB Islamic Bank pada tahun 2006), apabila ia mempunyai jumlah nilai hutang tidak berbayar dalam jumlah yang sama (RM150 juta), sudah tentu ia akan memberikan kesan yang besar kepada jangka hayat bank Islam itu.

Kesimpulannya, bank-bank Islam serta kaunter / jendela "windows" Islam hari ini perlu diberi lebih sokongan oleh semua rakyat demi memampukan ia mencapai tahap yang di gariskan kerajaan (iaitu 20% aset perbankan Islam berbanding konvensional), malah mengatasinya. Apabila hari ini kita sanggup berkorban sedikit demi memajukan bank-bank Islam, nescaya sudah pasti generasi akan datang mampu melihat dan menikmati kadar yang sangat hebat serta halal daripada institusi kewangan Islam dan produk-produk Islam.

Saya secara peribadi juga amat mengharapkan agar kadar pembiayaan yang dikenakan oleh Bank-bank islam boleh lebih murah dari sekarang, bagaimanapun saya tidak dapat menyembunyikan syukur saya, kewujudan mereka ini pun adalah satu nilai yang besar buat umat Islam kerana dengannya dapat kita mengelakkan pembelian rumah dan lain-lain dari terjebak dengan Riba.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

Tulisan asal disiarkan pada 2006

Diedit pada 25 Julai 2007

15 comments:

  1. Sapa setuju dengan artikel ust zaharudin tuh? aku mulanya kurang setuju.. tapi bila dok pikiaq.. rasa macam setuju pun ya. Berbelah bahagi lagi nih.

    Bab-bab agama, halal dan suci, semuanya kalau boleh nak free. Duit nak hantar anak pi mengaji agama berkira sangat. Tapi bila bab nak hantar pi tuisyen matematik sama sains dan bahasa inggeris, semua pakat2 tak kisah. Sanggup bayar lebih.

    the forsaken

    ReplyDelete
  2. Aku secara peribadi bersetuju dgn apa yg ditulis oleh Ust Zaharudin. Agama islam mmg telah lama bertapak di M’sia tetapi pelaksanaan hukum-hakam nya terutama dr segi perbankan hanya dlm 20 th kebelakangan ini shj (if I’m not mistaken) & mmg masih ada lg kelemahan namun jika dilihat 10 yrs back dah byk pencapaian yg telah di capai oleh system perbankan islam di negara ini. utk melaksanakan sesuatu perkara itu bukan lah semudah yg disangka.

    Terima kasih kpd En Juman yg bersusah2 menyediakan keratan text tulisan Ust tersbt, sekurang2 nya jika di tembak oleh REBEL WITHOUT CAUSED ni adala jugak modal nak menjawab, paling tidak bg jer kutu tu baca.

    Thanks again BRO
    Che Mat

    ReplyDelete
  3. huish... tak susah mananya buat mende keratan tu ha. Just copy n paste je. ni dah mula nak masuk topik2 yang agak heavy. So, kalau komen agak suram.. bermakna orang tak baca. Kalau komennya banyak, boleh aku poskan pulak benda2 yang kita leh kongsi bersama..

    Cumi&Ciki kipas susah mati

    ReplyDelete
  4. Tau.. saje je puji lelebih maklum ler keje peri.. kalu tak puji kang cam langsung tak nyumbang heh heh heh

    Big Bird

    ReplyDelete
  5. Ada betulnya apa yg Us. Zaharuddin tu cakap. Cakap tu satu, kita ni nak kena buat, kemahiran tu kena ada, Alhamdulillah negara kita ni a blessed country. Boleh je buat dan ada kemahiran. Pak Arab yg dah lama faham al-Quran tu pun slow berbanding kita. So we got something to be proud of. Tapi kena diingatkan kalao benda2 ni over commercialised, itu dah lain jadinya. Maksudnya, kalo niat buat benda tu tak baik (asyik mikirkan duit dan dunia je manjang) bukan sbb nak laksanakan perintah Allah, lain le pulak jadinya.

