Pages

Solat Time

Friday, March 22, 2013

Salam pagi Jumaat

Assalamualaikum..

“Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad sallallaahu alayhi wa sallam); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Al-Ahzaab 33: 56)

Maka, marilah kita memperbanyakkan selawat ke atas nabi Muhammad sallallaahu alayhi wa sallam. Kerana keuntungannya berlipat-ganda tanpa kita ketahui.

Thursday, January 24, 2013

Selamat Bermaulidur Rasul

Assalamualaikum..

Selamat menyambut Maulidur Rasul.

Pada tanggal yang sama kurang lebih 1400 tahun yang lalu, telah datang seorang manusia yang mengubah lanskap dunia. Bersamanya cahaya Ilahi yang menerangi seluruh alam. Dengan penuh kasih dan sayang yang tidak berbelah bahagi terhadap umatnya, baginda mendidik manusia di sekelilingnya dengan penuh patuh pada perintah Khaliqnya.

Selamat berselawat ke atas Junjungan Besar kita, Muhammad SAW. Moga kita bersama baginda di akhirat nanti, insyaAllah.


Wednesday, January 16, 2013

Muamalat: BERI MODAL DENGAN UNTUNG TETAP

Assalamualaikum..

Ni aku paste daripada blog orang. Saja kongsi info yang bermanfaat. Sama-sama kita praktikkan, insyaAllah.

Soalan; Assalamualaikum, kawan saya memerlukan modal dari saya untuk perniagaan, setiap bulan dia akan beri keuntungan kepada saya rm100/-, boleh ustaz jelaskan hukumnya. 



Jawapan; Pelaburan yang menjanjikan keuntungan tetap tanpa tertakluk dengan untung-rugi (yakni dalam apa-apa keadaan sekalipun pihak pemodal dijamin keuntungannya walaupun syarikat atau orang yang menguruskan modal mengalami kerugian), pelaburan sebegitu ditegah oleh Syarak kerana ia berkonsepkan riba. Dalam konsep riba, pemberi wang (yakni pemberi pinjaman) dalam apa keadaan sekalipun akan memperolehi wangnya berserta faedah/keuntungan yang ditetapkan tanpa tertakluk dengan untung-rugi pihak yang meminjam. Adapun konsep pelaburan dalam Islam adalah berdasarkan kaedah "al-Ghunmu bil-Ghurmi" (Keuntungan adalah bersama risiko). Maksudnya kedua-dua pihak (yakni pemodal dan pengurus) hendaklah sanggup untuk berkongsi risiko sebagaimana mereka sanggup berkongsi untung/faedah. Dalam bahasa lain; untung sama-sama untung dan rugi sama-sama rugi (pemodal mendapat untung kerana sumbangan modalnya, pengurus pula mendapat untung kerana kerja atau pengurusannya. Jika rugi, pemodal menanggung kerugian dari modalnya, pengurus pula menanggung kerugian dari masa dan kerjanya). 


Selain itu, andaikan perniagaan hanya mendapat untung dengan jumlah yang ditetapkan itu sahaja, maka keseluruhannya akan dapat kepada pemodal. Akan berlakulah kezaliman kepada pengurus kerana ia tidak dapat apa-apa sedangkan ia telah berpenat dengan kerja dan pengurusannya. Dalam kes saudara, andaikan kawan saudara hanya mendapat untung dari perniagaannya RM100 sahaja (pada suatu bulan), sudah tentu keseluruhan untung untuk akan dapat kepada saudara, maka saudara telah menzaliminya. Penetapan keuntungan yang menepati kaedah pelaburan Islam ialah secara peratusan atau nisbah. Tidak semestinya peratusan yang sama antara pemodal dan pengurus (yakni 50%-50%), akan tetapi bergantung kepada kesepakatan bersama seperti 70%-30% (iaitu 70 untuk pengurus, 30 untuk pemodal atau sebaliknya). 