    Satu lagi, Islam di Malaysia ni takde le teruk sgt, ada le juga usaha kita. Cuma aku pelik gak ada puak-puak tertentu yang asyik bercakap, mengata, hentam sana sini... tak membawa ke mana-mana... dapat dosa ada le kot.

    Satu lagi puak dia rasa apa dia buat dah betul, jadi over superior pulak, padahal byk gak silap, pastu ditegur pulak dengan uslub yg tak betul, terus le gaduh dua-dua puak ni... orang lain dok sibuk mengaut apa yg ada, dua puak ni dok la gaduh sana sini... risau gak aku.

    Apapun, payah bila pegang kuasa ni... tak byk sikit mesti menyimpang jugak... maklum le kita bukannya malaikat... agree? Fikir-fikirkan heheh.. Later.

    ReplyDelete
  6. akom sahabat..
    tima kasih man hang siar artikel ni n aku setuju ngan ust zaharuddin tu sbb dia mmg ahli dalam bab perbankan islam ni...so kengkawan semua yang masih saving or deal ngan bank konvensional makan riba ni kena jihad la pindah ke bank islam...aku dengar citer bank islam la ni pun jenuh gak nak survive sdgkan orang islam ramai kat sini...sapa lagi nak tolong bank islam kalau bukan kita...tak kan nak harap sami veloo n li cong kuat kotttt.aku alhamdulillah so far komited ngan bank islam n aku harap kengkawan yang lain pun cam aku gak heheheheee.

    abuateif

    ReplyDelete
  7. Perihal bank islam tak sehebat bank-bank konvensional lain bukanlah perkara baru. Sejak mula beroperasi pada 1 Julai 1983 (*sila rujuk www.bankislam.com.my untuk maklumat lanjut), bank Islam pada hari ini masih lagi terkial-kial (walaupun sudah ada penambahbaikan dalam pengurusan dan perbankan) berbanding bank-bank lain.

    Sememangnya kemelut dan permasalahan yang timbul bukannya sedikit, tetapi banyak perkara yng membantutkan tumbesar dan kelancaran operasi bank Islam dan perbankan Islam yang lain.

    Apa yang aku nak sentuh di sini ialah mengenai sikap kerajaan yang sedia ada dalam situasi ni. Persoalan yang timbul: "Kenapa kakitangan kerajaan tidak digalakkan membuka akaun di bank-bank Islam untuk pembayaran gaji dsbgnya, tetapi lebih tertumpu kepada bank-bank konvesional? Kenapa dana-dana kerajaan yang sebegitu banyak tidak disimpan di dalam bank-bank Islam tetapi lebih kepada bank-bank konvensional? Sebagai sebuah kerajaan yang diberi nama 'kerajaan Islam Hadhari', sepatutnya urusan kewangan melalui bank-bank Islam. Ini untuk memperkasakan institusi-institusi tersebut. Sekadar menyediakan tetapi tidak menggunakan, adalah satu perbuatan yang bukan sahaja tidak lengkap, malah tidak bertanggungjawab. Berapa kerat dan berapa banyakkah duit rakyat marhein yang punyai kesedaran berbanding dana-dana kerajaan dan separuh kerajaan untuk menyimpan di dalam sistem perbankan Islam?

    Sekadar bertanya...

    Perihal Islam di Malaysia. Aku berpendapat bahawa tahap pemahaman (bukan penghayatan) dalam hal-hal keagamaan Islam teramat teruk. Kes murtad makin banyak, cuma government tak mau perbesarkan isu ni. Apa yang dikatakan oleh mufti besar Perak tempoh hari (lebih 100,000 orang buat permohonan untuk keluar agama Islam) adalah benar dan tiada sedikit pun pembohongan yang berlaku. Ini disokong oleh mufti N9.

    Apa yang berlaku di N9 sekarang, sudah ada borang permohonan untuk keluar agama (hasil daripada tekanan oleh NGO-NGO yang menyokong hak kebebasan beragama spt SIS). Sedangkan kita ini negara 'Islam Hadhari'. Di manakah peranan JAKIM dalam hal ini? Kita ada IKIM, YADIM dsbgnya. Ke mana dan apakah fungsi yang dimainkan oleh kaki dan tangan jabatan dan kementerian yang berwajib dalam menangani isu ni?

    Soalan: Adakah sekadar mencipta peluang pekerjaan buat lepasan agama? Atau bertujuan memantau pembangkang (heheheheh...)?

    Sekadar bertanya...

    Si Pitung dari Gua Niah.

    ReplyDelete
  8. Betul, diakui dana-dana kerajaan patut disimpan di Bank Islam, itu satu idea yang bagus dan kalau aku ada peluang nak cakap benda ni dalam forum tertentu aku akan suarakan...

    Persoalan murtad, betul ia tidak diperbesarkan. Bukan setakat mohon murtad, yang tak mohon murtad tu pun rasanya banyak juga, bak kata org kampung murtad gitu-gitu hair aje. Itu belum kira bab fasiq dan yang lain-lain seumpamanya... Bab mohon ngan tak mohon ni bukan apa, itu official je. Kita dalam hidup beragama ni mana ada official mana ada tak official. Kalau Islam itu Deen and the way of life, tak boleh buat segregation mcm tu, nanti nampak mcm Kristian la pulak...

    Aku tak nak le tulis kat sini sebab apa benda tu jadi lagu tu, maksud aku pasal apa benda tu tak diperbesarkan...

    Dalam organisasi ni... hmmm ada hierarchy dan flow of tanggungjawab. Apa le agaknya jadi kalau yang di bawah tu bertanggungjawab dan buat apa yang patut, dan kat 'atas' tu tak ambil kisah kalau report / paper yang dibuat tu letak situ berlapuk atau masuk tong sampah agak? Dan kalau yang di atas tu bertanggungjawab tapi hanya sempat bercakap je pasal tu tapi yang kat bawah tu buat tak tau je pi mai pi mai kat pejabat tang tu jugak... so akhirnya apa yg patut dibuat dan apa yg tak patut dibuat tu tak berlaku... so situasi jadi dok tang tu jugak le... or might be getting worse... JAKIM? IKIM? YADIM? Semua tu berorganisasi mcm aku cakap kat atas tadi kan? So you can think of the picture now... Itu le dilema nya... suruh buat minit mesyuarat pun tak siap2 dlm masa 10 hari... what can u expect then? Take things so lightly?

    Dalam hal mantau pembangkang atau idak ni, aku tak rasa bab agama ni kena ada pembangkang atau tidak... semua orang kena bekerjasama... Kau dapat tgk tak imam bilal dan siak pun jadi org elit kat kawasan masing2? Kau boleh tgk kat gereja 'imam2' dia tu bila 'makmum2' nak balik dr gereja tu dia dok tunggu kat pintu dgn muka manis dok peluk mcm2 dan suruh si 'makmum2' tu jangan lupa datang lagi... kita biasa tgk kat resit hypermarket je kat bwh bil tu last sekali dia tulis terima kasih, sila datang lagi je heheheh. Ini takde, imam2 kita jadi elit dlm masyarakat, tak tgk apa berlaku, begitu le juga pemimpin lain2 nya, start dr ketua kampung sampai le ke peringkat persekutuan... mana ada orang nak buat kerja demi agama dan masyarakatnya...? Tada duit kalu tada cerita...