Satu lagi kaedah pemodalan dalam Islam yang digalakkan oleh al-Quran ialah al-Qardul-Hasan ialah memberi pinjaman tanpa faedah. Mengikut kaedah ini, saudara memberi modal kepada kawan saudara itu untuk perniagaannya tanpa mengharapkan keuntungan di dunia, tetapi mengharapkan keuntungan di akhirat iaitu pahala yang dijanjikan Allah kepada orang yang membantu saudaranya seagama. Namun hendaklah pemberian pinjaman itu diikat dengan perjanjian secara bertulis sebagaimana yang diperintahkan Allah dalam surah al-Baqarah (ayat 282). 

Wallahu a'lam.

Tuesday, January 15, 2013

Tahun Baharu yang sudah tidak baharu

Assalamaualaikum..!

Selamat hari-hari. Makin lama makin berhantu blog kita nih.. Aku pun dah jarang-jarang menulis. Masa duduk di depan komputer dah makin sikit. Tak macam dulu-dulu. Tak tahulah sama ada ianya perkembangan positif atau sebaliknya.

Apa-apa pun, aku ucapkan jutaan terima kasih la buat mereka yang masih sudi menziarahi blog kita nih. Dah banyak sangat medium untuk berinteraksi bersama sahabat-sahabat. Tapi makin lama aku rasa secara peribadi makin jauh perhubungan kita. Mungkin dunia dan kehidupan kita pada masa ini sudah tidak punya ruang untuk beramah-mesra dan meluangkan masa seperti dahulu.

Sempena Tahun Baharu (ejaan baharu perkataan BARU), aku ucapkan selamat bekerja dan bertugas buat semua penjawat awam dan swasta. Hidup aku masih macam dulu, tak berubah. Cumanya tahun ni mungkin ada sedikit perubahan positif insyaAllah.

Sama-sama kita berdoa untuk ummat Islam yang ditindas di seluruh dunia. Moga Islam makin kuat kerana ditekan dan ditindas. Allahu Akbar.

Wednesday, September 12, 2012

Ghaya dan Penyakit

Assalamualaikum..!

Pahabaq semua? Aku doakan semoga semuanya sihat selalu. Dah lama tak menulis. Abih hilang skil mengayat aku.

Walau apapun, Selamat meraikan Syawal.. Jangan dok pulun sangat makan di rumah terbuka. Kang sakit. La ni dah banyak orang dok beratoq di hospital kerajaan dan swasta. Tak cukup dengan hospital, klinik pun penuh gara2 dok makan macam-macam. Bulan Ramadhan, nak jumpa pesakit pun susah.

Tu la kita ni.. Dah tau posa tu baguih, tapi liat nak buat posa 6 Syawal sama sunat Isnin/Khamis. Patutnya kita ni kena melazimkan diri dengan posa sunat. Bru la tubuh badan tu sihat.

Jadi, bersempena Syawal yang bebaki tak berapa hari ni, tak dak rasa ka nak buat perjumpaan Syawal tahun nih? Saja la tana kot2 ada yang berkongsi perasaan yang sama.

Selamat menjamu selera dan berhati-hati semasa menjamah juadah.

Thursday, July 19, 2012

Yusrin dan Myasthenia Gravis

Assalamualaikum..

Terkini..
Alhamdulillah berkat doa sahabat-sahabat semua, si Yusrin dah keluar daripada hospital, tapi masih dalam keadaan lemah. Sama-sama kita teruskan memanjat doa buatnya semoga cepat sembuh seperti sediakala, insyaAllah.

Asal..
Buat sahabat sekalian, jom kita pakat-pakat doa supaya sahabat kita Yusrin diberikan kesembuhan dengan kadar yang segera. Buat yang baru mengetahui keadaan kawan kita tu, dia disyaki oleh doktor mengidap penyakit yang dikenali dengan nama Myasthenia Gravis. Penyakit yang menyebabkan antibodi sendiri menyerang anggota tubuh yang sihat menyebabkan kelumpuhan sementara atau ketidakupayaan pesakit untuk mengawal saraf motor. Penyakit ini boleh membawa maut dan sehingga kini tiada sebarang ubat yang mampu mencegah mahupun mengawal punca penyakit tersebut. Boleh dikatakan semua kita terdedah kepada penyakit ini tetapi ianya tidak menyerang golongan muda. Dalam kes Yusrin, memang unik sebab macam mana dia boleh terkena sakit tu, Wallahu A'lam. Sila rujuk abg Google untuk keterangan lanjut.