    Aku pernah kena ngan satu surau ni... sorang mamat ni (jemaah tetap) dok tanya aku kerja mana gitu gini... aku cakap kat gitu gini... so lastnya dia tanya aku "OoOo kalo mcm tu ni ustaz le ye?" Aku jawab "lebih kurang le..." sbb bagi aku itu semua title je takde mendernya... "So lepas ni boleh le kita suruh ceramah?" katanya... AKu jawab "Saya ceramah ni tak berapa pandai le..." (sebenarnya aku tak suka bercakap). Pastu katanya "Dah kalau tak boleh beri ceramah, boleh bagi apa? Boleh bagi dit? Berapa banyak boleh kasi? 50?".. Aku sengih je le tapi dalam hati aku "WTF %$#!#%$#%$$@%$#)(*(*!! mcm ni punya manusia pun ada...!" So korang boleh bayang perasaan aku yg baru nak jinak2 pi jemaah join masyarakat kena mcm tu... So itu le bezanya org agama kita ngan agama lain... walaupun tak semua, tapi kadang2 yang satu tu le yang amat menjejaskan... tu belum lagi bab bersalam lepas solat tu... biasa lepas abis doa tu beratur ramai2 salam... kau perasan tak berapa ramai yang pandang muka org yg disalam tu, lemparkan senyuman, nampak keikhlasan dan persaudaraan Islam bila bersalam tu... simple but it affects...

    Ok, aku suka bercakap pasal hal ehwal tanggungjawab dalam agama... ni dalam keluarga... masyarakat tak terbentuk kalo takde keluarga... keluarga tak terbentuk kalo tak ada individu... ok kita start dr individu... individu ni dididik oleh keluarga (guru tu makan gaji dia buat apa yg patut je, kalau kena gayanya, berkat, jadi org le budak tu). Tapi bab keluarga... (aku belum ada anak takleh cerita byk... tapi cuba kau perati keliling... ebrapa ramai budak2 ni, start dr kecik yg disiplinnya bagus... bila makannya tak melompat2... betul kita faham dia budak2 tapi bila lagi nak mula kalo tak mula dr kecik? Apa guna org tua kata lentur buluh biar dr rebung? Itu baru bab makan, aku cukup menyampah bila aku masuk restoran yg bayar mahal sikit (tak le mahal sekali bayo beratus tu.. ala2 pizza je le) kau nak makan dengan tenang tetiba ada budak2 lompat2 jerit2 naik atas meja lagi tak reti nak hormat (atau malu) ngan org lain... satu soalan je aku tanya "apa nama bapak dia tak ajar ke anak dia mcm mana nak behave?" Betul dia budak2, tapi bila lagi kita nak didik dia? Itu baru bab makan, belum masuk bab lain lagi... so can u imagine? So we take things lightly... ah nevermind he/she is just a small kid, he/she will know how to behave later when grown up... hell no! It's not going to happen bila sikap dan perangai tu dah lama mcm tu... ketega' dah...

    Dalam gereja kalo kita tgk dlm tv tu kan, lelaki pompuan tua muda kecik besor semua well behave dok atas kerusi yg bersusun tu sambil dgr 'imam' dia dok 'khutbah' kat depan tu... tp dlm masjid kita esp bila season solat tarawih... kita kat depan jenuh le cuba nak khusyuk (maklum le bulan posa ni sebulan bila sibuk tu bukan selalu dpt pi terawih byk sgt urusan dunianya, sambil menahan dan adjust perut yg dok kenyang bukak posa tu heheh)... kita perasan tak bebudak kat belakang tu melompat menjerit dll yg sewaktu dgnnya, sudah tentu yg terlintas kat kepala kita "apa budak ini mak bapaknya tak ajar mcm mana nak behave dlm masjid?" Kalo tak diajar, bila lagi? Dah besar toben pi jumaat pun (tak le jerit2 lompat) tapi dok sembang dan merayap kat gerai2 tepi masjid tu lagi sambil tgk org dok jaja ubat kuat dll... tanpa rasa bersalah... tu belum masuk bab bersembang dan tido masa imam baca khutbah... So akhirnya aku ada jumpa masjid yg tulis "Kanak-kanak bawah 10 tahun dilarang masuk"... tak percaya? Ada... Bukan salah budak2 tu nak jerit2 lompat2, dah itu je yg dia tahu... main dan seronok... tapi salah kita le tak ajar... apa benda mcm tu pun takkan nak harap kerajaan jugak... tak semua benda kerajaan kena atau boleh buat... benda yg ada pun tak terbuat wehh... it begins at home...

    Satu lagi kan... kita selalu jugak tgk org2 agama kita ni selalu bertekak sana bertekak sini... kadang2 dlm paper pun bertekak yg ini kata begini yg itu kata begitu... itu belum masuk bab imam sama imam kat kampung sebelah menyebelah bertekak... belum masuk ustaz2 dan cerdik pandai agama ni yg berbalah sesama sendiri... dalam hal ehwal agamanya... Aku guna perkataan bertekak dan berbalah tu bukan apa, sbb akhirnya aku tak nampak apa manfaat berbalah dan bertekak tu pada pengikut mereka (melainkan berpecah sesama sendiri) apatah lagi umat Islam tu sendiri. Ok, benda tu bagi aku kadang2 bukan sbb apa, cuma nak kata yg dia lebih berilmu dr org lain, apa master phd degree, apa nama whatever you name it...dan yg lain tu pulak nak kata mcm tu juga kat dia... dah kalo ye pun nak betulkan keadaan yg tak betul org agama ni pun tau ayat Surah al-Nahl: 125. Kenapa tak hayati dan amalkan? Tapi itu tak berlaku, jadi bergaduh ada le...

    Ish... panjang lak aku menulis... bukan apa, lepaskan perasaan pun ada... Akhir kata yang muda disayangi yang tua dikasihi... (sambil angkat tgn mcm Karam Singh Walia) hehehe ok Later.

    ReplyDelete
  9. Aku lupa nak tulis... ada org cakap kat aku benda ni... dia mcm bertanya pun ada...

    Ada dua kumpulan org yg dlm ICnya Islam:

    1) Maksiat sana maksiat sini disko minum rasuah kong kek kuat etc etc tapi dia sendiri2 je takde guna well organised group atau sewaktu dengannya, tapi nampaknya gayanya hidup tu mcm menghalalkan yg haram; dan

    2) Ada satu kumpulan guna nama agamanya tu dia halalkan kong kek kuat dlm group dia itu ini begitu begini yg haram yg haram jd halal... to the extent ada yg ngaku nabi.

    Yg ke 2 tu kita kenal sgt le kan, kita panggil kumpulan ajaran sesat... yg no. 1 tu kita nak kelaskan dlm apa eh 'aasi? fasiq? Tapi matlamat dia yg aku nampak menghalalkan yg haram (duit, pompuan dan kadang2 pengaruh atau kuasa)... bila masuk bab halalkan yg haram ni hmmm aku rasa berkait dgn akidah jugak kan? Komen sikit wahhh...

    Later.

    ReplyDelete
  10. teruja!!! sangat teruja!! ni lah yang dikatakan time sharing yang terhebat!! aku suka hujah dan pendapat ko mr mi. dan setuju banget pendidikan bermula di rumah yang berikan oleh ibubapa kepada anak2nya sedari kecil lagi. No matter how small he/she is. That's the best part of your writing.

    From now on, i'll educate my child to behave and act properly and with full of manners. Hehehehe..

    Pasai tok imam dan orang agama dok bertelagah banyaknya isu furu'. Seperti membaca talqin, doa qunut dsbgnya. Ok, bila nak didik anak2 kena ada ilmu. Ilmu tak datang secara percuma. Islam tersebar kepada nenek moyang kita dengan darah para mujahid dan kesungguhan salafus soleh.

    Persoalan; bagaimana untuk mendidik anak tanpa ilmu? Bila mak bapak sendiri tiada inisiatif untuk menimba ilmu agama di surau, masjid, CD, VCD, tape dan kuliah di tv, maka jalan mengiringlah mereka sekeluarga ibaratnya sang ketam.