Tahap kesihatannya sehingga pagi tadi tidak berubah sejak dimasukkan ke dalam hospital Sg Buloh tanggal 30hb Jun yang lalu. Masih lagi memerlukan alat bantuan untuk memasukkan makanan serta tidak berdaya untuk menggerakkan anggota tubuh badannya. Bukan lumpuh, tetapi tidak bermaya.

Oleh yang demikian, aku menyeru kepada para sahabat semua untuk menziarahi beliau yang sedang terlantar di dalam Wad 4A, tkt 4, Katil 27, Hospital Sg Buloh. Hanya sokongan moral daripada kawan-kawan sahaja yang dapat menyuntik semangat untuk dia terus berjuang melawan penyakit yang sedang dihidapi.

Marilah kita sama-sama mendoakan agar dia dapat diselamatkan dan sembuh dengan kadar segera, insyaAllah.

Sunday, July 15, 2012

Ramadhan oh Ramadhan

Assalamualaikum..

Ramadhan datang lagi untuk kesekian kalinya. Alhamdulillah. Betapa ramai di kalangan kita yang telah pergi buat selamanya dan tidak sempat mengecapi nikmat berpuasa di bulan Ramadhan. Bersyukurlah. Bersyukurlah di atas nikmat yang telah dan sedang Allah SWT berikan buat kita tanpa kita sedari. Betapa beruntungnya kita di dalam hal ini.


Ramai di kalangan kita yang memandang bulan Ramadhan sebagai salah satu bulan-bulan yang datang dan pergi tanpa memahami kelebihan dan keuntungan yang ada di dalamnya. Di atara kelebihan yang terdapat di dalam bulan Ramadhan yang dirakamkan di dalam hadis-hadis ialah:

Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi.

Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: Setiap amalan anak Adam baginya melainkan puasa. Maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri (bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara. Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata: Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari Qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi.


Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Umatku telah diberikan dalam Ramadhan lima perkara yang belum bernah diberikan kepada mana-mana umat pun sebelum mereka.

  1. Bau busuk mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. 
  2. Ikan-ikan di laut akan beristigfar untuk mereka sehingga mereka berbuka. 
  3. Setiap hari Allah s.w.t. akan menghiaskan syurgaNya dan berkata, "Telah hampir masanya hamba-hambaKu yang soleh akan dilepaskan dari beban-beban dan mereka akan datang kepadamu." 
  4. Dirantaikan syaitan-syaitan yang jahat di dalam Ramadhan dan mereka tidak akan dapat berbuat sesuatu dalam Ramadhan ini apa yang biasa mereka lakukan pada bulan lain. 
  5. Mereka akan diampunkan pada malam terakhir Ramadhan. Ditanya kepada Rasulullah, "Adakah ia Lailatur Qadar?" Baginda menjawab, "Tidak! Tetapi seorang pekerja yang diberikan ganjarannya apabila telah selesai kerjanya." (Riwayat Imam Ahmad).

Dan banyak lagi hadis-hadis yang membicarakan tentang kelebihan Ramadhan yang merupakan penghulu kepada bulan-bulan yang lain. Rasulullah SAW sendiri ternanti-nanti akan kedatangan Ramadhan. Amatlah malang bagi kita yang memandang sepi akan nikmat yang semakin menghampiri.


Ayuh kawan-kawan. Sama-sama kita memperbanyakkan amalan dan memohon keampunan sepanjang kita berada di dalam Ramadhan kelak. Moga Allah menerima segala taubat dan ibadat kita, insyaAllah.