    Ok, aku berpendapat bila mana Islam tidak terlaksana sepenuhnya sama ada di dalam perundangan negara mahupun kehidupan seharian kita, maka inilah hasilnya. Yang mana, kefahaman tentang agama sendiri tidak mendalam, tok imam yang terlantik tidak cukup ilmu (bukan tadak ilmu), ahli-ahli agama lebih suka membuat kenyataan kontroversi (mungkin untuk publisiti murahan) di dada akhbar berbanding mencari titik temu perselisihan pendapat di dalam majlis tertutup. Maka, bertambah sesak dan senaklah fikiran masyarakat umum yang peringkat kefahaman mereka tentang agama sangat cetek.

    Nabi SAW pun dah pesan, bila akhir zaman ni, ramailah orang Islam yang paginya Muslim, tengaharinya kafir, malam jadi Muslim semula. So, memang terbuktilah dan sadaqa Rasulullah SAW. Ramai yang ahli surau dan masjid cetek ilmu agamanya. Jangan lah pulak kita beranggapan bahawa mereka yang pergi ke surau dan masjid itu alim dan wara' orangnya. Cumanya, kita boleh naik saksi bahawa mereka yang menjadi ahli surau dan masjid itu adalah Muslim/Muslimah.

    Ni pengalaman arwah bapak aku yang pernah terserempak dengan tok imam keluar kedai ekor sambil tepuk dahi sebab ekor tak kena. Yang kena taik sahaja. Lepas kejadian tu, bapak aku tak pernah pergi solat di masjid yang dia jadi imam. Bapak aku pernah bertekak (sebab tegur tak makan) dengan dia. La ni, dua-dua dah arwah. Tok-tok imam yang sedia ada bukannya hebat sangat, tapi tidaklah kesemuanya tidak hebat. Hampir kebanyakannya tidak hebat dari segi ilmu agama. tu yang jadi celaru.

    Berbanding dengan gereja. Mereka yang pergi ke gereja hanyalah mereka yang ambil berat perihal agama mereka. Kita mungkin melihat keindahan luaran gereja. Tapi, siapa tahu tentang politik yang berlaku di dalamnya? Begitulah juga pandangan masyarakat kafir di luar sana yang memandang institusi masjid dan surau sebagai satu tempat yang tidak dicemari oleh tangan2 durjana.

    Berkenaan JAKIM etc, aku berpendapat semua perkara bermula dari yang di atas, sebab kalau tiada tindakan yang di ambil oleh mereka yang berkuasa, maka yang di bawah akan buat 'dirt' ja. Kalau arahan tak dilaksanakan, yang atas patut menjatuhkan hukuman yang setimpal. Mungki, hanya mungkin segala yang berlaku adalah kerana yang di atas tidak menjalankan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin.

    Joe Dirt

    ReplyDelete
  11. Yep betul.

    Aku ada kenal sorang ustaz ni, dia bukan ustaz official le, dia ni jd sumber inspirasi aku merangkap tok guru aku le juga sbb aku byk merujuk pd dia. Alhamdulillah dia anggap aku ni mcm adik dia so dia ambil berat pasal aku suami isteri. Tok guru dia adalah anak murid almarhum Tok Kenali, Kelantan. Aku tulis di sini apa pesanan dia selalu pada aku, biasanya dia pakai SMS (moden gak org tua ni heheh), kadang2 tgh mlm, kadang2 bila tak tidur kul 3 - 4 pagi antar SMS,(aku tau mesti dia tahajjud / baca Quran le tu) bagus kejutkan aku heheh... ok pesanan dia: Banyakkan membaca al-Quran, amalkan isi kandungannya dalam kehidupan dan solat sunat di malam hari, rinduilah Allah dan RasulNya, utamakan negara dan masyarakat dari diri sendiri.

    Apa yg dia tulis tu perlu kupasan yg lanjut, tp kita yg ada asas ni boleh faham. Dia suruh aku cari 'cahaya' itu... aku ni jenis huru hara jugak tu sbb hati tu gelap tak dpt 'cahaya' tu... cahaya hidayah... bila ada cahaya tu, semua urusan dunia jd mudah... ye le kalo kita tgk tok-tok guru zaman dulu mana ada pecah2 kepala mikir pasal kerja siang malam, tp hidup tenang je... depa tak caripun dunia2 ni semua, dunia yg cari depa... itu pun depa boleh lak kadang2 ada option nak reject dunia tu kalo depa rasa tak perlu (contoh: tersangat mampu beli mercedes ke apa ke tp tak beli). Dlm explanation dia pada aku, dia suruh faham betul2 ayat seribu dinar tu, jgn dok gantung kat dinding dan baca sambil faham gitu2 je... kena amalkan... mmg le aku ni lemah tp ye le kalo tak mula, bila lagi nak mula... umur baru 32 tp aku rasa kadang2 dah tua je...

    So itu le bendanya ubat kepada semua penyakit yg ada dlm dunia ni, katanya... Wallahu a'lam. Manusia sudah tidka takutkan Tuhannya, takutkan undang2 dan manusia shj.

    K lah later.

    ReplyDelete
  12. akom sahabat...
    masa belajar dulu aku teringat kata seorang prof tu n aku thiqah ngan dia "jangan dok tunggu pemimpin nak laksanakan islam kat negara kita!yang pentingnya kita sendiri yang laksanakan islam dalam rumah kita n masyarakat sekeliling kalau mampu"...cam bank islam gak la...jangan dok hairan n pening2 kapla mengapa jabatan2 kerajaan tak deal ngan bank islam n masih setia berkarat ngan bank2 ribawi...yang penting diri kita n family wajib tinggalkan bank yang mengamalkan riba n komited ngan bank islam...sapa lagi nak tolong bank islam kalau bukan kita yang bernama islam...sedih aku bila mengenangkan nasib orang melayu n islam kat negara kita ni...

    abuateif

    ReplyDelete
  13. sememenangnya bukan kuasa kita untuk mengubah segala yang ada. Allah jua sebaik-sebaik pelaksana dan perubah.

    Aku berpendapat, tanggungjawab kita jatuh wajib gunakan perbankan islam. Dan sudah sampai masanya untuk kita tekan government yang sedia ada melalui perbincangan, penulisan dan sbgnya untuk turut serta menggunakan perbankan islam.

    Bila ada tekanan, maka kerajaan yang sedia ada akan 'take note' dan harapan kita, ada juga tindakan susulan. Seperti mana aku nukilkan dalam komen aku yang sebelumnya, hasil daripada tekanan SIS dan ngo2 lain yang minta dibolehkan murtad. Nah! Hasilnya, sudah ada borang untuk murtad ni N9. Oleh yang demikian, bukanlah suatu usaha yang sia-sia untuk kita berbincang dan melontarkan komen perihal sistem perbankan islam di sini. Mungkin hasil daripada komen yang sedia ada ini, boleh dipanjangkan kepada pihak yang berwajib untuk tindakan seterusnya. Mana tahu, kuasa Allah jua yang menentu segalanya.

    Ayat 1K dinar tu ramai manusia pada hari ini yang salah anggap. Digantung atas dasar memberi rezeki. Boleh lari aqidah pada aku. Ramai yang tak reti baca, tapi sebab dok terima banyak info "gantung ayat 1K, rezeki murah", mka berbondong-bondong umat Islam yang tidak mengerti pakat-pakat gantung sama. Hasilnya, tinggal sahaja menjadi hiasan dinding. Penarik rezeki (kononnya).

    Nasihat aku pada mereka yang duduk di dalam sistem (penjawat awam), berusahalah untuk naik dan jadi orang atasan, supaya kalian dapat membawa pembaharuan. Nasihat aku buat diri dan teman2 yang berada di luar sistem, kita pakat-pakat 'support' kawan2 yang mahukan perubahan... InsyaAllah..!

    ReplyDelete
  14. Berusaha untuk naik? Heheh... org yg dok cakap benda2 Islam ni le lambat naik, sbb depa bukan kaki bodek, kalo salah dikatakan salah, tak boleh kata betul, kalo nak Allah kena kata salah, kalo nak pangkat, kena kata betul... itu le amalannya...

    Ok I'm done talking. Later.

    ReplyDelete
  15. Aku dengan rasa rendah dirinya mengucapkan ribuan terima kasih atas input2 & juga tulisan2 yg segar & menyedarkan. Aku ni insan kerdil kadang2 benda2 yg mmg dh tau pon terlepas pandang jugak, mujur ada teman2 yg mengingatkan.

    Mulai hari hari ini aku akan berusaha utk berkempen dgn rakan taulan/saudara mara/famili aku utk menggunakan produk perbankan islam w/pon sudah tentu ada yg menentang, tp takpe sekurang2nyer i've done my part

    Berkenaan dgn anak2 yg nakal nih kadang2 kita diuji oleh tuhan dgn anak2 yg hyperaktif, so kalu dh tahap naik atas meja lompat tuh comfirm la anak2 yg hyperaktif. Aku sendiri pernah berhadapan dgn bdk cam ni anak abang aku sendiri, ni tahap cabut kepala anak ayam punya, abg wa ni kira yg tergarang dlm famili la pon tak leh mkn ngan anak dia. Tapi bila dh besar ni alhamdulillah nampak pemalu lak jadi nyer.. so dlm hal ni bg aku doa lah yg menjadi senjata utama nya sbb tuhan dah kabo doa jer insyallah akan ditunaikan cuma cepat dgn lambat jer.

    Mengenai galakan dr En Marn agar teman2 semua cepat2 naik pangkat tu heh heh heh STILL doa lah jwbnyer setelah berusaha & tawakkal kalu di Jab. Krjn camtu hal nyer dgn swasta lainle pulok.. kami ada Key Performance Index (KPI) yg perlu ditetapkan kemudian diukur pencapaiannya.. Maka berbondong2lah yg akan mengaku buat itu & ini yg justified2 itu & ini wal hal lepak control cun jer... Bila diajukan komplen.. kita dinasihatkan JGN menyibuk tentang org punya kerja, just take care of yours.. Kadang2 wa slalu berangan ada boardroom cam crita apprentice tu best gak bleh argue secara professional tp X dapek lah.. Its Okey to me sbb rezki tu bukan semestinya dgn wang ringgit & pangkat, rezki hadir dalam pelbagai cara, kawan2 yg ramai juga to me is rezki, sbb ada yg org tak suka dgn seseorg because of bad attitude tu kira xde rezki la tuh, anak juga rezki WAIMA kesihatan juga rezki.. tu yg paling aku bersyukur dimana kadang2 bila tgk member yg sebaya mcm2 penyakit dh hinggap, aku ada member yg DR dh warning anytime bleh kena strok.. nauzubillah (tu yg skang ni mlm mkn biskut jer heh heh )

    Sekadar berkongsi cerita, aku baru balik dr Genting famili Day so bercerita dgn ofismate aku betapa bersyukur nya aku yg dh ada famili so syok la sikit bwk depa main mcm2 kat atas tu.. Sian aku tgk bdk bujang terlajak tu muka boring jer.. Kemdian disapa oleh ofismate aku yg mengutuk geng budak bujang nih yg dikatakan bodoh betul dok pi MINUM kat bar buang masa jer kata nyer... Kemdian dia kata lagi "Tgk cam aku ngan bdk lain yg dah kawin lepak dlm bilik jer main judi" kwang2 heh heh heh abih camno?

    Apa2 pon aku bersyukur mempunyai sahabat2 yg cintakan islam. Aku juga bersyukur dgn kehidupan skarang & aku akui masih byk kelemahan dan sedang berusaha utk mengurangkan dosa & memajukan diri.. see yaa

    Insan Berdosa
    Ahmad

    ReplyDelete